CINTA DAN KEPUNAHAN HIDUP

Oleh: Faisal Tehrani


BAYANGKAN anda seorang asli Australia, aborigine istilahnya di sana, berjalan di sebatang lorong, disergah 20 lelaki kulit putih dan dirogol kejam. Atau gambarkan anda berusia 12 tahun dipaksa meninggalkan negara tercinta, terhumban di tengah hutan di Angola; hanya pulang ke tanahair 23 tahun kemudian, tiba-tiba mendapati diri terperangkap di tengah kancah perang saudara yang berdarah. Juga masuk akalkah kalau dikatakan, seorang diplomat penting New Zealand, pernah berurusan hingga ke Rumah Putih, mengunci bangunan Parlimen sehingga Perdana Menteri dan seluruh kabinet terkurung, tentera dan pasukan polis berkejar untuk menangkap anda - ini dilakukan kerana membantah tindakan kerajaan membawa masuk sekumpulan pemain ragbi Afrika Selatan (ketika itu masih mengamalkan apartheid).

Itulah warna beberapa penulis Komanwel yang bertemu di Kuala Lumpur 7 - 11 September lalu. Segala cinta dan kepunahan hidup itu mereka terjemahkan ke dalam karya.

Ambil sahaja Dr Roberta Sykes, perjuangan hidupnya memang payah. Kisah pedih orang asli Australia, dirogol dan melahirkan seorang anak lelaki, cubaan membunuh diri serta kerja berat menyara hidup sungguh memeritkan. Untuk memohon jawatan di satu-satu tempat, dia perlu bertanya: Apakah anda mengambil orang berwarna? Dia tidak mahu membuang masa datang untuk temuduga dan kemudian dihina. Babak-babak hidup itu menyebabkan Universiti Harvard (antara beberapa universiti terbaik di dunia) mempelawanya mengambil sarjana dan PhD. Orangnya lucu, tetapi mata mendung menyimpan duka dilalui. Ketika makan tengahari dengannya di Hotel Istana, dia selamba menyendukkan cebisan ikan dari dalam dulang, sambil berkata: Beginilah rasanya kalau memanjakan anak yang semakin besar, kita rosakkan mereka. Kemudian di malam akhir, saya memujuk Dr Roberta dengan sebungkus kuih baulu, setelah dia mengadu 'merasakan diri tidak penting' dalam satu insiden di Balai Seni Lukis Negara. Sengaja bertanyakan gaya rambutnya, ia aslikah? Dia dengan mata terbeliak memberitahu, kerana rambut inilah maka saya mengalami bermacam diskriminasi. Tanpa rasa tersinggung dia ketawa, lantas menambah, dia akan pulang untuk memastikan Pauline Hanson tidak akan menang untuk pilihanraya Australia awal Oktober. Dr Roberta dikenali untuk buku puisinya Love Poems And Other Revolutionary Actions (1979. Autobiografi, volume pertamanya - Snake Cradle memenangi Age Book Of The Year 1997 (anugerah buku paling berprestij di Australia) dan Nita Kibble Award 1998. Kini volume kedua sudah diterbitkan - Snake Dancing, menelusuri kembara hidupnya sebagai ahli politik lantang dan aktivis kulit berwarna paling berani. Kaleni M Hiyalwana membawa cerita sedih tersendiri. Hidupnya punah disiat perang di Namibia. Sudah merayau seluruh benua Afrika sejak usia 12 tahun dan merintih: Penjajah menyebabkan bahasa asal kami pupus. Mereka membakar apa sahaja kertas dan tulisan yang ada pada nenek moyang kami, lalu segala tradisi hilang. Kemudian orang-orang Africanas, kulit putih Holland dari Afrika Selatan datang menceroboh, membawa bahasa mereka tetapi orang tempatan membenci bahasa itu, hanya selepas 1990 kerana tiada arah untuk menentukan bahasa utama, kami terpaksa memilih bahasa Inggeris. Dia rajin ketawa dan rasa beruntung kerana akhirnya dapat pulang ke Namibia walaupun 23 tahun setelah itu. Sangat gemar kepada bunga, kerana katanya di Namibia tiada apa pun yang hijau kecuali gurun Kalahari. Saya mengusik rambut gaya rastanya cantik. Ambil masa lima jam untuk memintal, kata Kaleni sambil ketawa besar. Novel terbaru Kaleni terangkat dari pengalaman terperangkap di kawasan perang antara dua pihak bertelagah akan terbit bulan ini. Kesukaran hidup sebagai kanak-kanak membawanya berkitar seluruh benua lantas menjadikan dia penyair yang baik. Setiap kali berdiri di atas pentas, membacakan puisi, ada rasa pedih menikam hati mendengarnya. Rakan baik saya, Witi Ihimaera dari New Zealand, mencintai banyak perkara. Sedikit pekak kerana menyelam di persisiran pantai emas Australia terlalu dalam. Masih kuat menunggang kuda, berenang, berlari dan menari berjam-jam. Sebagai orang Maori saya tanyakan kenapa menulis di dalam bahasa Inggeris? Iya, bahasa Inggeris bukan mulia, tapi saya terpaksa, kerana ia common. Beliau pernah menjadi diplomat di banyak negara. Antara buku yang sering dirujuk orang ialah The Matriarch (1986) dan terbaru The Dream Swimmer (1997). Mengajar penulisan kreatif di Universiti Auckland dan menjadi peraga sambilan. Tidak hairanlah dia pandai berposing bila bergambar. Witi menegaskan, slogan filem Godzilla, saiz itu penting adalah tipu. Saiz tidak penting dalam konteks sastera, kita menulis demi mengkayakan khazanah bangsa. Saya bawa Witi ke Petaling Street, dia tercengang melihat segala jenis barang terjual di sana. Dari pakaian dalam, jam, tali pinggang, teropong, buah-buahan dan filem yang belum ditayangkan di pawagam. Peter Bakowski lurus dan lucu sedikit lembab tertinggal, baru kemudian saya ditunjukkan, dia pernah dibelah jantung sebanyak dua kali. Tahu segala tentang muzik kerana tuan punya kepada kedai kaset dan cd. Peter memberitahu saya, suara Hattan menyanyikan lagu puisi sungguh tidak merdu. Saya bisikkan, Hattan adalah penyanyi rock. Dia terjegil, patutlah, katanya lagi. Dalam senyap dia suka menggagau KL sendiri-sendiri, kurang percaya cerita indah pada pamflet pelancongan kementerian dan kisah muluk orang DBP. Peter temui seorang lelaki homeless di pinggir KLCC. Kejayaan Malaysia, ujarnya dan usaha penyair menyedarkan ini semua berlaku di tengah pembangunan, gesanya.

