OLE! OLE! OLE! O LA LA!

Oleh: Fudzail


Seharusnya aku berada di Stade de France Saint-Denis, Paris. Berpesta dengan France'98. Brazil! Brazil! Les Blues! Les Blues! Tenggelam dalam laungan gema stadium. Merayakan final. Bersama-sama bersamba. Bernyanyi-nyanyi.

Tetapi begitulah. Dari laman web Ronaldo, tidak semena-mena aku berada di sini. Bagai terhumban keluar dari skrin. Setelah bertemankan tetikus dan Netscape menjalari denyutan elektronik. Menrealiti dunia maya dibawah sedar.

Sebuah teksi kuning pun berhenti di Bento Ribeiro yang terletak di barat daya Rio De Janeiro. Hampir sejam perjalanan. Menurut nasihat seorang teman emel, adalah lebih selamat menaiki teksi dari bas di Rio.

Kawasan 'slump'. Rumah-rumah tua bagai terbakar oleh terik mentari. Ada yang bagai tiada pintu dan tingkap. Diantaranya padang-padang kecil yang bertaburan. Terdapat sebuah stesen keretapi. Bagai sebuah balairaya, dipenuhi manusia. Semuanya berjersey kuning biru.

"Ya, Ronaldo memang berasal dari sini!" Jawab anak muda yang berkepala botak sebaik aku bertanya. Wajahnya kegirangan. Ramai yang lain yang sama berkepala licin mula mendekati kami. Benarlah kata pemandu teksi tadi walau kami bagai ayam bercakap dengan itik.

"Kami semua kawan-kawan Ronaldo sehingga umurnya 13 tahun, sebelum dia menjadi bintang!" Francessco, nama anak muda itu terus saja bercerita. Berbahasa Portugis dan diterjemah secara kasar oleh notebookku. "Sama-sama dulu bermain bola pakai kaki ayam dengan lutut yang luka-luka!"

Mereka ketawa. Bangga. Mengheret aku ke jalan General Caesar Obino. Pintu rumah yang diketuk pun terbuka. Muncul seseorang yang seiras wajah Ronaldo. Sepupunya, Fabio.

Rumah itu memang kecil dengan laman yang kering. Tiada banyak pokok. "Di sini Ronaldo dilahirkan, 22 September 1976!" Fabio bagai seorang pemandu pelancung yang tahu apa yang ingin aku tahu. "Sewaktu kecil, semua orang memanggil dia Dadado dan dia manja dengan ibunya, Mummy Sonia. Ayahnya Nelio meninggalkan mereka!"

Fabio terhenti. Memandangku. "Seu, awak dari mana tadi?"

"Malaysia!" Jawabku pendek. Fabio terdiam. Seperti biasa tiada ramai yang tahu. Seperti biasa aku perlu menjadi rakyat yang berbangga dengan tanahair. Dengan menara kembar tertinggi, dengan kompleks stadium untuk sukan komanwel yang tercanggih, dengan lapangan terbang paling moden, dengan MSC, Proton, Perodua dan antara juara badminton Piala Thomas. Fabio berkerut mendengarnya ambil menggeleng-geleng. Dia tidak peduli fakta-fakta tersebut. Bola matanya berkata, so what? "Bagaimana dengan bola?"

"Oh, kami pun memanggil bola dan secara tradisi kami semua penyokong setia Brazil, malah menganggap Brazil bagai pasukan kami juga!" Kataku bersahaja sambil terus merakamkan gambar dengan videocam. Fabio menepuk-nepuk bahuku. "Ole! Ole! Ole!"

Tiba-tiba muncul Edoardo, seorang lagi sepupu Ronaldo. Kami pun memasuki rumah kecil itu. Bersiling rendah dengan dinding yang lapuk. Terpampang jersey Barcelona dengan nombor 9 di balik pintu. Sebuah dapur yang berselerak dan sebuah bilik tidur. Terhidu kemiskinan.

Begitulah, berbanding dengan anak-anak Malaysia yang mewah. Tiada anjakan untuk menjadi hebat seantaro dunia. Yang ramai menjadi pemain bola sekadar untuk glamour. Dengan pendapatan melebihi bakat dan kemampuan sebenar. tidak juga semangat patriotik untuk mempertahan maruah sukan negara. Termasuk menjual maruah dengan rasuah.

