Kenyataan Akhbar
Gerakan Reformasi
27 Oktober 1998

Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kasar dan ganas segelintir polis terhadap perhimpunan aman rakyat Malaysia pada hujung minggu lalu. Mereka memukul penunjuk perasaan, menembak gas pemedih mata ke perkarangan Masjid Kampung Baru dan dalam kawasan perumahan kampung tersebut.

Tetapi petualang sebenarnya adalah Mahathir Muhamad sebagai Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara Abdul Rahim Nor. Segelintir polis tersebut tidak akan bertindak ganas kalau tidak diarahkan oleh Mahathir dan Rahim Nor.

Mahathir memang sudah nyanyok. Dalam segala hal, beliau akan menyalahkan orang lain, menyalahkan penunjuk perasaan padahal keganasan hujung minggu lalu adalah berpunca dari tindakan segelintir polis yang mengikut arahan beliau.

Kelakuan Mahathir tidak ubah seperti kelakuan regim Israel terhadap perjuangan rakyat Palestin. Bahkan Mahathir lebih dahsyat dari itu kerana beliau bertindak ganas terhadap rakyat sebangsa.

Mahathir perlu sedar bahawa rakyat akan terus bangun menentang sebarang bentuk kezaliman, penindasan dan keganasan. Semangat rakyat untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan kebebasan tidak boleh dipatahkan dengan kekasaran dan keganasan.

Kami mengulang seruan kami agar Mahathir meletak jawatan secara terhormat sebelum terlambat. Gerakan Reformasi adalah gerakan rakyat dan gelombang reformasi tidak boleh ditahan dengan belantan dan gas pemedih mata mahupun pancutan air.

Mahathir telah kehilangan sokongan rakyat. Untuk terus berkuasa beliau telah menjadikan Malaysia sebagai police state. Legitimasi Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri telah hilang. Maka arahan beliau kepada polis untuk melakukan keganasan terhadap rakyat adalah tidak sah dan perlu dibantah.

Mahathir terus menerus menyalahgunakan institusi-institusi kerajaan seperti polis, Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman untuk melakukan penganiayaan. Beliau telah merencana satu konspirasi politik yang rapi dengan menggunakan institusi tersebut untuk menjatuhkan dan seterusnya memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim. Pembicaraaan Saudara Anwar adalah satu sandiwara yang ditulis dan diarahkan oleh Mahathir sendiri.

Apa kesudahan sandiwara ini telah pun diketahui rakyat. Bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan seluruh rakyat dan pemimpin-pemimpin ASEAN mengetahui sandiwara tersebut. Justeru itu pelbagai organisasi untuk membela Saudara Anwar di negara-negara ASEAN dan pemimpin-pemimpin ASEAN telah membuat kenyataan terbuka mengkritik Mahathir.

Mahathir terperangkap dalam jerat yang beliau sendiri ciptakan. Pemimpim-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional harus insaf bahawa hari-hari Mahathir sudah boleh dibilang. Mereka perlu bertindak sebelum terlambat. Mereka perlu memikirkan formula untuk mengakhiri pemerintahan Mahathir dan membuka lembaran baru dalam sejarah Malaysia.

Mohd Ezam Mohamad Noor
Setiausaha Politik Sdr Anwar Ibrahim

Dr Abdul Rahim Md Ghouse
Bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang

Saifuddin Nasution Ismail
Bekas Setiausaha Pemuda UMNO