Yang Aneh-aneh (DS 5/96)

Oleh: Uthaya Sankar SB


Benar-benar di luar dugaan saya, wanita itu meluru ke arah tingkap lalu melompat keluar. Tingkap yang terbuka telah memungkinkannya berbuat begitu dengan mudah. Jika tidak, tentu tubuhnya tercalar oleh kaca yang pecah.   

Setelah tercegat seketika memikirkan tindakan berani wanita itu, barulah saya mula risau. Tentu dia telah jatuh ke bawah; dari bilik di tingkat lima hotel empat bintang. Nescaya dia akan mati terus. Jika pun tidak, tentu cedera teruk.   

Walau apa sekalipun yang berlaku, tentu saya yang akan dicari nanti. Si penyambut tetamu tentu cam wajah saya sewaktu saya bertanyakan padanya perihal bilik wanita ini. Kalau saya terus berlengah, tentu pihak polis akan datang memberkas saya.   

Sambil memikirkan segala kemungkinan yang boleh berlaku, saya menghampiri tingkap dan menjenguk keluar. Dalam diam, saya mula terasa seronok memikirkan segala excitement yang bakal saya lalui sekiranya saya disabitkan kesalahan membunuh wanita berkenaan. Tentu seronok mencari segala lubang dalam undang-undang untuk melepaskan diri. Atau sekurang-kurangnya dalam menimbulkan kemusykilandalam tuduhan agar prima facie tidak dapat dikemukakan terhadap saya!   

Alangkah terkejut – dan kecewa – apabila saya terhatikan tidak ada orang ramai berkerumun di bawah sana. Saya perhatikan betul-betul sambil menyumpah-nyumpah kerana kecewa. Benarlah wanita itu sudah tidak ada di sana.   

Lalu saya segera berlari keluar bilik. Saya perlu tinggalkan segera bilik ini sebelum sesuatu yang buruk berlaku. Sudahlah lidah saya hampir terputus sewaktu berbalah dengan wanita itu tadi! Kalau saya terus berlengah, entah-entah dia akan datang semula untuk membotakkan kepala saya pula.   

Apabila sampai di meja penyambut tetamu, gadis tadi menahan saya dengan suara yang lunak.   

“Sila jelaskan bayaran, tuan.”   

“Bayaran? Bayaran apa?”   

Tentu saya terkejut kerana saya tidak menyewa apa-apa bilik. Kedatangan saya tadi hanyalah untuk bertemu wanita itu. Itu biliknya. Buat apa saya yang perlu bayar!   

“Bayaran bilik nombor 111, tuan.”   

“Hei, itu bukan bilik saya. Saya sekadar pergi berjumpa seorang wanita di sana,” saya cuba menjelaskan.   

“Maaf, tuan. Wanita itu telah memindahkan segala tunggakan bayaran ke atas nama tuan.”   

“Bila?”   

“Baru sebentar tadi, tuan. … Err, dia datang dalam keadaan berlumuran darah, tuan.”   

“Cih!”   

Saya hulurkan wang lima ratus ringgit dengan hati yang berat lalu segera meninggalkan hotel itu. Tetapi belum pun sempat saya keluar, wanita tadi menahan saya. Benarlah pakaiannya berlumuran darah. Wajahnya yang selama ini bos saya puji, kini sudah tercalar sedikit.   

“Kau telah mengakibatkan kaki aku patah,” katanya dengan nada mengancam.  

“Hei, bukan salah saya! Kau sendiri yang berlagak berani mahu melompat keluar tingkap. Sekarang, rasakan.”   

“Tetapi kau yang menghina aku. Kauhina pekerjaan aku.”  

“Memang,” kata saya secara selamba sambil cuba meneruskan perjalanan sedang wanita itu terkedek-kedek di sisi kiri saya. “Selayaknyalah orang seperti kau saya hina begitu.”   

“Tetapi memang itu kerja aku.”   

“Menggoda suami orang dan mmeras wang?”   

“Bos kau yang cepat tergoda,” pintasnya.   

“Persetankan. Bos saya sudah insaf. Elok kau berambus.”  

“Tetapi wajah aku sudah tercalar. Kakiku patah …”   

“Kau nak saya buat apa?” tanya saya dengan marah.   

“Bayar ganti rugi bagi kakiku ini!”   

“Kalau saya tidak mahu?” Saya cuba menduga.   

“Aku akan turuti kau ke mana-mana. Biar semua orang lihat kau didampingi seorang wanita GRO …”   

Tercabar oleh kata-kata ugutannya, saya segera mencabut kaki kanan saya dan menyerahkannya kepada wanita itu. Sedang dia tercegat memegang kaki saya dengan kedua-dua tangannya, saya menjengket-jengket meninggalkan tempat itu.   