Dengan pengurusan bolasepak yang berterusan amatur bila permainan sudah menjadi liga profesional. Dengan politik yang lebih menguasai pentadbiran bila terlalu ramai ahli politik menggunakan persatuan bola sebagai batu loncatan.

Ah! Tersentuh hati mengenang itu semua, sampai bila? Apakah mereka sudah cukup berpuas hati sekadar jaguh kampung? Atau kita tidak pernah boleh menjadi jaguh dunia? Apakah sudah cukup dengan rekod yang ada? Malaysia Boleh?

Aku menjengok keluar. Sebatang pokok mangga tidak terjaga.

"Ronaldo sukakan mangga!" Eduardo bagai menjawab pandanganku.

"Duriano!" Perkataan itu tiba-tiba muncul dari mulutku. Tidak sengaja. Mungkin teringatkan musim buah durian yang sedang meriah. Ada persamaan antara durian dan Brazil. Sama berwarna hijau dan kuning. Sama-sama raja, raja buah dan raja bolasepak.

Edoardo dan Fabio menoleh kepadaku. Hairan dengan nama itu. Aku tidak mahu menjelaskan pasal durian dengan panjang lebar. Juga mengenai tujuanku ke Brazil. Ini adalah lawatan sambil menyelidik. Sebuah migrasi produk. Dulu dari 1850 hingga 1912, Brazil adalah pengeluar monopoli getah yang tumbuh liar di Amazon.

Sehingga Henry Wickham membawa benih getah ke Kew gardens di London dan bersama perang dunia pertama (1914-1918), Malaya subur dengan getah. Kegemilangan Brazil dan getah di Amazon terkubur. Kini aku mahu menjadi Melayu yang membawa durian dan benihnya ke Brazil.

Dan aku perlukan Ronaldo.

***********

Mummy Sonia memang becok tetapi baik hati. Cerita jirannya di kompleks penempatan baru Jacarepagua. Berhampiran litar memorial Aytron Senna dan sebuah velodrome. Kawasan kelilingnya di penuhi dengan pokok-pokok. Terjaga keselamatan walau kemungkinan usaha menculiknya sentiasa ada.

Mummy Sonia tidak suka Ronaldo bermain bola. Tiada masa depan, katanya sungguh-sungguh. Tetapi kepala Ronaldo hanya dipenuhi dengan bola, bola, bola. Tetapi Mummy Sonia tahu yang dia tidak mungkin sekali dapat menghalang Ronaldo.

Dan aku senyap-senyap berterimakasih dengan Mummy Sonia kerana berputus asa. Mungkin dunia seluruhnya. Walau Mummy Sonia terkilan Flamengo tidak memilih Ronaldo pada tahun 1990. Bukan kerana prestasi tetapi wang. Ronaldo tidak mempunyai wang untuk naik bas pergi latihan!

Mummy Sonia masih bersedih bila bercerita pasal itu. Pele generasi alaf 2000 telah ditolak oleh Flamingo. Nasib baik Martins dan Pitta kemudiannya menaja Ronaldo kerana tanpa tajaan, tiadalah impian. Bermula dari pasukan San Cristovao, Ronaldo bekerja keras untuk memburu kejayaan. Untuk keluar dari kemiskinan, itu saja caranya.

Mummy Sonia lebih bimbang bila Eindhoven melamar Ronaldo. Tetapi kemudian sama-sama tinggal di Belanda untuk memasak dan menjaga Ronaldo. Seterusnya berhijrah di Barcelona.

Aku terus mencatat dalam komputer notebook. Jiran Mummy Sonia, Agnesia terus pok pek pok pek bercerita. Kepalaku masih di Perancis. Mengira statistik gol Ronaldo. Purata satu gol setiap perlawanan. Tetapi dia bukan bintang di France'98. Rivaldo, Suker, Owen, Saras dan Batitusta lebih menyerlah.

