Karya Penulis India Diiktiraf (BH 6/2/99)

Oleh: Raja Rajeswari


Penglibatan penulis kaum India dalam sastera berbahasa Malaysia bermula jauh sebelum negara kita mencapai kemerdekaan. Tokoh penulis India yang telah membuka tirai bagi penulisan kreatif dalam bahasa Malaysia ialah Nagalingam.     

Beliau berasal dari Parit Buntar, Perak. Karya beliau yang pertama ialah sebuah cerpen berjudul "Cerita Orang Yang Menerima Syukur" (Bahtera, 17 &24 Mei 1932). Nagalingam merupakan tokoh perintis yang telah meletakkan asas bagi penulisan serta perkembangan karya kreatif di kalangan generasi India terkemudian yang turut menulis dalam bahasa kebangsaan.   Menurut Hashim Awang dalam bukunya Cerpen-cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua, sumbangan Nagalingam biarpun teramat kecil tetapi besar ertinya dalam arena perkembangan cerpen berbahasa Malaysia. Ini kerana penyertaan beliau telah memberi dorongan serta menyediakan tapak yang kukuh untuk perkembangan seterusnya di kalangan penulis kaum India.   Bagaimanapun usaha yang dimulakan oleh Nagalingam pada tahun 1932 hanya membuahkan hasil selepas berpuluh-puluh tahun kemudian.   Perkembangan cerpen berbahasa Malaysia oleh penulis kaum India terbantut akibat Perang Dunia Kedua serta pendudukan Jepun. Walau bagaimanapun kekosongan atau "vacuum" ini hanya bersifat sementara.   Selepas negara mencapai kemerdekaan, muncul penulis kaum India yang lebih komited dalam penulisan kreatif seperti Joseph Selvam, N. S Maniam, A. Nagappan, P. Palaniappan, Ignatius Dev serta G. Soosai. Mereka telah menyajikan khalayak pembaca dengan pelbagai hidangan menarik seperti cerpen, sajak, puisi, esei serta cerita klasik dalam bahasa Malaysia.   

Di samping menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Malaysia, mereka turut menterjemah beberapa sajak, cerpen dan cerita klasik dari bahasa Tamil ke bahasa Malaysia dan sebaliknya.     

Antara mereka yang prolifik ialah sdr Joseph Selvam. Keyakinan beliau untuk menulis dalam bahasa Malaysia ditunjangi oleh latar pendidikan serta pergaulan yang akrab dengan masyarakat Melayu.   Penulis kelahiran Melaka ini telah menghasilkan sajak serta menerbitkan beberapa antologi sajak seperti  Nadi Perpaduan, Merintis Ke Jalan Bahagia dan Dalam Perjuangan.     

Beliau juga sering mengendalikan bengkel-bengkel khas bagi membimbing penulis kaum India yang menulis dalam bahasa Malaysia.   Joseph Selvam sering diundang untuk menyampaikan kertas kerja dalam majlis anjuran Gapena dan DBP. Usaha Joseph Selvam amat besar dalam mengeratkan perhubungan antara golongan penulis  kaum India dengan penulis Melayu yang ketika itu hidup di bumi yang sama tetapi terasing kerana batas bahasa dan budaya.   

Selain daripada Joseph Selvam, mendiang G. Soosai juga telah menghasilkan cerpen, rencana, sajak dan buku-buku dalam bahasa Malaysia. Beliau  juga telah menterjemah beberapa cerpen Tamil ke dalam bahasa Malaysia. Antaranya ialah cerpen berjudul Wanita Malang karya T. Anna Mary, Cepu Pahala karya S. Anbananthan, Bahana Kesetiaan Teruji  karya Mahatma Gandhi  dan Thirukkural.   

Manakala cerpenis kaum India seperti P. Palaniappan pula telah menterjemahkan  empat  buah cerpen Tamil ke dalam bahasa Malaysia  iaitu Garisan Selari karya Devaki Manalan, Lintah Darat karya M.Anbuchelvan, Dato' Kanappan karya R. Karthigesu dan Orang Tua Muthusamy karya S.Vadivelu. Cerpen-cerpen ini termuat dalam antologi cerpen berjudul Koleksi Cerpen-Cerpen Malaysia.   

Walau bagaimanapun, menjelang awal tahun 1980-an, penglibatan penulis kaum India dalam sastera berbahasa Malaysia semakin berkurangan. Muncul suatu kekosongan.   