(Kalau anda pernah terlihat atau terlibat dengan seorang wanita GRO yang kaki kanannya sahaja berbulu lebat, ketahuilah bahawa dialah wanita yang saya ceritakan di sini.)   

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, saya berhenti di sebuah kedai alat gantian dan membeli sebatang (?) kaki palsu. Kosnya saya bilkan pada akaun firma tempat saya bekerja. Memang wajar kerana saya kehilangan kaki semasa menjalankan tugas yang diamanahkan oleh bos saya.  

“Beres, bos,” kata saya apabila masuk ke bilik bos. “Dia tidak akan mengganggu bos lagi.”   

“Terima kasih, terima kasih! Gaji kau naik bulan ini.”  

“Saya harap bos tak potong gaji saya untuk kos kaki palsu ini,” saya sekadar mahu memastikan.   

“Oh, tidak. Biar saya tanggung,” katanya sambil menjentik-jentik kaki kanan saya.   

Seterusnya saya diarah ke sebuah kilang memproses kelapa sawit di Johor. Pada mulanya saya sangka ia berdasarkan satu lagi tuduhan palsu yang dilontarkan oleh pihak Amerika. Tetapi setelah meneliti segala laporan yang diterima dari kementerian, jelaslah bahawa tuduhan datangnya daripada rakyat negara ini sendiri. Firma kami, Boss Environmental Consultants Sdn. Bhd. telah diminta mengendalikan penyelidikan ke atas kes ini memandangkan belum ada tenaga pakar yang mencukupi di kementerian.   

Saya sampai melalui kereta api kelas dua. Pada mulanya saya meminta bos menempah tiket kelas pertama. Tetapi ditolaknya dengan alasan mahu menjimatkan perbelanjaan firma. Sejurus sebelum bertolak tadi, setiausaha sulit bos memberitahu saya bahawa bos telah cuba menempah tiket kelas tiga. Celaka betul lelaki pendek berperut buncit itu! Tetapi mujurlan tiada lagi gerabak kelas tiga.   

Sesampai di stesen kereta api Paloh, perkara pertama yang saya lihat adalah sebuah kuil di tepi landasan kereta api. Sebagai menghormati pesan ibu, saya masuk ke dalam untuk menyembah berhala. Tetapi saya dimaklumkan bahawa berhala telah dibawa ke India untuk dibaikpulih. Maka saya kembali ke platform kereta api.   

Saya dimaklumkan bahawa tidak ada teksi di sana. Tanpa berlengah saya memutuskan untuk menelefon bos saya di ibu kota. Saya mahu memarahinya betul-betul. Tambahan pula saya masih juga bengang di atas tindakannya mahu menempah tiket kereta api kelas tiga. Biar dia tahu bahawa saya tidak takut padanya!   

Seorang gadis India berusia belasan tahun yang bergayut pada gagang telefon telah memaksa saya untuk sabar menanti. (Bukan; dia tidak bergayut pada erti kata yang sebenar. Dan dia juga bukannya memaksa saya pada erti kata yang sebenar.)   

“Chi, raangi!”   

Gadis itu ketawa.   

“Hmm, seri,” katanya lagi kepada orang yang sedang dihubunginya melalui telefon.   

“Ayoyo, venangge!”   

Dia ketawa lagi sambil bermadu kasih melalui telefon. Anehnya sepanjang dia berbual, satu sen pun tidak dimasukkannya. Saya fikir mungkin telefon telah rosak; boleh dipakai tanpa memasukkan wang. Jadi, setelah menelefon bos bagi bertanya apa yang patut saya lakukan kini, saya bercadang hendak menelefon Prabha.   

Sudah lama juga kami tidak bertemu. Setelah hubungan kami terputus, dia mengenali seorang pemuda di tempat pengajiannya. Kini khabarnya hubungan mereka juga sudah berakhir. Jadi, tiba-tiba sahaja saya begitu ingin untuk menghubunginya semula. Tidak ada niat buruk di hati saya! Sekadar untuk bertanya khabar.   

Sesekali dapat berbual semula dengan Prabha melalui telefon pun tentu seronok. Ingin juga saya tahu perkembangan hidupnya. Tambahan, nampaknya tidak perlu memasukkan duit bagi menggunakan telefon ini! Itu yang penting buat masa ini.   

“Amava?”   

Ketawa lagi.   

“Ei, tangachi,” kata saya akhirnya apabila hilang sabar. “Ini telefon awamlah.”   

