PERTAUTAN KARYA KREATIF DAN POLITIK

Oleh: Faisal Tehrani


HUBUNGAN karya sastera dengan politik adalah menarik. Ia intim bukan kerana saling memesrai tetapi lebih kerana kedua-dua subjek ini saling bertentangan. Politik wujud sejak tamadun manusia pertama. Kelahiran tamadun dengan sendiri membentuk kemunculan hasil-hasil kreativiti manusia. Bentuk-bentuk kreativiti antara lain pada senibina, senicipta dan senicatan. Seni komunikasi atau bahasa dan pertuturan mewujudkan pula sastera secara oral sebelum manusia belajar mencatat pada kulit, daun, kayu, batu dan kemudiannya kertas. Justeru kreativiti berbentuk sastera berkembang hampir serentak dengan politik. Lalu saling berkait dengan cara tersendiri.

Setiap perlakuan manusia sebenarnya bersifat politik. Ia bersesuaian dengan falsafah manusia adalah haiwan politik. Ia bermaksud segala tindak-tanduk manusia itu ditafsirkan sebagai bermotifkan politik dan melibatkan ahli-ahli komunitinya. Dilihat dalam konteks seorang penulis fiksyen tentulah karangan-karangannya juga digerakkan oleh suasana politik; bersumberkan politik dan memberi kesan kepada politik setempat. George Orwell menulis dalam esei "Why I Write" bahawa politik adalah salah satu sebab utama seseorang penulis itu menulis selain dari egoisme untuk memberitahu, pesona kepada estetik dan sebab sejarah. Dalam menjelaskan hubungan sastera dan politik, Albert Camus, penulis Perancis antara lain menyebut:

Political action and artistic creation are the two faces of the same revolt against the world's disorder, the same desire to give the world unity .

Hubungan istimewa sastera dan politik diperjelaskan lagi oleh novelis Indonesia Pramoedya Ananta Toer:

Mungkin ada yang heran mengapa bagi saya sastra bertautan erat dengan politik. Saya tidak akan menolak kenyataan itu. Menurut pandangan saya setiap orang dalam kehidupan bermasyarakat, apalagi berbangsa, selalu bertautan dengan politik. Bahwa seseorang menerima, menolak, bahkan mengukuhi sesuatu kewarganegaraan adalah suatu sikap politik. Bahwa seseorang mengibarkan benderan kebangsaannya, itu adalah perbuatan politik. Bahwa seseorang membayar pajak, itu adalah pengakuan pada kekuasaan, jadi juga berarti ketaatan politik. Juga sastra tidak bisa lepas dari politik sejak sastra itu sendiri dilahirkan ummat manusia. Selama ada masyarakat manusia dan kekuasaan yang mengatur atau pun merusaknya di situ setiap individu bertautan dengan politik.

Mesej Pengucapan politik dalam karya kreatif boleh dibahagikan kepada tiga bentuk yang tidak banyak berbeza atau saling bertindihan:

  1. Mesej propaganda politik dalam karya kreatif.
  2. Mesej kritikan terhadap dasar-dasar dan kesan-kesan ideologi politik dalam karya kreatif.
  3. Mesej episod sejarah yang membawa kesan politik dalam karya kreatif.

Karya kreatif atau bahan sastera sering digunakan sebagai alat propaganda sesuatu kempen politik. Pengalaman karyawan kreatif di negara-negara yang pernah mengamalkan ajaran kominis boleh menjadi contoh terbaik. Dalam hal ini, karya sastera dari negara China contohnya mengalami pengalaman menarik. Kreativiti pengarang fiksyen diperalatkan untuk kegiatan propaganda sepanjang Revolusi Kebudayaan anjuran Mao Tse Tong.

Mao knew the value and limitations of literature and writers, and he trusted neither. Yet he knew how to harness their power; over the years, he had used literature and the arts both to bring down his enemies - most of them erstwhile friends - and to keep the people's attention focused on his political agenda. If national events and socialist behavior remained the raison d' etre of the writing, it served his purposes.

Karya kreatif seperti Uncle Tom's Cabin (1852) misalnya membuktikan betapa sastera telah menjadi suatu senjata propaganda dan politik berkesan. Novel yang memaparkan kezaliman kegiatan perhambaan di abad ke 19 di Amerika Syarikat ini telah menjadi suatu rekod membuktikan karya kreatif mampu merubah satu-satu pandangan atau budaya politik masyarakat .

