IMPIAN AMERIKANA

Oleh: FUDZAIL


Sudah terlalu lama aku tidak kembali ke bumi mewah yang penuh dengan impian besar dan realiti menakjubkan ini. Sehingga terlalu banyak yang telah berubah. Begitupun ada juga yang masih statik. "Malaysia, di mana?"

Pertanyaan itu berulang-ulang ditanya sewaktu aku mahu berangkat dari Washington. Aku sendiri masih kabur kenapa aku mesti pergi ke sebuah negara yang baru sedang merdeka, atas nama kembara. Dalam usia belasan setelah kedua ibu bapaku yang tidak pernah berkahwin berpisah dan membawa hala masing-masing. Generasi 'baby boomers' yang ghairah dengan kebebasan hippie.

Malaysia yang kudengar dari seorang kawan sekolah dari England yang bapanya seorang askar bertugas di Malaya. Tiada apa yang menarik minatku tentang Malaysia, kecuali nama itu dan segala kekaburan tentangnya. Mungkin di sana ada dunia yang lebih baik untuk sebuah 'American dream'.

Semua itu hampir tiga puluh tahun dahulu. Tigapuluh tahun juga aku tidak pulang. Malah aku tidak peduli langsung untuk tahu di mana kedua ibu bapaku. Tiada nostalgia dan memori. Tiada apa-apa lagi. Selain kematian Martin Luther King. Pejuang kebebasan kulit hitam itu. "Malaysia? Pernah dengar nama itu!" Masih lagi begitu sambutan mereka yang menyambut kepulanganku.

"Apa selama itu kau tidak rindukan Amerika?"

Pertanyaan bodoh, menghina dan ignoran yang tipikal untuk rakyat Amerika dari dulu sehingga sekarang.

"Apa saja yang ada di Amerika, ada di Malaysia. McDonald, KFC, satelit dan kabel TV yang hampir semuanya program Amerika, filem-filem Hollywood, muzik-muzik, fesyen, bola keranjang NBA, bola lisut Liga Dunia, American Football, seks bebas, sumbang muhrim, AIDS, pencakar langit, LRT dan hampir semuanya! Kecuali mungkin tiada empat musim dan presiden!"

Ya, presiden! Antara sebab aku mahu pulang kerana aku tidak sempat dengan skandal JFK. Ironi, kerana Bill, presiden sekarang menjadikan JFK sebagai idola. Bukan satu kebetulan.

"Seorang presiden punya skandal seks?" Aku bertanya memulakan borak berpura-pura tidak tahu. Sedangkan di Malaysia yang dikatakan sebuah negara Islam itu juga ada ahli politik yang dikatakan kena tangkap basah. Skandal dengan isteri orang, artis dan janda. Mungkin ahli politik sama saja di mana-mana.

"Apa yang hendak dihairankan? Setiap presiden Amerika punya skandal tertentu, dan kali ini seks" Jawab seseorang sewaktu aku berhenti di sebuah bar.

"Tetapi dia telah menidakkan segala dakwaan berkali-kali!" Jawab yang lain, mungkin seorang Demokrat. Dan hampir semua orang mempercayainya. Kenapa tidak sekarang?

Skandal seks presiden Amerika? Mungkin mereka hidup tanpa elektrik atau bateri dan yang hidup terpencil jauh dari segala berita pun sudah tahu tentang itu! Amerika negara paling berkuasa di dunia, lebih berkuasa dari PBB. Boleh saja menggertak mana-mana negara. Walaupun selalu tunduk pada Israel dan kuncu-kuncu.

Malah kalau di Malaysia, mungkin anak kecil pun sudah tahu apa itu 'seks oral'! Sudah kenal wajah Monica Lewinsky! Begitulah pengaruh Amerika melalui globalisasi maklumat, budaya dan hiburan.

Aku memang turut mengikuti semua perkembangan itu dari jauh, dari CNN, dari akhbar dan dari Internet. Memang kekadang bertanya tentang perasaan Hillary. Kasihan Hillary. Skandal terbaru mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan lagi. Dia sudah terlalu biasa dengan semua itu.

Dia mungkin terpaksa melalui kehidupan pura-pura. Menjadi seorang pelakun Hollywood yang boleh mendapat anugerah oskar sebagai aktress terbaik. Dan perkahwinan mereka bukanlah sesuatu yang tipikal. Dikelaskan sebagai 'marriage of convenience'.

Kta orang, kalau sukakan daging lembu, kahwin saja dengan penternak lembu. Kalau sukakan kuasa? Kahwin saja dengan seorang ahli politik yang sedang naik. Itulah yang Hillary lakukan. Hillary sebenarnya mahu menunggang kuasa politik Bill sejak awal lagi. Kuasa seorang presiden paling berkuasa di dunia.

