Le Spectre de la Rose (DS 10/98)

Oleh: Leonard Loar


Sebagai seorang pengurus  perniagaan yang sentiasa sibuk, saya tiada masa untuk menonton opera mahupun balet; walaupun persembahan seumpama itu menjadi kegilaan golongan berada dan Monte Carlo Opera House pula terletak di kota ini sendiri yang menjadi tempat tinggal saya sejak setahun lalu. Entah mengapa hati saya langsung tidak tergerak untuk menonton persembahan sulung balet Le Spectre de la Rose (The Ghost of a Rose) yang hebat diperkatakan dewasa ini.   

“Rugi kalau kau lepaskan peluang ini. Nijinsky khabarnya akan bersara tidak lama lagi …”   

“Semua ini pasti gimik sahaja. Apa nama pengurus  Ballets Russes?

Diaghilev? Mungkin dia sendiri yang menyebarkan khabar angin itu bagi mengaut keuntungan,” bidas saya.   

“Kau ni cukup pelik,” kata pak cik saya sebagaimana biasa. “Tapi kau jangan lupa, anak pak cik sukakan balet. Tambahan pula Nijinsky yang memegang peranan Roh Mawar dalam balet ini.”   

“Ah! Penari simbol seks itu.”   

Sambil merungut dan sekaligus melepaskan geram di atas sikap Julie yang keterlaluan dalam memuja Nijinsky, saya mencapai topi dan bersedia untuk keluar. Saya tidak sanggup lagi mencari alasan untuk menolak pelawaan Pak Cik Jean. Menyedari hakikat itu, dia tersenyum seraya mengambil topinya dari penyangkut. Julie pula sejak awal-awal lagi sudah bersedia.  

“Bukan sembarangan orang boleh menerima kad undangan istimewa seperti ini,” kata Julie sewaktu kami mengambil tempat duduk di grand stand. “Michel Fokine sendiri yang memberikan ayah undangan ini. Kita cukup beruntung. Malah ayah berjanji akan membawa kita ke belakang pentas sebentar lagi untuk bertemu Nijinsky. Betapa seronoknya!”  

Saya membiarkan sahaja Julie membisikkan semua itu ke telinga saya sambil merangkul lengan kanan sedang saya membelek-belek buku aturcara yang diberikan di pintu masuk tadi. Menyampah juga saya apabila Julie memuja-muja penari simbol seks itu di hadapan saya. Lelaki mana yang tidak marah! Malah gadis yang biasanya bersopan-santun itu sudah mula berubah sikap sejak dia berpeluang menonton beberapa balet Nijinsky sebelum ini.  

  “Kau dengar tak apa kataku?”  

  “Ya, ya,” jawab saya walaupun saya tidak tahu apa yang telah dikatakan oleh teman wanita saya.   

Persembahan bermula dan ini sekaligus mematikan percakapan Julie tentang keagungan Nijinsky. Penari wanita sampai di tengah pentas yang dihiasi menyerupai sebuah bilik tidur tahun 1830-an dan mempunyai tingkap gaya Perancis. Segala perhiasan dan set yang diuruskan oleh Leon Bakst (demikian menurut buku aturcara) menimbulkan suasana romantik. Tambahan pula apabila penari wanita yang ayu itu menari perlahan-lahan seperti sedang menari berpasangan dengan seseorang yang ghaib. Tangannya memegang sekuntum mawar.   

“Siapa tu? Dia menari dengan Roh Mawarkah?” tanya saya secara berbisik kepada Julie.   

“Itulah Karsavina. Betulkah kau tak kenal; atau kau berpura-pura?” jawabnya secara menyindir.   

Karsavina sedang duduk seperti tertidur di kerusi. Saya mengambil peluang membaca libretto dalam buku aturcara agar dapat mengikuti persembahan balet tersebut dengan penuh pemahaman. Tapi keayuan Karsavina kembali menarik pandanga mata saya ke arah pentas.  

“Ah, muzik waltz! Lagu ‘Invitation to the Dance’! Nijinsky akan datang sekarang!” Gadis di sisi saya hampir menjerit; sedangkan setahu saya, para penonton di Opera House tidak bersuara – kecuali berbisik jika terpaksa – sewaktu persembahan sedang berlangsung.  

