Dia, Sebuah Pentas dan Drama Paul Lathic

Oleh: Uthaya Sankar SB


KALI  ini dia menjadi manusia pula. Peluang seumpama  ini  memang telah lama dinantikannya sejak lama dahulu. Sebelum ini,  pernah dia merayu-rayu meminta dirinya dibenarkan menjadi manusia.  Tapi tiap kali itulah juga usahanya tidak membuahkan hasil.  Rayuannya sering dipandang enteng.  

  "Kau tidak layak menjadi manusia."   

Demikian   jawapan  yang  sering  diterimanya.   Tapi   kini impiannya sudah tercapai. Dia mejadi manusia.  Dia  benar-benar menjadi manusia.

Dia benar-benar diberi kepercayaan untuk menjadi manusia. Manusia pada erti kata yang sebenar.   

"Kau  jadi  siapa?" tanya rakannya yang sebelum  ini  sering menjadi pengawal pintu istana atau pun pengayuh sampan.   

"Manusia!"   

"Itu  aku tahu. Malah mungkin semua orang sudah  tahu  sebab sudah  kau hebohkan merata-rata," rungut rakannya itu. "Kau  jadi siapa; maksudku watak siapa yang akan kau mainkan?"   

Watak  siapa yang akan aku mainkan? tanyanya sendirian.  Ah! Itu  tidak penting. Yang penting, aku memegang  peranan  seorang manusia di dalam pementasan kali ini.   

Sebelum  ini,  dia  terlalu  sering  diberi  peranan   bukan manusia. Rakannya  agak beruntung kerana  walaupun  dia  sekadar menjadi pengawal  istana atau pendayung sampan atau  pak  pacak, wataknya  tetap manusia. Dirinya pula sering diberi peranan  yang tidak  memerlukan apa-apa pergerakan atau dialog. Malah  ekspresi muka  pun tidak perlu. Dia hanya perlu berdiri -- atau  terbaring -- kaku tanpa suara.   

Semasa  mula-mula  menyertai kumpulan  pementasan  ini,  dia mengharapkan peranan yang kecil sahaja. Maklum sahaja dia  tiada pengalaman  mahu pun pengetahuan tentang dunia teater.  Yang  ada hanya minat yang sangat mendalam. Berbekalkan minat  itulah  dia merayu pada tuan pengarah. Akhirnya dia berjaya.   

Peranan  pertama yang diberikan padanya adalah mangkuk.  Ya, mangkuk yang digunakan untuk makan itulah. Pada mulanya dia fikir peranan 'mangkuk'  ada makna simbolik.  Mungkin  'mangkuk'  yang dimaksudkan bukan  mangkuk  yang digunakan  untuk  makan  tetapi merujuk kepada 'orang bodoh'.   

Demikian tanggapan dan harapannya. Tapi ternyata dia  silap. Peranan 'mangkuk' yang dipegangnya tidak lebih daripada  peranan bekas makanan.  Dia  hanya perlu duduk mencanguk  di  atas  meja semasa pementasan. Di situlah letak duduknya sepanjang pementasan dari awal hingga akhir.   

Mungkin ada penonton yang menyangka 'mangkuk' itu akan turut memainkan peranan  di  dalam  pementasan  yang  dilakukan.  Tapi ternyata  dia hanya menjadi prop yang tidak berperanan dari  awal hingga  akhir. Dan dia tidak terlalu kecewa kerana dia akur  pada hakikat  bahawa  dia masih terlalu mentah dalam  alam  pementasan pada waktu itu.   

Kemudian  dia pernah menjadi pokok pinang dalam sebuah  lagi pementasan lain. Bukan dia seorang sahaja sebenarnya. Ada sekitar tujuh  pelakon lain. Mereka hanya perlu berdiri  tegak  di  atas pentas. Beberapa pelakon lain akan mempersembahkan lakonan dengan berlatarkan pokok-pokok pinang itu. Itupun hanya bagi satu scene. Babak-babak  lain menggunakan latar tempat lain di  mana  pelakon lain pula yang menjadi prop latar.   

Begitulah sejak empat tahun lalu. Dia sudah pernah  memegang hampir semua peranan tidak bernyawa. Dia sudah  menjadi  kerusi, meja, pokok, tiang, tembok. Malah pernah juga dia menjadi  burung hantu.  Dia  perlu berlari dari penjuru kiri  pentas  menuju  ke penjuru  kanan sebanyak dua kali sambil mengibaskan  tangan.  Itu sahaja.  Kemudian  dia turun pentas dari  arah  belakang.  Habis. Pelakon-pelakon  lain  yang memainkan peranan-peranan  lain  bagi menjayakan pementasan tersebut.   

"Tahniah!" tegur seseorang.   

Dia  tersenyum  bangga kerana sudah  dapat  mengagak  bahawa ucapan tahniah  itu  adalah kerana  dia  akan  memegang  peranan manusia di dalam pementasan teater terbaru nanti.   