Mesej berbentuk kritikan dan serangan terhadap dasar dan kesan ideologi politik juga disampaikan menerusi karya kreatif. Penting untuk diperjelaskan di sini karya sastera berbau politik propaganda dan politik kritikan mempunyai perbezaan walaupun kecil. Karya kreatif propaganda kebiasaannya mendokong atau mempromosi dasar-dasar politik dan ide-ide politik tertentu contohnya drama Tiang Seri Tegak Berlima karya SN Dato' Noordin Hassan bertujuan untuk mengingatkan rakyat betapa Rukun Negara sebagai paksi kewarganegaraan selepas kejadian hitam 13 Mei 1969 . Karya kreatif propaganda juga lazim dimotivasikan oleh suatu 'gerakan' di sebaliknya. Harriet Beecher Stowe penulis Uncle Tom's Cabin adalah ahli gerakan abolitionists . Novel ini pada awalnya disiar secara bersiri dalam akhbar abolitionists, National Era.

Penulis kreatif juga propagandis selalunya akan menulis topik yang sama semula. Stowe sebagai contoh menulis novel Dred: A Tale of the Great Dismal Swamp (1856) masih mengkritik aktiviti perhambaan.

Karya kreatif sebagai mesej kritikan politik dikemukakan dalam pelbagai nada. Ia kadang-kadang disampai secara keras dan terang-terangan. Atau diterapkan secara halus dan tersembunyi seperti pemakaian ciri-ciri satira dan perlambangan. Persoalan-persoalan ditampilkan biasanya adalah berbentuk cemuhan. Antara novel menepati ciri seperti ini ialah Wild Thorns (1976) karya Sahar Khalifeh di mana pengarang menyelar sikap tolak ansur masyarakat Palestina terhadap pendudukan regim zionis. Drama karangan Dario Fo, pemenang Nobel Prize 1997, Accidental Death Of an Anarchist pula dengan berkomedi menggambarkan kematian seorang anarkis terjatuh dari bangunan empat tingkat menimbulkan perbalahan antara orang ramai samada ia 'konspirasi peringkat tertinggi' atau keputusan hakim di mahkamah yang menyifatkan ia sekadar kemalangan biasa.

Karya-karya sastera mengkritik secara lebih tersembunyi seperti Animal Farm (1945) hasil karya George Orwell, diakui ramai sebagai alegori politik unik. Juga drama paralel karya Arthur Miller, The Crucible (1953) yang latarnya pada tahun 1692 di Salem tetapi mencerminkan era McCarthyism tahun 60 an di Amerika Syarikat.

Karya kreatif dalam bentuk mesej sejarah yang memberi kesan kepada politik juga biasanya mengambil bentuk bantahan keras berbanding tenggelam dalam nostalgia sejarah itu sendiri. Novel karya Bapa Kemerdekaan Filipina Jose Rizal, El Filibusterismo (1891) diterima umum sebagai contoh baik bagaimana kreatifnya penulis mengungkap sejarah negara sambil membantah dasar-dasar penjajah Sepanyol.

Namun demikian karya kreatif berunsur politik yang baik ialah kemampuan pengarang secara kreatif untuk menggabungkan dua atau tiga bentuk tersebut sekaligus. Oleh demikian sesebuah karya sastera politik tidak dapat tidak akan ditemui juga elemen propaganda atau kritikan dan kadang-kala termuat bahan sejarah.

Bercakap mengenai karya kreatif dengan pengucapan politik ini, perlu diambil kira pula betapa besar dan luasnya subjek politik itu sendiri. Terdapat sekurang-kurangnya tujuh subjek politik untuk dijadikan bahan berkarya. Antara lain ialah ideologi dan falsafah politik, kepimpinan politik, pilihanraya atau kepartian dan kerenahnya, keganasan politik dan revolusi, diplomasi serta hubungan antarabangsa , politik kenegaraan dan politik kampus.

Karya kreatif adalah satu-satunya alat paling berkesan dipunyai sasterawan untuk mengucap sesuatu pandangan. Walaupun karya yang dihasilkan nanti adalah bersifat peribadi namun kesusasteraan bermutu ialah bentuk kesusasteraan yang meletakkan matlamat menjuarai kemanusiaan .