Mungkin cerita-cerita lama mengenai keganjilan perkahwinan mereka telah juga merata menjadi gosip. Seperti mana cerita seorang pengawal peribadi negeri negeri Arkansas sewaktu bertugas di rumah governor, yang mendakwa mendengar Hillary menjerit sekuat hati pada Bill, "Kau keluar sepanjang masa meniduri teman-teman wanita bersilih ganti. Tidakkah kau tahu aku juga perlukan nafkah batin lebih dari sekali setahun?"

Ianya bukan jenaka dari "America's Funniest Home Videos"! Walau aku ketawa dalam simpati. Sekiranya aku adalah Hillary, mungkin telah lama Bill menjadi Bobbit! Agar Bill tahu erti kelakian sebenarnya! Harga diri seorang wanita!

Dan apakah orang Amerika terusan ignoran? Bangkitlah dari tidur. Bukan Saddam saja yang menjadi igauan buruk. Kenapa memilih seseorang yang sedang mengidap penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Nafsu Seks ini sebagai presiden? Lelaki yang bertuankan nafsu serakah. Bangkitlah Amerika sebelum presiden kita memecahkan rekod Elvis dalam meniduri wanita!

Sekiranya pula aku seorang pejuang feminis, sudah lama aku menganggap Hillary telah menderhaka pada perjuangan liberalisasi wanita. Sebagai Wanita Pertama dunia yang menggambarkan wanita profesional di era moden, dia telah gagal dalam peranannya menjadi model contoh.

"Memang Hillary dalam keadaan sukar tetapi kita mesti menyingkir Hillary dari senarai feminis!" Saranan seorang wanita tua yang pernah ku kenal sebagai jiran dan kini berumahtangga di kaki lima. "Dia telah menggagalkan feminisme kerana telah meletakkan dirinya dari segala inkarnasi lain, sebagai isteri, sebagai Wanita Pertama, sebagai rakyat Amerika dengan mempertahankan sebuah kerusi presiden yang hampir pupus dengan moral dan akhlak!"

Memang aku amat bersetuju. Sekiranya Hillary berterusan berdiri di belakang seorang lelaki korup seperti itu, atau kerana terlalu menyintai suaminya atau mengasihani anak perempuannya, maka dakwaannya sebagai pejuang feminis telah boleh dipertikaikan!

Seorang wanita kulit hitam yang sama menjadi rakyat tanpa rumah dan hidup terbuang dengan selamba berkata. "Jangan salah anggap. Sekiranya Hillary mahu mempertahankan kerusi presiden suaminya, maka dia adalah seorang nasionalis, bukan feminis. Dan kalau dia mahu berkongsi kuasa presiden, dia memang bukan feminis. Feminis punya maruah kerana dia hanya dihormati jika dia mempertahankan kuasa dengan kehebatannya sendiri. Bukan sekadar ikon dibalik kemeriahan kuasa!"

Memang perbualan dan gosip kini berpindah kepada Hillary. Wanita malang dan teraniya itu!

Melihat Hillary di TV mempertahankan seorang suami yang curang dari analisa berita yang diulang-ulang menjadikan aku lebih dekat pada seorang wanita yang menyimpan seribu rahsia dan derita.

"Saya boleh nyatakan tanpa ragu seperti mana yang dinyatakan oleh suami saya, dakwaan-dakwaan ini adalah palsu!" Dia terus menyebut 'suami saya' 22 kali dalam masa 18 minit temuramah itu! Apakah Hillary terlalu terpengaruh dengan Aldous Huxley dan George Owell, dua tokoh penulis pujaannya? Bagai juga mengesahkan Hillary adalah golongan masochisme!

"Saya sudah mempelajari sejak lama, bahawa hidup dalam dunia politik dengan suami saya, apa yang utama ialah apa yang terjadi diakhir segalanya berakhir dan perkara yang masih dalam konteks. Dari situ rakyat akan membuat penilaian!"

Dan dia masih boleh bertahan dengan segala skandal ini. "Sebab saya telah mengalaminya banyak kali sebelum ini!" Mungkin maksudnya, dia telah mengalami skandal kecurangan suaminya banyak kali sebelum ini. Yang juga dikenali sebagai 'Zippergate'. Istilah kekerapan Bill membuka zip dan menanggalkan seluar dalam pada wanita lain selain Hillary! Walau Hillary menuduh semua itu konspirasi sayap kanan terhadap Bill! Idealnya dia sebagai seorang isteri presiden Amerika abad ini!

Mendengar semua itu memang Hillary bukan sembarangan isteri, atau mungkin sihipokrit paling glamour! Kerana masochisme adalah pengalaman dari penderitaan yang diiringi oleh keseronokan. Hubungan antara kesakitan dan keseronokan tersembunyi diluar kesedaran. Apakah ini masochime yang bermaksud keseronokan diluar kesedaran Hillary dengan gelagat curang Bill? Tetapi mempelajari karektor Hillary akan dapat memahami kepimpinan Bill dan Bill sendiri sebagai manusia. Jiwa Hillary dipenuhi dengan kebencian, bimbang, terhina dan nihilism. Disebalik keberaniannya dengan tebal muka mempertahankan Bill, dia bertindak dengan rasa bersalah dan malu pada emosinya sendiri. Bukankah itu semua masochistic?