"Pengarah  kata,  kau pegang peranan  Paul  Lathic,"  tambah rakan tadi sambil mengerak-gerakkan kening berulang kali.   

"Paul Lathic? I don't believe this! Aku menjadi Paul  Lathic yang mashyur itu?!"   

"Ya, sayang," rakan itu meyakinkan dengan suara manja.  

"Wow! Dan kau?"   

"Ah! Macam biasa sahaja ... pak pacak."   

"Nasib kaulah," dia berkata di dalam hati.  

Sepanjang  malam  dia tidak dapat melelapkan  mata.  Peluang yang diterimanya benar-benar di luar jangkaannya.   

Bayangkan: aku menjadi Paul Lathic!   

Siapa  yang tidak kenal Paul Lathic.  Zaman  kanak-kanaknya, zaman remajanya,   kisah  cintanya,  hidup   rumah   tangganya, perjuangan politiknya, hidup peribadinya serta apa  sahaja  yang berkaitan  dengan dirinya  semuanya  sudah  dibukukan.   Segenap lapisan  masyarakat sudah membacanya. Malah sebuah  buku  koleksi surat-suratnya dijadikan  bahan kajian  oleh  sejumlah  sarjana bidang sastera dan kemanusiaan.   

Siapa  yang tidak kenal Paul Lathic, negarawan  unggul  itu? Siapa  yang tidak pernah kagum dengan  kepimpinan  Paul  Lathic. Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa melaungkan kata-kata  pujian terhadap pemimpin itu; walaupun hanya sebagai mengulangi apa yang diajar oleh guru-guru sekolah.   

Daripada  hidup sengsara di zaman kanak-kanak,  Paul  Lathic bekerja keras  menuju zaman  kegemilangannya.  Dilaluinya  hidup remaja  penuh pancaroba. Diredahnya alam pekerjaan  yang  terlalu mementingkan pangkat dan wang. Akhirnya dia  bangkit  melaungkan kata 'merdeka.'

Serta-merta selepas itu dia dilamar oleh  seorang tokoh  politik. Tugasnya adalah untuk melaungkan  kata  'merdeka' bagi pihak parti XYZ pimpinan tokoh berkenaan.   

Begitu  cepat sekali Paul Lathic berjaya menjadi  anak  emas tokoh berkenaan. Dalam masa tidak sampai setahun sahaja dia masuk bertanding jawatan  kedua  tertinggi  dalam  parti  XYZ.  Undian memihak  99% padanya memandangkan dia  dicalonkan  sendiri  oleh tokoh yang memegang jawatan tertinggi parti XYZ.   

Kemudian, baru lima tahun lalu Paul Lathic berjaya  memegang jawatan tertinggi  setelah  tokoh  yang   'melamar'nya   dahulu meninggal dunia. Serta-merta Paul Lathic diangkat menjadi  ketua; sekaligus presiden Pulau Cinta.   

Tapi  tentu sahaja sepanjang terlibat dalam parti  XYZ,  dia terpaksa terlebih dahulu memperjuangkan kemerdekaan Pulau  Cinta daripada belenggu penjajah. Perjuangannya yang bersungguh-sungguh itu  tetap dikenang hingga hari ini. Malah apabila  Paul  Lathic meninggal dunia tahun lalu, pucuk pimpinan parti XYZ khasnya  dan rakyat  Pulau  Cinta amnya  tertanya-tanya  siapakah  yang  akan mengganti tempat Paul Lathic sebagai pemimpin negara. Tiada tokoh yang  difikirkan  layak selayak-layaknya. Tiada  yang  difikirkan akan  dapat  melaksanakan tugas  pimpinan  sebaik  Paul  Lathic, pemimpin lagenda itu.   

"Wah! Aku memegang peranan Paul Lathic," katanya sendirian.   Kemudian  dia  segera bangkit dari katil  menuju  ke  cermin besar  di sisi  pintu  bilik.  Dibukanya  lampu  lalu  memandang wajahnya di dalam cermin.   

"Ya,   wajah  aku  memang  iras  wajah  Paul  Lathic!"   Dia tersenyum. "Hidungku mancung seperti hidungnya juga.  Dan lihat. Oh! Bentuk fizikalku juga menyamai bentuk tubuhnya."   

Ditenungnya  dirinya  dalam cermin.  Dia  tersenyum  bangga. Diangkat-angkatnya   kening  sambil  merenung  matanya   sendiri. Kemudian ditariknya bibir ke kiri.   

"Bukankah ini stail Paul Lathic di zaman remajanya!"   Tapi segera dia mengerutkan kening.   

"Alamak! Bukankah Paul Lathic ada gaya sendiri hampir setiap tahun?" fikirnya.  "Semasa  di zaman  remaja  dia  suka  menarik bibirnya  ke sisi. Kemudian dia suka  mengangkat-angkat  kening. Lepas  tu  ada pula dia mulakan  trend  mengangguk-angguk semasa berucap di khalayak ramai. Kemudian macam-macam lagi  gaya yang terus sahaja menjadi ikutan ahli parti XYZ."   