Sasterawan tulen hanya mewakili kebenaran walaupun nanti menuntutnya untuk berhadapan dengan kezaliman kuasa politik atau bantahan dari masyarakat umum. Mesej politik mereka bergaul dengan pengalaman peribadi disampaikan dengan pelbagai gaya dan bentuk, terang dan tersembunyi untuk menghadapi kuasa politik yang pada ketika-ketika tertentu amat mengawasi. Tegal itu daya kreativiti tinggi juga diperlukan dari pembaca untuk menafsir asosiasi, lambang dan citra. Sasterawan sentiasa cuba mempengaruhi khalayaknya untuk berfikir atau berfikiran sepertinya, menilai semula dasar dan kesan yang menimpa mereka natijah dari perlaksanaan sesuatu ideologi politik. Proses kreatif mereka dicorakkan oleh suasana politik itu sendiri. Mereka mungkin menggunakan lambang atau simbol tertentu untuk berhujah dalam usaha meluahkan rasa 'sakit' mereka oleh pertualangan politik yang dicetuskan oleh politikus-politikus tidak jujur. Atau mereka dengan berani berterus terang mengecam dan menghukum golongan pemerintah yang menyeleweng. Ukur tara kreativiti mereka bergantung kepada:

Pertama: Tekanan atau kebebasan yang mereka akan hadapi setelah karya ditatapi umum. Di negara-negara Amerika Latin misalnya, cengkaman kuasa ke atas golongan sasterawan amat kuat, ini mendorong mereka untuk mengucap penyataan politik di dalam karya secara halus dan berhati-hati. Gabriel Garcia Marquez misalnya, penulis dari rantau tersebut menghantar mesej kritikan dalam karya-karyanya menerusi aliran realisme-magis yang serba mungkin, lucu dan sarat dongeng. Begitu juga penulis Mario Vargas Llosa dari Peru menulis antara lain novel Death in the Andes (1996).

Kedua: Semakin kuat pergolakan politik di daerah atau negara mereka maka semakin kaya daya kreativiti mereka. Di negara kita sendiri telah melihat zaman sebelum kemerdekaan dan selepasnya merupakan fasa kelahiran karya-karya kreatif berunsur politik yang bermakna. Pengarang-pengarang seperti Ishak Haji Muhammad menulis novel Putera Gunung Tahan (1937) mengkritik pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Juga novel-novel lain beliau seperti Anak Mat Lela Gila (1941) dan Yang Miskin Yang Marah (1966).

Ketiga: Pengalaman pengarang sendiri menyuburkan daya kreativiti dalam menghasilkan karya sastera, dalam konteks ini, karya yang berbau politik. Di Malaysia, seperti disebut tadi, nama-nama seperti Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam sebenarnya merupakan ahli politik dan penulis fiksyen serentak. Keris Mas sebagai contoh adalah Pegawai Penerangan Parti PKMM di Temerloh. Atau penglibatan mereka dalam dunia kewartawanan di Utusan Melayu menemukan mereka secara aktif dengan ahli-ahli politik pembangkang seperti Dahari Ali dan Salleh Daud. Ini membantu penulis-penulis 50-an ini menulis secara lebih kreatif karya-karya mereka kemudiannya.

Keempat: Rasa keterasingan membentuk daya kreativiti yang tinggi. Penulis-penulis terbuang jauh dari tanahair atau tempat asal mereka lazimnya akan berasa pedih dan derita oleh kejauhan itu dan sering melihat semula keadaan sebenar negara mereka. Jose Rizal menulis Noli Me Tangere (1887) di tiga tempat asing iaitu Madrid, Paris dan Berlin. Ini terdorong oleh sifat mahu membandingkan keadaan negara dengan tempat mereka diami sekarang ini. Atau pengarang boleh sahaja tidak merantau tetapi terpisah dari kelompok perdana di negaranya seperti apa yang menimpa kepada Witi Ihimaera dalam melahirkan karya The Matriarch (1986). Amir Muhammad dalam "The Importance Of Being Queer" menulis semakin terasing seseorang pengarang itu atau semakin dirasai dirinya lain maka lazimnya semakin kaya upaya kreativiti. Rasa terpinggir ini tidak terbatas hanya pada pengertian seseorang pengarang itu terungsi jauh dari negara asal, ia boleh juga kerana faktor seksualiti, politik, sosial, trauma agama atau semuanya sekaligus.

Dalam kemelut politik yang amat bergoncang dewasa ini, adalah menjadi tugas penulis kreatif untuk merakam dan mengadili keadaan yang ada sambil 'memberitahu' masyarakatnya apa yang benar dan apa yang tidak. Untuk itu dunia sastera Malaysia mengalu-alukan kelahiran karya yang bertanggungjawab dan berani.


BALIK