KERIS & LAIN-LAIN SENJATA
Keris merupakan salah satu senjata orang-orang Melayu. Permainan keris biasa diajarkan di dalam kebanyakan silat. Tanpa mengetahui permainan keris, tak lengkaplah ilmu kependekaran seseorang itu. 

Antara keris yang terkenal hingga kini ialah seperti Keris Taming Sari dan Nogo Sorso yang mempunyai luk 13 dan matanya berbentuk ular naga yang diperbuat daripada emas. Untuk menentukan jenis keris yang terdapat di kepulauan melayu adalah dari pemerhatian keatas bentuknya iaitu hulu, sarung dan bentuk matanya. 

Dari bentuk inilah keris boleh dibahagikan kepada 7 jenis: 

  • Keris Semenanjung atau Utara
  • Keris Pekakak
  • Keris Jawa
  • Keris Sumatera
  • Keris Bali dan Madura
  • Keris Bugis
  • Keris Sundang atau Solok
Bagi menempa sebilah keris sekurang-kurangnya hendaklah dari 2 jenis besi yang berlainan dan 7 jenis besi bagi keris yang baik. Adalah dipercayai keris kepunyaan Laksamana Hang Tuah diperbuat daripada 20 jenis besi yang diambil dari tempat yang berlainan. 

Kebanyakan keris zaman dahulu adalah berbentuk 'peribadi' yang diperbuat daripada tangan iaitu 'picit'. Tukang besi terlebih dahulu akan mengenal pasti tuan empunya dan ayat-ayat al-Quran digunakan, selain ayat tertentu yang bersesuaian dengan pemiliknya. 

Panjang atau lebar mata sebilah keris bergantung kepada jenis sama ada dilurus atau berluk-luk. Jumlah luk keris adalah dalam angka ganjil. Ulu keris diperbuat daripada kayu, tanduk atau tulang. Ulu keris akan diukir cantik dari pelbagai rupa dan bentuk mengikut kehendak pemiliknya. Ada juga hulu keris diperbuat dari emas. Pada kurun ke-15, Sultan Mahmud Shah telah mengistiharkan hanya kerabat diraja sahaja boleh menggunakan keris berulukan emas. Ulu keris jenis ini dinamakan : 

  • Keris Ulu Kencana
  • Keris Harubi
  • Keris Marubi 
  • Keris Bawang Sebongkol
 Sarung keris juga mempunyai nama-nama tertentu iaitu: 
  • sampir
  • sarong
  • buntut
Sampir diperbuat daripada kayu keras yang cantik dan adakala juga diperbuat daripada gading. Sampir merupakan bahagian yang tebal serta lebar dan mempunyai bentuk jalur bujur dan jalur bulat. 

Sarong pula berbentuk panjang lurus dan ada pula yang meruncing sedikit ke sebelah bahagian hujungnya yang diperbuat dari kayu atau gading. 

Bahagian buntut pula diperbuat dari kayu, tulang, tanduk, gading ataupun logam dan mempunyai empat jenis bentuk yang berlainan iaitu bulat tempurung, bujur sirih, bujur sangkar dan mata kapak. 

Melihat bentuk-bentuk tertentu pada keris menampakkan satu nilai seni dan budaya yag tinggi masa lampau dan zamannya. Bagi seorang ahli silat, keris itu lambang seorang pendekar dan lambang kekuatan melayu . 
 
 

LAIN-LAIN SENJATA:

1. Tumbuk Lada
2. Sewar
3. Rencong Aceh
4. Rencong Aceh (dipakai wanita)
5. Badik
6. Badik Tampang Teruna
7. Buku Lima