Setelah berkata sesuatu kepada orang yang dia sedang berbual, gadis itu meletakkan gagang. Kemudian, sambil mulutnya terkumat-kamit berkata sesuatu dalam bahasa Tamil bukan standard – lebih baik saya tidak menurunkan semula kata-kata itu di sini! – dia berlalu dari situ.  

“Err, telefon ni tak payah pakai duitkah?” sempat saya bertanya kepadanya sambil menahan malu.   

“Cih! Saya buat reverse charge calllah, bodoh.”   

Sambil menebalkan muka, saya menekan punat telefon. Tetapi belum sempat saya selesai menekan nombor yang ingin saya hubungi, seseorang menegur dari sisi.   

“Tuan,” kata lelaki India berpakaian khaki.   

“Saya?”   

“Kereta sudah sedia menunggu, tuan.”   

“Saya?”   

Saya masih ragu-ragu. Masakan bos saya yang kedekut itu akan sanggup menghantar driver menjemput saya. Mustahil.   

“Silakan, tuan.”   

Sambil berlagak tenang, saya menurutnya. Pemandu itu pula mengangkat beg saya yang berisi pakaian bagi tiga hari. Sekali lagi saya terkejut apabila dia membuka pintu sebuah kereta Proton Limousine dan mempelawa saya masuk.   

“Eh, awak pastikah yang awak menjemput orang yang betul?” tanya saya penuh was-was.   

“Benar, tuan.”   

“Pasti?”   

Dia menyebut nama saya berserta nama firma tempat saya bekerja. Maka, tanpa menyoal lagi, saya masuk. Limosin meluncur laju meninggalkan stesen kereta api. Di luar, melalui cermin gelap, saya nampak kawasan penanaman kelapa sawit.   

Turut kelihatan beberapa kereta BMW 325iA, Mazda Familia 323 1.6I, Volvo 360 GLE warna biru, Proton Perdana, Citroen BX 1.9GT, Mercedes Benz 200, Porsche 911 Carrera warna hitam dan Ford Laser. Malah, cukup aneh kerana di sebuah tempat terpencil seperti Paloh, saya telah berupaya melihat hampir kesemua jenama kereta mewah yang terdapat di Malaysia! Tidak ketinggalan juga beberapa buah motosikal berkuasa tinggi seperti BMW R 1100 RS dan Kawasaki ZZR 600.   

Limosin berhenti di hadapan sebuah banglo. Seorang lelaki berpakaian kot membuka pintu dan mempelawa saya keluar.   

“Selamat datang, tuan. Selamat datang. Maaf, kami tidak sempat membentangkan permaidani merah.”   

Saya terpinga-pinga tentunya.   

“Segala persediaan sudah dibuat untuk tuan tinggal beberapa hari di sini,” katanya sambil tersenyum lebar dari telinga kanan ke telinga kiri. (Benar!)   

Keletihan perjalanan membuatkan saya membatalkan sahaja niat untuk bertanya itu ini. Tambahan, memang sikap saya tidak suka banyak bersoal-soal. Malah, untuk makluman anda, saya hanya membaca surat rasmi. Surat-surat tidak rasmi pula sentiasa saya bakul-sampahkan. Jika si pengirim menghubungi saya selepas itu melalui telefon, saya akan memintanya mengirim semula surat rasmi yang ringkas padat.  

(Mungkin juga itulah sebabnya Prabha meninggalkan saya!)  

“Mandilah dulu. Air panas sudah tersedia. Makanan akan dihidangkan sekejap lagi,” lelaki yang memiliki senyuman lebar itu menerangkan sambil membantu menanggalkan baju luar saya. “Nasi beriani dan kurma ayam kegemaran tuan!”   

Wah! Bagaimana dia tahu makanan kegemaran saya?   

Selesai mandi, saya menyidai dulu kaki palsu. Telinga yang diberus dengan berus sabut kelapa juga saya vakumkan untuk mengeluarkan segala kotoran yang tersumbat. Malah leher juga terpaksa saya cuci dengan bahan peluntur kerana daki yang tebal. Patut pun kolar baju putih saya sentiasa kotor!   

Belum sempat saya membuka beg berisi beberapa helai pakaianyang sudah berusia tiga tahun lebih (nampaknya saya tidak membesar sejak itu!), seorang gadis menghulurkan sepersalinan pakaian kain kapas. Terkial-kial saya membetulkan ikatan tuala yang saya pakai ala kadar sahaja.  