Pada saat itu, sesuatu bagaikan dilontar masuk melalui tingkap yang menjadi sebahagian daripada prop. Ia terbang masuk bagaikan sehelai daun yang ditiup bayu. Kemudian ia terus bergerak mengelilingi Si Gadis. Hanya sejurus selepas itu saya sedar bahawa “benda” itu sebenarnya seorang penari. Tubuhnya diliputi perca-perca kain berupa daun pohon mawar.   

“Mengagumkan!” kata salah seorang penonton yang duduk tidak jauh dari tempat duduk saya. “Bakst telah mencipta pakaian ini dengan penuh teliti dan menarik sekali!”   

“Lihat wajahnya,” sampuk wanita di sisinya pula. “Wajahnya bagaikan seekor kumbang; terutama alis matanya. Benar-benar seperti seekor kumbang yang boleh ditemui dalam kelopak bunga mawar.”  

“Bibirnya!” Saya terdengar Julie pula berkata dengan suara tergamam sambil tangannya menutup mulut. “Bibirnya bagaikan kelopak bunga mawar!”  

Tahulah saya bahawa “benda” yang pada penglihatan saya kelihatan tidak berjantina itu sebenarnya adalah watak Roh Mawar yang dipegang oleh Vaslav Nijinsky. Kalau tidak, masakan pula mulut Julie boleh terlopong.  

“Oh, dia menari dengan begitu lembut; bagai berada di awang-awangan,” bisik Julie ke telinga saya. “Bagaikan sekuntum mawar!”  

Setelah menari-nari mengelilingi Si Gadis yang masih tidur serta melakukan beberapa kali putaran di hujung jari sebelah kaki – Julie menyebut aksi itu sebagai pirouette – Nijinsky melenturkan badannya ke sisi dengan lembut (sideway sway) serta membongkok tiba-tiba (swoop) ke arah Si Gadis bagaikan sedang mengenakan ilmu pukau ke atasnya.  

Pada waktu Tamara Karsavina bangkit dalam alam mimpi, saya merasakan diri saya turut berada di atas pentas itu! Dan tiba-tiba sahaja saya sudah boleh menari balet sehebat Nijinsky.   

Saya memimpin tangan Karsavina untuk kami tarikan pas de deux mengikut rentak muzik waltz. Tarian duet yang kami tarikan dihiasi adagio di mana saya memimpin Karsavina dalam gerak tari yang lembut itu. Sewaktu dia berdiri atas sebelah kaki sementara sebelah kaki lagi diangkat sembilan puluh darjah dalam aksi arabesque, saya memegang tangannya yang lembut.  

Sewaktu saya memandang sekilas ke arah grand stand, saya ternampak Julie duduk sendirian di sana. Dia terpegun memandang saya. Pelik juga saya terasa kerana berpakaian seluar singkat berhias daun dan kelopak bunga mawar. Tapi rasa pelik itu segera hilang apabila saya terpandang si jelita Karsavina yang menari bersama saya sambil terhuyung-hayang dan matanya hampir terpejam kerana mengantuk. Sungguh bijak dia membawakan wataknya sebagai Si Gadis!   

Tidak lama kemudian, Karsavina kembali tertidur di kerusi. Saya menarikan solo variations bagaikan seorang penari profesional. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya boleh mahir melakukan gerakan leaps dan pirouette. Malah secara bersahaja, bagaikan sudah lama berlatih, saya menarikan leitmotive Roh Mawar dengan mengulangi swoops dan sideway sways seperti yang saya perhatikan Nijinsky lakukan pada bahagian entrée setelah dia masuk melalui tingkap tadi.   

Di mana Nijinsky? Saya tertanya tiba-tiba. Karsavina sudah bangkit semula dan bersedia untuk menari bersama saya. Saya pandang ke arah Julie dan terlihat dia bersandar ke bahu Nijinsky yang duduk di sisinya!  

Muzik waltz semakin rancak. Lalu saya bagaikan terpanggil untuk menari lebih rancak dan pantas bersama Karsavina, si ballerina yang tiba-tiba sahaja berjaya menambat hati saya. Namun begitu, pada tahap-tahap tertentu, saya menghentikan tari saya – membiarkan Karsavina menari sendirian – dan memandang penuh cemburu ke arah Nijinsky yang duduk berpasangan dengan teman wanita saya.   