Tiba-tiba semua rangkaian TV membuat siaran langsung ekslusif dari Rumah Putih. Tajuk utama menghiasi kaca TV

"BILL TERUS MENOLAK DAKWAAN HUBUNGAN SEKSUAL!"

Dari Washington, DC. Biarpun Paula telah gagal namun dakwaan salah laku seks terus menghantui takhta presiden. Bill sedang mengadakan persidangan akhbar di pejabat oval (atau oral)nya menolak segala dakwaan yang beliau mengadakan hubungan seks dengan Monica mahupun wanita yang lain. "Kami tidak semata-mata mengadakan hubungan seksual," Bill membuat kenyataan dengan tegas dan lantang. "Kami sebenarnya berasmara dengan penuh ghairah dan nikmat!"

"Saya kata yang saya tidak mengadakan hubungan seksual dengan wanita-wanita itu, dan saya teguh dengan kenyataan itu," Bill memberitahu wartawan. "Kami tidak, saya ulang, tidak hanya membuat hubungan seksual. Kami berdua berkongsi perasaan dengan menghabiskan masa bersama lebih dari sekadar berpelukan atau berciuman!"

Menurut Bill, antara Disember 1995 dan April 1996, dia dan Monica bukan sekadar melakukan hubungan seks. Malah katanya, mereka berfoya-foya berjam-jam lamanya di pejabat Oval, saling membaca sajak-sajak, saling menyuap strawberry, saling mengucup diantara muka dan leher sebelum menikmati kehendak nafsu membara dua manusia yang saling memerlukan! Bukan sekadar fizikal, ianya penyatuan rohani dua jiwa!"

Akhirnya Bill memberitahu wartawan. "Sekiranya pergandingan dua jiwa yang suci adalah jenayah, maka bersalahlah saya. Tetapi apakah kalau kita mengharamkan cinta, apakah ertinya sebuah negara? Apakah ertinya menjadi manusia sekiranya tidak dapat berkongsi rohani dan jasmani?"

Bill mahukan rakyat melupakan saja skandal itu kerana kesemua dakwaan tidak berasas itu menganggu kerjanya sebagai presiden dari perkara yang lebih penting untuk agenda negara dan keselamatan dunia, terutama menghadap musuh seperti Saddam, Ghadafi, Castro ataupun puak Hamas.

Wanita Pertama, Hillary juga terus mempertahankan sokongan terhadap suaminya dengan memujinya sebagai pemimpin teragung di dunia yang amat menyintai rakyat (terutama wanita seksi atau bimbo) dan negara, satu tanggungjawab seorang presiden abad ini.

"Sebagai feminis No.1 yang dikenali serata dunia, saya amat menentang diskrimasi terhadap wanita hanya digunakan sebagai objek seks semata. Tetapi perhubungan Bil dan wanita-wanita itu melebihi dari seks. Ianya amat mendalam, suci dan luhur, seperti mana hubungan saya dan Bill dalam perkahwinan diluar karier kami sebagai presiden dan wanita pertama!" Dalam pungutan suara yang dibuat secara online, 70% rakyat Amerika mempercayai yang Bill bercakap benar. Apakah salahnya hubungan sesama manusia yang berkasih sayang?

Kemudian Hillary telah juga membuat pengumuman penting yang dia akan menjadi rakan naib presiden sekarang, Al untuk merebut kerusi presiden sesi akan datang.

"Ianya bukan sekadar untuk memperjuangkan hak-hak feminisme dan wanita malah untuk golongan homoseksual kerana saya juga seorang biseksual dan kini lesbian sepenuhnya (kerana saya tidak lagi mempercayai lelaki terutama Bill)!"

Mendengar kenyataan akhir itu aku segera menjadi penyokong kuat Hillary. Kerana aku juga seorang lesbian yang melarikan diri ke Malaysia. Setelah tidak mempunyai tempat dalam masyarakat jumud kampungku di Amerika ini 30 tahun dahulu. Menghancurkan sebuah "American Dream' yang mungkin mendahului zaman.

Pasangan lesbianku, seorang wanita Malaysia yang menjadi kekasihku sejak 25 tahun itu segera gembira bila aku memberitahu tentang keinginan aku untuk kembali menetap di Amerika sebagai rakyat yang setia.

"Selamat datang ke Amerika, 'land of plenty and opportunities' dan satu-satunya negara paling demokrasi serta pejuang hak asasi manusia terunggul di dunia!" Bisikku sambil memeluk erat kekasihku itu.

Kami pun berkucupan penuh ghairah di depan Rumah Putih malam syahdu itu sebagai lambang sebuah sokongan padu pada seruan cinta Bill terhadap rakyatnya. Terutama matlamat 'American dreams' yang kian tercapai buat golongan homoseksual seperti kami.

Hidup Bill! Hidup Hillary! Hidup Amerika! (Hidup Spice Girls!)


BALIK