Setelah bersiap, saya duduk sebentar dalam bilik berhawa dingin sambil membaca beberapa naskhah majalah Reader’s Digest yang tersusun di atas meja. Sejurus selepas itu, si gadis yang sama datang menjemput saya ke ruang makan. Dua naskhah majalah yang tidak sempat saya baca, saya selitkan ke dalam otak kanan untuk dibaca kemudian.  

Makanan berat berserta minuman berkhasiat – mereka menawarkan minuman keras tetapi saya menolak dengan lembut – maka saya dilanda rasa mengantuk. Langsung saya dipelawa berehat di dalam bilik berhawa dingin yang dikhaskan untuk saya.   

Hal yang sama berlaku pada waktu makan malam. Si lelaki yang tidak lekang daripada senyuman lebar itu sentiasa menahan saya daripada bertanya apa-apa. Selepas makan, dia menyuruh saya masuk tidur semula.  

“Berehatlah, tuan,” pujuknya.   

Pada sebelah pagi, setelah bersiap dan bersarapan, saya didatangi lelaki itu sekali lagi. Kali ini dibawanya sebuah beg hitam dan dua pengawal peribadi.   

“Encik, saya harus tahu di mana saya berada,” kata saya dengan tegas. “Saya ke sini atas tugas rasmi. Tidak wajar encik menempatkan saya di sini tanpa alasan yang kukuh.”   

“Sabar, tuan. Segalanya sudah diuruskan.” Dia mempelawa saya duduk. “Tiket kereta api kelas satu sudah ditempah untuk petang ini. Tetapi kalau tuan mahu, tuan boleh tangguhkan pemergian tuan sehingga hari Selasa. Terpulanglah.”   

“Tetapi saya ke mari atas tugas rasmi.”   

“Oh, bertenang. Tuan sentiasa berburu-buru. Lihat apa yang berlaku dua haru yang lalu.”   

Dia mengambil akhbar dari tangan salah seorang pengawal. Akhbar tabloid itu dibukanya ke halaman tengah. Terpampang gambar si wanita yang menayangkan kedua-dua belah kakinya.   

“Hebat tindakan tuan!”   

“Encik mengugut saya?”   

“Oh, tidak. Saya cuma kagum dengan tindakan tuan memberikan kaki tuan sebagai ganti rugi kepadanya.”   

Saya cuba meneliti laporan semuka dalam akhbar berkenaan.  

“Dia mahu mendakwa tuan kerana dia kehilangan kerja,” si lelaki menjelaskan. “Dia tak dibenarkan menjadi GRO lagi kerana dianggap lelaki pondan.”   

“He, he, he. Serves her right!”   

“Dia nak kemukakan saman malu terhadap tuan. Dia nak minta tuan tanggung kos untuk dia dapatkan kaki seorang wanita. Ataupun, sebagai ganti, dia mahu tuan tanggung kos pembedahan menukar jantina. Dia mahu lakukan pembedahan di Jakarta.”   

“Persetankan! Saya akan uruskan dia apabila saya sampai di KL nanti.” Saya tenung wajah lelaki yang duduk di hadapan saya. “Sekarang, boleh encik cuba ceritakan tujuan sebenar encik menempatkan saya di sini?”  

“Oh, ya. Tentu sekali. Mahu minum dulu?”   

“Tidak. Terus ke pokok perbicaraan.”   

“Baiklah, baiklah.”   

Lelaki itu mengarahkan pengawalnya membuka beg hitam yang dibawa tadi. Kemudian dia menayangkan sejumlah wang kertas seratus ringgit yang diletak bersama-sama beberapa naskhah Reader’s Digest.  

“Lima belas ribu … Ringgit Malaysia.”   

“Untuk apa?”  

  Lelaki itu bangkit menuju ke tingkap. Dibukanya daun tingkap cermin. Kemudian diajaknya saya ke sisinya. Lalu ditunjukkannya ke arah corong asap kilang memproses kelapa sawit. Asap hitam berkepul-kepul naik mengotori pandangan di angkasa.   

Wah! Entah bagaimana kilang ini masih terus beroperasi. Selayaknya ia sudah lama diarah supaya ditutup. Masakan kementerian begitu buta. Atau adakah mata pihak tertentu ditutup dengan wang kertas?  

“Laporkan bahawa kilang kami selamat untuk beroperasi dan semua wang ini adalah milik tuan,” katanya seraya memegang bahu kanan saya dengan sebelah tangan dan tangan yang sebelah lagi menuding ke arah beg hitam.  

“Gila! Nampak dengan mata kasar betapa operasi kilang encik sudah melanggar akta berhubung kebersihan udara dan alam sekitar.”  