Sewaktu muzik waltz beransur perlahan dan hampir hilang; serta Julie semakin rapat dengan Nijinsky dan membisikkan sesuatu ke telinga penari simbol seks yang tersenyum itu; saya meluru terjun dari pentas.  

Tapi anehnya pergerakan saya menjadi sebahagian daripada tarian itu sendiri. Saya berlari pantas lalu melompat keluar tingkap sebelah kiri. Serasa tubuh saya yang berpakaian Roh Mawar terbang ke atas melalui tingkap itu!   

Apabila terdengar muzik cello dimainkan secara solo, saya mendapati diri saya terduduk di kerusi.   

“Kau dengar tak apa yang aku kata? Jangan tersenyum sahaja.”  

Saya memandang Julie di sisi kanan. Di pentas, Karsavina kelihatan mengutip dan memeluk bunga mawar yang terjatuh dari tangannya di bahagian awal persembahan tadi. Ekspresi muka yang ditunjukkannya membuatkan bulu roma saya berdiri tegak. Wajahnya menggambarkan ekspresi antara tragedi dan tangisan. Dan sewaktu dia memandang ke arah saya dengan pandangan lembutnya, saya terasa bagaikan sayalah Roh Mawar yang telah membangkitkannya ke alam mimpi untuk menari bersama di pentas tadi.   

“Sebuah persembahan agung yang menggabungkan dunia realiti dan fantasi!” kata lelaki tua di sebelah kiri saya sewaktu tepukan mula bergemuruh. “Fokine berjaya membuktikan bahawa dua orang penari pun boleh mempersembahkan cerita tanpa kehadiran corps de ballet.”  

Saya sekadar termangu.   

“Kau suka persembahan tadi?” tanya Pak Cik Jean yang entah bila datang selepas bersama Fokine di belakang pentas.   

“Err …”   

“Tidak berkelip matanya menonton tadi, ayah!”   

“Ya? Bukankah sudah pak cik katakan; kau pasti sukakannya. Lagi pun, balet ini sesuatu yang baru, segar dan asli. Tidak seperti The Nutcracker, The Sleeping Beauty atau Giselle yang sudah kita sedia ketahui ceritanya. Tambahan …”   

“Ayah!” sampuk Julie. “Bila kita dapat bertemu Nijinsky?”  

“Ya, ya. Itulah tujuan ayah datang ke mari. Fokine mempelawa kau berdua ke belakang pentas …”   

“Wow! Marilah.”   

Julie segera menarik tangan saya dan ayahnya. Saya terpaksa menurut tanpa ada masa untuk mengimbas pengalaman aneh yang saya lalui sebentar tadi.   

“Pas de deux … maksud pak cik, tarian duet dalam balet ini yang kebanyakannya dipersembahkan oleh Nijinsky secara solo merupakan tarian solo paling panjang yang pernah dicipta dalam sejarah persembahan balet sehingga kini,” Pak Cik Jean terus menerangkan dengan bangga sewaktu kami bertiga menuju ke bahagian belakang pentas yang sudah dikerumuni peminat; kebanyakannya wanita yang menjerit-jeritkan nama Nijinsky.  

“Tarian Nijinsky begitu hebat, ayah. Dialah danseur noble yang terbaik.”  

“Puji tariannya atau orangnya …,” saya merungut penuh cemburu apabila mendengar kata-kata teman wanita saya.   

“Kedua-duanya!” jawabnya. “Nijinsky tidak ada pesaing. Hanya dialah pesaing bagi dirinya!”   

“Ya,” si ayah menyokong pula. “Betapa menakjubkan keupayaan Roh Mawar membuatkan Si Gadis bermimpi seperti masih menari bersama kekasihnya di majlis tari-menari!”   

“Jadi, semuanya dalam alam mimpi?” tanya saya yang sesungguhnya kurang memahami seni persembahan balet romantik serupa ini yang menggabungkan antara dunia realiti dan fantasi.   