Begitulah serba sedikit dapat saya catat untuk kolum ini. Lorna Crozier dengan puisi-puisi cuaca, Joan Clark menulis tentang Red Indian dalam novelnya The Victory of Geraldine Gull (calon Anugerah Gavenor General 1994) setelah insiden diganggu seorang wanita Indian. Louise Bernice Halfe, penyair cree bersuara lunak, Louise menulis demi survival bangsa Red Indian. Bobana Badisang dari Botswana dengan karya sekitar bahaya Aids mengingatkan kita Afrika adalah benua paling terbakar dek HIV, atau Albert Wendt membawa cerita Samoa, memukau delegasi lain dengan khazanah sastera ratusan tahun direkod pada tubuh badan sebagai tatu. Penyair Singapura, Kirpal Singh pula mengakui nostalgia dibesarkan di Ipoh masih kuat dalam puisi-puisinya, sering ketawa besar menyebabkan orang mendengarnya pula ketawa, cara tawa tipikal seorang benggali tua dengan bahu ikut terpingkal sama. Sir Paulias Matane dari Papua New Guinea lahir di bawah pokok dan belajar perkataan pertama di sekolah iaitu a boy ketika berusia 17 tahun. Kini sudah menulis buku ke 24. Memang ada banyak lagi cerita cinta dan kepunahan terkumpul tetapi tidak semua bersedia berkongsi episod 'hitam' dalam hidup mereka. Beberapa penulis komanwel akan berhimpun lagi di ibu kota bulan hadapan. Antaranya yang sudah mengesahkan kehadiran, Witi Ihimaera. Selamat datang.


BALIK