“Sebab itulah kerjasama tuan diperlukan.”   

“Mana boleh? Itu bermakna saya mengkhianati hak setiap rakyat yang berhak menghidu udara bersih!”   

“Dua puluh ribu ringgit?”   

Saya menggeleng tanpa berfikir langsung.   

“Dua pulul lima?”   

Saya buat-buat tidak mendengar.   

“Jangan tolak rezeki.”   

Saya pandang mata lelaki itu. Kemudian (memandang) bibirnya yang kembali ditarik dari telinga kanan hingga ke telinga kiri. Dia mengarahkan sesuatu kepada pengawalnya yang segera keluar menuju ke kereta dan kembali bersama sebuah beg merah. Lelaki itu mengeluarkan sejumlah wang dari dalam beg merah dan memasukkannya ke dalam beg hitam.  

“Dua puluh lima ribu ringgit … tunai.”   

Macam mana encik tahu bahawa saya datang untuk memeriksa kilang encik? Bukankah itu rahsia rasmi?”   

Lelaki itu ketawa sebentar. Kemudian dibukanya halaman tengah akhbar tabloid di tangannya.   

“Dia yang hubungi saya …”   

“Jahanam!”   

“Dia kehilangan kerja. Jadi dia minta naungan daripada saya. Sekarang, ambillah wang ini. Sekurang-kurangnya dapat menampung kos bagi wanita GRO itu menukar jantina.”   

Tanpa berfikir panjang, saya mengambil pemetik api dari atas meja.  

“Kalau kepulan asap daripada wang ini lebih banyak daripada asap yang dikeluarkan dari corong di kilang encik, saya akan buat laporan seperti yang encik minta.”   

Tanpa berlengah, saya bakar kesemua wang kertas itu berserta begnya sekali. Tetapi majalah Reader’s Digest saya keluarkan dahulu. Asap keluar berkepul. Si lelaki itu mati langsung senyumnya. Mulutnya terlopong sebesar kepala. Kedua-dua orang pengawal peribadinya masih berdiri seperti berhala di kuil; menunggu arahan.   

“Ops, maaf,” kata saya dengan selamba apabila api padam akhirnya. “Asap dari corong kilang encik lebih tebal.”   

Sambil berkata begitu, saya mula mengemaskan beg pakaian. Tanpa berlengah, saya ke stesen kereta api. (Jangan persoalkan bagaimana saya sampai ke sana!) Kereta api menuju ke utara rupa-rupanya sudah bertolak hampir lima belas minit yang lalu. Perjalanan seterusnya hanya esok.  

Kerana tidak sabar, saya terus bersiul nyaring. Kereta api yang sudah lama bertolak itu terdengar siulan saya dan menyangka kekasihnya yang memanggil. Lalu ia segera berpatah balik ke stesen kereta api Paloh. Ini telah memungkinkan saya menaiki kereta api berkenaan pulang ke ibu negara.   

Sesampai di firma tempat saya bekerja, terus saya buat laporan. Setelah siap melalui segala prosedur, segera saya fakskan laporan rasmi ke kementerian yang berkenaan. Serta-merta bos saya dihujani panggilan telefon daripada pemilik kilang memproses kelapa sawit yang tentunya akan diarahkan agar menghentikan operasinya.   

(Entah bagaimana maklumat terkini dalam laporan itu boleh dengan begitu cepat sampai kepada pengetahuan lelaki yang memiliki senyuman dari telinga ke telinga itu!)   

Tanpa mengendahkan semua itu, saya ke rumah si wanita. Dia tergamam melihat saya.   

“Jangan salahkan saya. Pemilik kilang memproses kelapa sawit itu yang menyuruh saya membuat pendedahan kepada pihak media,” rayunya.  

Tanpa sepatah kata, saya mencabut kaki kanan wanita GRO itu dan memasangnya semula ke paha saya. Kaki palsu pula saya kembalikan ke kedai dan menuntut supaya wang saya dikembalikan.   

“Tidak boleh dikembalikan,” jerit si pekedai. “Encik sudah memakainya!”  

“Mana?” Saya mengangkat bahagian kaki seluar saya. “Kedua-dua kaki saya masih ada.”   

Saya tidak terus kembali ke firma walaupun waktu pejabat belum tamat. Saya menelefon Prabha dan kami pun keluar bersiar-siar di Perpustakaan Negara. Hanya sewaktu kami berpisah pada sebelah petang, saya sedar bahawa telinga saya sudah tertinggal di Paloh!   

Haruskah saya pergi semula untuk mendapatkannya?


BALIK