Hanya pada penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an, penglibatan penulis kaum India dalam dunia sastera berbahasa Malaysia mula berubah wajah dengan kehadiran  cerpenis muda berbakat yang telah didedahkan dengan teori-teori penulisan kreatif di institusi pengajian tinggi.   Mereka yang dimaksudkan ialah Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB. Penguasaan  bahasa dan teknik yang baik telah membolehkan mereka mencipta gaya bahasa peribadi yang bersifat unik serta individualistik. Malah kini kedua-dua pengarang kaum India ini duduk sebaris dengan pengarang kaum Melayu dalam arena sastera Malaysia.   Saroja Theavy  Balakrishnan  merupakan satu-satunya cerpenis wanita India yang popular di sekitar tahun 1980-an. Setelah cerpen beliau yang pertama "Bukit Sikikih Mengaum" memenangi pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, sasterawan wanita ini terus aktif menghasilkan cerpen. Karya beliau sering memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP. Beliau juga telah menghasilkan kumpulan cerpen persendirian berjudul Gemerlapan (1997).   

Penulis wanita ini mampu mengeksploitasi sepenuhnya bahasa berbunga yang cukup indah dalam cerpen-cerpen beliau. Beliau juga berupaya mencengkam perhatian audien melalui penggunaan kata-kata yang indah dan puitis.   Pada awal tahun 1990-an pula muncul seoang lagi penulis muda berbakat yang telah membawa pembaharuan dalam sejarah perkembangan cerpen berbahasa Malaysia. Beliau ialah Uthaya Sankar SB yang turut menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar.   Dengan azam yang kuat untuk membawa perubahan dan kelainan dalam sastera kebangsaan, penulis muda ini mula mencari sudut-sudut yang belum pernah diteroka oleh penulis lain sebelum ini. Dari sinilah lahirnya cerpen-cerpen  yang bercorak eksperimental dan yang tidak lagi berciri konvensional.     

Uthaya Sankar SB bukan setakat berjaya menampilkan budaya serta permasalahan hidup masyarakat India dalam karya-karya beliau. Malah beliau juga mampu menghayati, menjiwai serta menggambarkan budaya masyarakat Melayu yang beragama Islam dengan cukup berkesan dan meyakinkan dalam cerpen-cerpen beliau.     

Tidak setakat itu, beliau turut diberi kepercayaan untuk muncul sebagai kolumnis dalam majalah Dakwah pada 1996-1997 serta kolumnis sastera di Mingguan Wawasan pada Mac-Julai 1998.   

Walaupun muncul beberapa tahun selepas kemunculan Saroja Theavy dalam arena sastera Malaysia, namun ternyata bahawa kini Uthaya Sankar SB sudah mampu berada jauh di hadapan.   

Cerpen-cerpen beliau sering mendapat tempat dalam majalah Dakwah, Karya, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Pelita Bahasa serta akhbar Mingguan Malaysia dan Mingguan Watan. Malah cerpen-cerpen beliau telah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen Esso-Gapena dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.   

Kumpulan cerpen persendirian Uthaya Sankar SB berjudul Orang Dimensi dan Siru Kambam. Beliau turut menghasilkan beberapa buku persendirian yang diterbitkan oleh beberapa penerbit berwibawa.   

Uthaya Sankar SB juga sering mengendalikan ceramah dan bengkel penulisan kreatif dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Tamil untuk mencungkil dan menggilap bakat-bakat baru daripada kalangan belia dan remaja. Melalui beberapa siri bengkel penulisan kreatif yang dikelolakan oleh beliau, lahir bakal penulis seperti V. Vijayaletchumy, Sardah Appalasamy, Ganesan Duraisamy dan Retna Devi Balan.   Bermula dengan penglibatan Nagalingam pada tahun 1932, penulis kaum India kini berjaya membuktikan kesungguhan dan peranan mereka dalam memantap dan melengkapkan sastera kebangsaan. Fokus khas yang dibuat dalam majalah Dewan Sastera pada keluaran Mei 1997 membuktikan bahawa kewujudan penulis kaum India dalam sastera berbahasa Malaysia sudah mula diberi perhatian serius.   

Cabaran yang dihadapi oleh golongan ini kini adalah untuk memantapkan lagi mutu karya supaya mereka tidak lagi dilabel sebagai "penulis kaum India" dan "penulis Bukan Melayu" tetapi diiktiraf sepenuhnya sebagai "penulis Malaysia". Jalan ke arah itu sudah dirintis oleh Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB. Kini mereka memerlukan kerjasama daripada Srivalli, M. Mahendran dan penulis-penulis lain untuk merealisasikan impian tersebut.


BALIK