Masa Hadapan Cerpen Pendek Malaysia

Oleh: Rozninah Abd. Aziz


CERPEN pendek dikatakan agak kurang popular dalam arena kesusastera kita jika dibandingkan dengan suatu ketika dahulu.  Bahkan bagi peminat sastera generasi baru, cerpen pendek ini adalah suatu perkara baru dan tidak meyakinkan mereka untuk menggulatinya.

 Namun begitu sejak akhir-akhir ini cerpen pendek sudah mula mendapat perhatian penulis dan mendapat sedikit tempat dalam dunia penerbitan.  Beberapa orang pengkaji mengaitkan sambulan baik terhadap cerpen pendek ini kerana kesesuaiannya dengan kehendak zaman IT, iaitu  yang segalanya mesti ringkas, dan cepat tetapi tepat.  Penampilannya menimbulkan pro dan kontra kerana cerpen pendek dikatakan akan mengurangkan perisa sebagai sebuah cerpen.  

Biar apapun pandangan peminat sastera Dewan Sastera bulan ini memperagakan bentuk-bentuk cerpen pendek beserta ciri-ciri dan sejarahnya sebagai fokus bulan ini.  

Sesuatu yang dianggap baru memang sukar diterima begitu sahaja. Dalam hal ini saya teringat akan buku Mitos Peribumi Malas yang merumuskan antara beberapa ciri negatif orang Melayu, iaitu tidak mempunyai keberanian mengambil risiko, tidak suka memulakan tetapi suka mengikut dan cepat berpuas hati dengan apa-apa yang ada. Justeru itu demi kepentingan perkembangan sastera Melayu kita wajar menukar paradigma iaitu menerima dengan positif sesuatu perkara yang terbukti mempunyai kebaikan.  

Kita mengharapkan suatu hari nanti akan ada cerpen pendek yang memenangi hadiah-hadiah sayembara.   Atau mungkin ada penerbit yang akan menerbitkan antologi cerpen pendek atau akan ada penganjur yang sanggup menganjurkan sayembara cerpen pendek Malaysia.  Mungkin pada waktu itulah baru cerpen pendek meyakinkan penulis-penulis kita.


BALIK