Dia  terdiam.  Dia  perlu tahu dahulu  peringkat  umur  Paul Lathic yang  akan dibawakannya di dalam  pementasan  yang  bakal diadakan. Kemudian barulah boleh dia melatih diri secara intensif untuk menjiwai secara total watak dan perwatakan Paul Lathic yang dianggap lagenda itu.   "Mungkin  juga  aku  akan diminta  membawakan  peranan  Paul Lathic sejak dia menjadi ahli parti XYZ sehinggalah  kejayaannya menjadi pemimpin parti XYZ. Wah! Itu tentu lebih mencabar  kerana aku  perlu menjiwai  perwatakan  Paul  Lathic  semasa  mula-mula menjadi  'kaki laung' tanpa upah. Kemudian bagaimana  sikap  dan statusnya  berubah apabila mula melibatkan  diri  dalam  hal-hal politik. Kemudian bagaimana dia menjadi presiden Pulau Cinta...."   Setelah  tersenyum  sendiri memikirkan segala hal  itu,  dia memutuskan untuk  tidur sahaja. Esok dia  akan  berhubung  terus dengan  pengarah drama  untuk  mendapatkan  maklumat  terperinci tentang watak yang akan dipegangnya.   

Ketibaan  subuh disambutnya dengan ceria.  Tanpa  berlengah, ditujuinya dewan  latihan  di  pusat  bandar.  Pengarah   sedang mengedarkan skrip  kepada para pelakon yang  terlibat  di  dalam menjayakan drama terbaru itu.   

Disedarinya  bahawa  para pelakon lain  asyik  menjeling  ke arahnya dengan  rasa cemburu. Mereka kelihatan  berbisik  sesama sendiri sambil menjuihkan bibir.   

Biarkanlah! Tentu mereka cemburu dan iri hati, fikirnya.  

Dilewatinya   ruang  dewan  latihan  dengan  penuh   bangga. Ditujuinya kerusi  tempat pengarah drama  "Paul  Lathic"  sedang duduk meneliti skrip.   

"Skrip  saya, tuan?" tanyanya apabila menyedari  bahawa  dia tidak diberikan senaskhah.   

"Oh! Kau mainkan peranan Paul Lathic."   

"Jadi, skripnya?"   

"Tak perlu."   

Dia tergamam seketika. Ditenungnya wajah pengarah muda itu.  

"Mungkinkah   aku  dibenarkan  membuat   inovasi   sendiri?" fikirnya.

"Jika begitu, tentu lebih hebat lagi. Aku  akan  dapat melakukan apa yang aku suka kepada watak yang aku pegang."   

Para pelakon lain sedang membelek-belek skrip  masing-masing sambil sesekala menjeling ke arahnya.   

"Okey,  kita  cuba  posisi setiap  pelakon,"  pengarah  muda melaung dari arah pentas. "Kau yang pegang peranan Paul  Lathic, cepat ke mari."   

Segera dia bergegas menuju pentas. Dapat dirasakannya bahawa para pelakon lain sedang memerhatikannya. Tentu  mereka  cemburu kerana aku memegang peranan bekas presiden! Demikian fikirnya.   Paul  Lathic bukannya calang-calang orang. Itu setiap  warga Pulau Cinta akui. Murid-murid sekolah pun boleh menyanyikan  lagu yang  memuja Paul  Lathic  jauh  sebelum  mereka  belajar   lagu kebangsaan Pulau Cinta. Pelajar sekolah membaca biografi  tentang Paul  Lathic  sebagai buku sejarah. Demikian juga  para  penuntut pusat pengajian tinggi.   

Dan  kini  dia diberi penghormatan  untuk  memegang  peranan sebagai negarawan unggul itu. Tentu pementasan kali ini  membuka ruang kepadanya untuk menonjolkan  diri.  Mungkin  dia   akan berpeluang  pula untuk menjerumus dalam bidang kepolitikan  parti XYZ.  Tambahan, mungkin  mulai sekarang  dia akan  diberi  nama jolokan 'Paul Lathic Jr'.   

"Okey, kau baring sahaja di tengah pentas."  

"Baring sahaja?"   

"Ya. Itu sahaja yang perlu kau lakukan."   

"Apa?" tanyanya kehairanan.   

"Ya  lah.  Kau  pegang peranan Paul  Lathic  pada  hari  dia meninggal.

Kau  jadi mayatnya," pengarah muda  itu  menjelaskan. "Kau  hanya  perlu berbaring kaku di tengah  pentas.  Watak-watak lain yang akan beraksi bagi menjayakan pementasan kita."   

"Saya sekadar menjadi mayat Paul Lathic?"   


BALIK