Anwar tidak sakit
 

        Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menerima laporan perubatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Hospital
        Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak mengalami
        keracunan arsenik akut atau kronik.

        Laporan itu juga menyatakan Anwar tidak mengalami penyakit seperti HIV; Aids; kegagalan kinjal; kencing manis;
        tirotoksikosis; anemia kronik; TB atau penyakit barah yang menjadi punca kepada gejala dialami.

        Sehubungan itu, Hakim Datuk Ariffin Jaka, berkata beliau menerima keputusan pasukan perubatan HUKM bertarikh 4
        Oktober yang Anwar stabil dan layak untuk hadir ke mahkamah.

        "Soal yang penting dalam perkara ini, adakah Datuk Seri Anwar sihat dan boleh ke mahkamah.
        Berdasarkan beliau sudah dibenarkan keluar hospital dan hari ini boleh ke mahkamah menunjukkan beliau
        sihat," katanya.

        Laporan pasukan perubatan HUKM itu turut membuktikan bahawa dakwaan isteri Anwar, Datin Seri
        Wan Azizah Wan Ismail bahawa suaminya disuntik dengan virus HIV pada sekitar September tahun lalu
        adalah tidak benar.

        Mahkamah juga tidak dapat membenarkan permohonan Anwar yang dikemukakan menerusi peguam
        belanya supaya doktor yang merawatnya dipanggil ke mahkamah untuk memberi penjelasan berhubung
        keputusan mereka.

        Ariffin berkata, mahkamah berpuas hati dengan keputusan pasukan perubatan itu yang dibuat secara
        terperinci, walaupun mahkamah mengarahkan HUKM memeriksa sama ada Anwar mengalami keracunan
        arsenik seperti yang didakwanya.

        Timbalan Pendaftar Rozilah Salleh membacakan kesimpulan keputusan itu yang mempunyai tujuh halaman
        dan ditandatangani Ketua Pasukan Perubatan Rawatan Anwar, Profesor Perubatan dan Pakar Perunding
        Kardiologi, Dr Khalid Yusoff; Pengarah Perubatan HUKM, Profesor Perubatan dan Pakar Perunding
        Endokrinologi, Dr Khalid Abdul Kadir; Pakar Perunding Perubatan Forensik, Prof Madya Dr Shahrom
        Wahid dan Pakar Kardiologi, Dr Abdul Latiff Mohamed.

        Ahli lain pasukan itu adalah Pakar Perunding Neurologi, Profesor Dr Raymond Ali; Pakar Perunding
        Dermatologi, Profesor Dr David Riches; Pakar Perunding Tekak-Hidung-Telinga, Profesor Dr Lokman
        Saim.

        Pakar Perunding Gastroenterologi, Profesor Madya Dr Aminuddin Ahmad; Pakar Perunding Psikiatri
        Forensik, Profesor Madya Dr Hatta Shahrom; Pakar Perunding Oftalmologi, Profesor Madya Dr
        Muhaya Muhamad; Pakar Respiratori, Dr Roslan Haron serta Pakar Kemalangan dan Kecemasan, Dr
        Azhar Abdul Aziz.

        Dr Wan Azizah tidak hadir ketika keputusan itu dibacakan dalam mahkamah. Hanya anak mereka, Nurul
        Izzah dan bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman serta adik beradiknya hadir di mahkamah.

        Anwar yang kelihatan sihat agak ceria berbanding ketika beliau didakwa mengalami keracunan arsenik.
        Beliau kelihatan berbual dengan kaum keluarganya serta berjabat tangan dengan penyokong ketika
        mahkamah berhenti rehat.

        Bagaimanapun, kaum keluarganya tidak kelihatan membawa makanan untuk diberi kepada Anwar seperti
        yang dilakukan sebelum timbul isu keracunan arsenik pada 10 September lalu.

        Mahkamah juga agak lenggang tidak seperti hari sebelumnya. Tempat duduk awam yang selalunya
        dipenuhi penyokong bekas timbalan perdana menteri itu masih banyak ruang kosong.

        Mahkamah memulakan persidangan pada jam 10.25 pagi selepas peguam bela Anwar; peguam bela
        Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah selesai menemui
        Ariffin dalam kamarnya.

        Sebaik saja mahkamah memulakan persidangan, Ariffin membacakan kesimpulan keputusan pasukan
        perubatan itu dan memberitahu pihak terbabit bahawa mahkamah tidak akan mengedarkan laporan itu
        kepada media.

        Katanya, terpulang kepada peguam bela Anwar untuk mengedarkan laporan itu kepada media.

        Peguam bela Anwar, Christopher Fernando dan Karpal Singh tidak keberatan apabila diminta oleh
        wartawan yang membuat liputan itu supaya laporan berkenaan difotostat.

        Apabila Ariffin selesai membaca kesimpulan itu, Karpal bangun dan berkata, berdasarkan kesimpulan
        laporan perubatan, keputusan itu belum lagi muktamad.

        Bagaimanapun, Ariffin berkata, bukan tugas mahkamah untuk membuat keputusan sendiri berhubung
        laporan itu.

        "Bagi saya, kesimpulan itu menyatakan keseluruhan keputusan pasukan perubatan HUKM, " katanya.

        Karpal mencelah: Kenapa Yang Arif takut dengan laporan itu?

        Ariffin: Saya terima kesimpulannya, saya tidak kisah dengan kandungan laporan itu. Berhubung keracunan
        arsenik, apa yang awak mahu saya buat. Awak membuat dakwaan Datuk Seri Anwar diracun, jadi saya
        arahkan pemeriksaan rapi dijalankan ke atasnya. Jadi hari ini saya terima laporan itu dan saya arahkan
        Timbalan Pendaftar saya supaya tidak edarkan laporan itu pada media.

        Beliau kemudian mengarahkan Rozilah membacakan keseluruhan kesimpulan keputusan itu selepas
        diminta oleh Karpal yang tidak berpuas hati dengan tindakan Ariffin membaca sebahagian kesimpulan itu.