SPM: Pelajar YIK capai keputusan terbaik

PENCAPAIAN cemerlang sekolah-sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus terbukti meningkat di dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan April lalu.

Malahan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah YIK dalam setiap peperiksaan yang diduduki oleh mereka setiap tahun mengatasi calon dari sekolah tajaan Kementerian Pendidikan.
Nur Hafizah Musa, pelajar  Sekolah Menengah Ugama SMU (Arab) Maahad Muhamadi Perempuan merupakan pelajar terbaik seluruh Kelantan bagi peperiksaan SPM itu dengan mencapai keputusan 10A1.

Dua lagi pelajar YIK iaitu Mohd Hamidi Zakaria dan Mohd Rizan Abdul Ghani dari SMU (Arab) Maahad Muhamadi Lelaki juga mengatasi pelajar-pelajar lain dari sekolah Kementerian Pendidikan dengan mendapat 9A1.

Tiga pelajar dari sekolah tajaan Kementerian Pendidikan termasuk Siti Jeslin Hasan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Naim Lil-Banat dan Ikhwan Sani Mohamad dari Maktab Sultan Ismail memperolehi 8A1.

Bagaimanapun bilangan pelajar yang mendapat 8A1 dari sekolah YIK lebih ramai lagi iaitu seramai enam orang. Pelajar berkenaan iaitu Nur Diana Mohd Marzuki, Nurzahidah Mohd Zain dan Nursilawati Abdullah dari SMU Maahad Muhamadi Perempuan.

Dua lagi dari SMU Maahad Muhamadi Lelaki iaitu Mohamad Arif dan Mohd Adip Ismail dan seorang dari SMU Shamsul Maarif Pulai Chondong, Nurasimah Adam, memperolehi keputusan sama.

Pelajar yang mendapat 7A1 seramai dua orang, iaitu Hasimah Yaakub dari SMU Amir Indera Petra Bachok dan Mohd Mazran Marzuki (SMU Arabiyah Pasir Mas).

Penolong Pengarah Peperiksaan dan Penilaian YIK, Ustaz Ashari Ishak berkata, peratus kelulusan keseluruhan sekolah YIK meningkat tahun ini iaitu sebanyak 76.07 peratus berbanding 74.43 peratus tahun lalu.

Pencapaian kelulusan pangkat satu seramai 1,264 pelajar berbanding tahun 1995 (1,063 pelajar); pangkat dua (1,222 pelajar) berbanding tahun 1995 (1,192 pelajar). Manakala bilangan pangkat tiga tidak berubah iaitu 922 pelajar.

Katanya, peratus kelulusan bagi pangkat satu meningkat sebanyak 4.8 peratus.
“Sekolah terbaik bagi peperiksaan itu iaitu SMU Maahad Muhamadi Perempuan dengan kelulusan 100 peratus, di mana 238 pelajar mendapat pangkat satu, kedua SMU Maahad Muhamadi Lelaki (96.25 peratus) dengan seramai 175 pelajar mendapat pangkat satu manakala pangkat dua dan tiga masing-masing seramai 36 dan 45 pelajar.

“Ketiga SMU Arabiah Padang Siam, Tanah Merah (95.18 peratus), SMU Maahad Muhamadi Pasir Pekan (90.06 peratus) dan Maktab Pengajian Islam Jalan Bayam (87.97 peratus),” katanya di sini.
Manakala sekolah bantuan YIK yang terbaik, SMU Rahmaniah Paloh, Bukit Panau, Tanah Merah (90.74 peratus), SMU Ihsan Tanah Merah (86.89 peratus) dan Taqadum Maarif, Pasir Tumbuh (82.61 peratus).

Ashari berkata, suasana pembelajaran yang baik di sekolah YIK menjadi satu daripada faktor yang memberikan kejayaan sehingga dapat mencatat keputusan cemerlang pada setiap peperiksaan.


HOME