“Begitulah. Fokine memberitahu saya bahawa cerita ini dikembangkan daripada puisi Luin du Bal karya Theophile Gautier. Dia mahu penonton turut merasai apa yang dialami oleh Si Gadis tanpa perlu membezakan antara alam mimpi dan realiti. Di sebalik pakaian Roh Mawar yang dihiasi helaian-helaian daun dan bunga mawar itulah Si Gadis membayangkan kehadiran kekasih idamannya. Roh Mawar pula menguasai mimpi Si Gadis melalui tarian yang mengasyikkan. Sungguh tidak terjangkau oleh fikiran yang tidak kreatif! Dan di bahagian akhir pula Nijinsky melompat keluar melalui tingkap yang terbuka.” Tangan kanan Pak Cik Jean menunjukkan aksi melompat. Kemudian, tangannya terus mengawang. “Dia bagaikan terbang tinggi ke langit menentang arah tarikan graviti …”  

“Tarian dan penghayatan Karsavina juga cukup mengagumkan,” kata saya bagi menghentikan penceritaannya yang berjela-jela, serta bagi meluahkan apa yang lahir di hati saya.   

“Eh, kau pun sudah mula pandai menilai balet?”   

“Bukan tarian, ayah; tapi si penari yang dinilainya,” sindir Julie; tetapi saya tidak kisah. “Matanya tak berkelip langsung semasa melihat gerak tari Karsavina di pentas tadi!”   

“Eh, tidaklah.”   

Saya cuba menafikan tetapi muka saya memerah; tersipu-sipu. Pak Cik Jean sekadar tersenyum.   

“Karsavina cukup bijak, berbakat dan ada stail tersendiri. Diaghilev pasti kagum dengannya.” Pak Cik Jean yang turut mengenali pemilik Ballets Russes itu menyokong pendapat saya sambil menambah: “Nijinsky juga cukup hebat. Lihat sahaja reaksi para penonton yang berkerumun untuk menemuinya. Wah! Penampilan dirinya sebagai Roh Mawar cukup meninggalkan kesan di hati peminat seni tari balet. Setiap kali saya menghidu kuntum bunga mawar di masa akan datang, pasti roh yang berkuasa magis itu menjelma dalam fikiran saya.”   

“Dalam fikiran saya juga!” Julie menyampuk lagi; mungkin sekadar untuk menambahkan rasa cemburu saya terhadap penari simbol seks berkenaan.  

“Nijinsky dan Karsavina adalah pasangan penari yang ideal. Mereka memang pasangan yang ideal …”   

Entah mengapa muka saya merah kembali apabila Pak Cik Jean mengaitkan Karsavina dengan Nijinsky. Saya perhatikan wajah Julie turut memerah. Mungkinkah dia mencemburui Karsavina sebagaimana saya mencemburui Nijinsky?   

Nijinsky sedang duduk kepenatan sewaktu kami sampai di belakang pentas. Seseorang sedang mengipas ke arahnya dengan sehelai kain. Julie tidak dapat menahan perasaan gembira kerana berpeluang melihat secara dekat penari kesukaannya duduk tercungap-cungap di kerusi sambil masih memakai pakaian Roh Mawar yang mendedahkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada bahagian tubuhnya. Ketampanan wajahnya menambahkan lagi rasa benci saya terhadapnya!   

Pak Cik Jean memperkenalkan saya dan Julie kepada Diaghilev, Leon Bakst, Nijinsky dan beberapa orang lagi yang berada di situ sebagai bakal suami isteri. Tetapi nampaknya mereka terlalu sibuk melayan dan memuji-muji Nijinsky sehingga tidak terfikir untuk mengucapkan tahniah kepada kami berdua.   

“Hei, Jean Cocteau!” Fokine memanggil pak cik. “Kau abadikanlah suasana pada persembahan sulung ini dalam karikatur kau. Boleh kau siarkan dalam Comoedia Illustre nanti.”   

“Ya. Ya. Tentu sekali! Masakan persembahan Nijinsky yang superb ini tidak akan saya abadikan dalam karikatur saya.”   

Julie juga turut memuji-muji persembahan pemuda itu. Malah sempat dia meminta sekuntum daripada bunga mawar yang dipakai oleh Roh Mawar. Julie terloncat-loncat setelah menerima kuntum mawar merah itu. Ah! Entah-entah apabila sampai di rumah nanti, Julie juga akan bermimpi bertemu Roh Mawar.   