"Ini duriano!" Tunjukku pada Agnesia dari skrin notebook. Terbeliak mata Agnesia. Pelbagai imej-imej durian dari pelabagai sudut. Hanya tiada baunya."Buah ini sedap, raja buah di Asia!" Kempenku dan Agnesia memanggil jiran-jirannya yang lain.

Mereka pun tak henti bertanya. Mungkin jauh bezanya dengan buah-buahan tempatan Brazil, seperti limau, laranja-lima, fruta de conde, betik, jabuticabas, abacaxi, avocado, carlontinhas dan pitangas.

Sambil menghirup cafezinho, mataku pada gambar-gambar Ronaldo yang terpampang di dinding rumah. Dengan siaran TV yang tidak henti-henti menonjolkan sedutan perlawanan Brazil di France'98. Terutama tentang Ronaldinho, gelaran untuk Rinaldo, sebagai anak lelaki untuk semua rakyat Brazil.

Memang Ronaldo adalah simbiosis antara seorang ahli silap mata dan Rambo. Bergerak seperti Di Stefano, kekuatan Bald, kepantasan Cruyff, kawalan bola Maradona, keanggunan Van Basten, keanjalan Eusebio dan kelicikan Romario. Seorang Pele buat generasi aku, generasi MSC yang lahir bersama Dasar Ekonomi Baru dan wawasan 2020.

Tetapi Ronaldo tidak sempurna, kata Carlos Alberto Parreira. Tendangan kaki kirinya lemah dan dia tidak boleh menjaringkan gol melalui tandukan. Memang Ronaldo bukan pemain terbaik di dunia tetapi pastinya yang paling popular. Ada keserasian dan menepati Durian sebagai buah paling popular dan paling sedap. Cuma baunya mungkin tidak menarik. Tetapi ianya boleh menjadi produk buah tajaan rasmi untuk Piala Dunia 2002. Malaysia sudah boleh dijangkakan akan gagal lagi ke pusingan akhir, biar saja duriano menjadi duta. Dan kali ini di jersey pasukan Brazil!

***********

Menyusuri Copacobana bagai menikmati alam dan manusia bersatu. Iklan besar Ethanol, bahan api gantian buatan Brazil dari tebu mengingatkan aku pada produk yang sama keluaran MARDI. Dari minyak sawit yang dikatakan sama mesra alam. Kereta-kereta lalu lalang mengingatkan aku pada Proton, Perodua, POEM dan Hicom.

Memandang jauh ke patung Jesus Christ yang tersergam memandang Rio de Janeiro dengan iklan tayar Pirelli, mengingatkan aku pada tayar buatan Malaysia. Membayangkan kuasa iklan mempengaruhi pasaran. Bayangkan ditambah dengan replika kereta Proton Perdana, minyak petrol Petronas dan paling strategik sekali diserikan dengan replika durian!

Karnival memenuhi Rio. Brazil akan memenangi Piala Dunia buat kelima kali, penta. Itulah ramalan setiap orang di Brazil dan majoriti di dunia. Segalanya menjadi satu imej bergrafik di laman web. Muzik samba dan lambada sama menjadikan suasana begitu meriah dan ianya dalam bulan Julai! "Bolasepak adalah Brazil!"

Tiada siapa menyangkal kebenaran itu. Bagi rakyat Brazil bolasepak adalah yang kedua penting selepas Tuhan. Dan ada 160 juta jurulatih bolasepak di Brazil. Memenangi Piala Dunia adalah kewajiban. Dan mesti menang dengan stail. Samba!

Sewaktu melayari Muzium bolasepak maya, aku terjumpa dengan nama-nama agung bola Brazil. Seawal Petronillo de Brito, Arthur Friedenreich dan Leonidas da Silva yang rekod jaringan golnya lebih baik dari Pele, 24 gol dalam 24 perlawanan. Pele yang dianggap teragung sekali dan lagenda. Kemudian Ademir, Garrincha, Vava, Didi, Zagallo, Zico, Rivelino, Socrates, Romario, Ronaldo dan yang terkini Caio.

Bukankah semua ini boleh jadi jenama jenis-jenis durian? Termasuk Taffarel, Aldair, Roberto Carlos, Leornado, Bebeto, Rivaldo, Cafu, Dunga dan Sampaio. Jutaan rakyat Brazil dan lima billion penduduk dunia akan mengingati mereka. Juara Dunia akhir abad ini!

"Brazil mempunyai pelbagai jenis tanah. Juga beraneka cuaca, panas dan kering di timur laut. panas dan paling basah di Amazon termasuk di tenggara, dan sederhana di bahagian pantai dan tengah!" Sumber dari laman web itu segera aku simpan untuk rujukan.

"Sesuai untuk kacang soya, padi, jagung dan gandum. Selain kapas, tebu, buahan tropika, epal dan anggur. Produk hutan seperti getah, kacang dan fiber juga kini ditanam! Kerajaan Brazil juga menggalakkan produk tumbuhan baru seperti kacang soya yang kini menjadi salah satu ekspot utama dan meningkat!"

Maklumat itu penting untuk penyesuaian durian. Mungkin aku perlukan bantuan MARDI. Impot menjadi semakin penting dalam kegawatan ekonomi. Apalagi menjadi usahawan durian di Brazil dengan menggunakan kesuburan Amazon yang pernah melahirkan getah untuk berdusun durian.

Ini boleh meletakkan aku dalam senarai "Who's Who" mereka yang terkaya di dunia. Cukup 10 peratus sahaja rakyat Brazil jadi penagih durian. Dan aku boleh bersama Bill Gates di persada senarai Fortune. Gates dengan Microsoft dan aku dengan Duriano.

Apalagi kalau dapat menjadikan durian sinonim dengan bola di Brazil. Dan bola sinonim dengan Brazil. Paling hebat kalau Ronaldo sukakan durian yang bernama Ronaldo! Anak-anak remaja Brazil yang miskin akan makan durian 'Ronaldo' sambil berangan-angan untuk menjadi Ronaldo.

Segalanya bagai satu jigsaw puzzle 1,000 keping yang hampir siap. "Tahun 2002 tidak lama lagi dan pertama kali Piala Dunia berlangsung di Asia!" Aku bercakap dengan bayang-bayang sendiri yang berbentuk ikon wajahku menjelang senja di Rio.

"Mengapa tidak gunakan Sukom saja?" Bayang-bayang dari skrin itu menjawab. "Bukankah Sukom lebih besar dari piala Dunia. Lebih banyak negara dan atlit menyertainya? Lagipun ianya berlangsung di Kuala Lumpur!"

"Memang berlangsung di Kuala Lumpur, tetapi tiada bola, tiada Brazil, tiada samba dan tiada Ronaldo!" Jawabku sinis. Ikon itu terdiam. Lantas menjadi gelap.

"Habis kau ingat kita harus menunggu 2020 untuk semuanya menjadi taraf dunia?" Tanyaku mendesak kerana perlawanan akhir Brazil-Perancis akan bermula dan aku harus menahan diri dari tidur. Liputan siaran langsung akan menjadikan tumpuan bilion manusia di kaca TV.

Sambil menjeling ke arah jam, aku terus menatap laman web Piala Dunia dengan segala ramalan dan stastitik. Segala arkib sejarah dan apa saja tentang bolasepak dunia. Mengasyikkan terutama membayangkan setiap link laman web itu berikon durian. Dan setiap ikon durian adalah jenama produk syarikat on-line siber yang dikongsi dengan keluargaku.

Lantas wawasan 2020 telah tiba lebih awal. Hanya dengan duriano!

"Ronaldo! Ronaldo! Bangunlah, tak pergi ke kuliah ke, dah jam tujuh ni, tak subuh ke?" Tiba-tiba suara Mummy Sonia mengejutkan. Mulutnya berbau durian dan terus berleter seperti biasa. Stail mak datin cakap campur bahasa melayu dan Inggeris lintang pukang.

Tersedar. Dari skrin PC yang dipenuhi screen saver FIFA'98, terpandang wajah ibuku. Di kakinya buah-buah durian yang bertaburan. Dan siaran Buletin Pagi di TV3.

Aku menjerit sekuat hati. Sambil menggosok kepala yang licin.

"Mak siapa menang? Brazil ke Perancis?"

Ibuku mencemik. "O la la! O la la! O la la!"


BALIK