Karsavina.   

Tiba-tiba saya teringatkannya. Saya teringatkan tarian saya bersamanya. Tapi benarkah saya menari bersamanya? Mustahil!   

Julie masih bersama Nijinsky. Pak Cik Jean pula berbual rancak bersama Fokine, Diaghilev dan yang lainnya tentang kejayaan Le Spectre de la Rose. Saya terus beredar menuju ke sebuah bilik tidak jauh dari situ. Karsavina sedang menanggalkan mekapnya di hadapan cermin setelah seorang pemuda keluar selepas menghadiahkan sejambak bunga mawar biru kepadanya.  

“Tarian cik sungguh menarik,” kata saya dengan suara tersekat-sekat setelah berdiri tercegat di sisinya tanpa dilayan selama hampir seminit.  

“Oh. Susunan kata-kata yang pelik dan hambar untuk menghayati balet,” balasnya sambil tersengih.   

“Maafkan saya. Saya baru mula meminati balet … err … setelah melihat tarian cik sebentar tadi.”   

“Oh, really?” Dia mengelap gincu. “Nama?”   

“Leonard. Leonard Loar.”   

“Mahu autograf di mana?” tanyanya sambil lewa dan membuka bahagian penutup pena di tangan.   

Saya terpinga-pinga semula. Sambil terpinga-pinga jugalah saya hulurkan buku aturcara yang segera dikembalikannya setelah ditulis sesuatu dan ditanda tanganinya. Kemudian, sebelum saya sempat mengucapkan terima kasih, beberapa orang pemuda dan gadis – peminat agaknya – menyerbu masuk sambil menghulurkan autograf. Saya langsung tertolak keluar dari bilik itu.   

“Ooh … kau pergi bertemu Karsavina, ya?” sindir Julie apabila saya kembali ke bahagian belakang pentas. “Dapat autografnya?”  

Saya tidak menjawab apa-apa.   

“Lihat apa yang Nijinsky berikan untuk saya,” tambah Julie sambil menunjukkan kuntum mawar di tangannya.   

Nijinsky sedang melayan para peminatnya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita. Ramai yang cuba meminta – atau menarik secara paksa – kuntum-kuntum mawar yang terdapat pada pakaiannya; tetapi tidak diberikannya.   

“Maaf, saya perlukan pakaian ini untuk persembahan yang akan datang. Maafkan saya.”   

Julie mencuit lengan saya lalu menunjuk-nunjukkan bunga mawar di tangannya apabila terdengar kata-kata Nijinsky. Mungkin dia bangga kerana menerima bunga mawar itu yang agaknya diperbuat daripada kain sutera. Saya buat acuh tak acuh sahaja.   

Apabila sampai di rumahnya, Julie segera memegang mawar itu rapat ke dada dan mula menari perlahan-lahan mengelilingi ruang tamu. Pak Cik Jean tertawa lucu. Saya meminta diri untuk pulang setelah jemu dan cemburu melihat Julie terus menari-nari sendirian seperti itu. Tentu dia membayangkan adagio dan pas de bourree bersama Nijinsky!  

Sesampai di bilik sewaan dan menutup pintu serta membuka tingkap yang mengarah ke timur, saya menghumban tubuh yang kepenatan ke katil. Gerak-geri ekspresif Karsavina kembali terbayang di hadapan mata. Pada waktu itulah saya teringatkan buku aturcara yang ditanda tangani oleh ballerina itu. Segera saya mengambil dan menyelak halamannya.     

   “Leonard; semoga kau terus meminatiku. Sayang, Karsavina. Monte Carlo Opera House, 19 April 1911.”   

      Saya terlonjak kegembiraan sebaik sahaja selesai membacanya. Tanpa saya sedari, saya telah memeluk buku aturcara itu rapat ke dada dan saya mula menari perlahan-lahan mengelilingi katil.   

Sesuatu bagaikan tiba-tiba dilontar masuk melalui tingkap yang terbuka. Ia terbang masuk bagaikan sehelai daun yang ditiup bayu. Kemudian ia terus bergerak mengelilingi saya.


BALIK