SENARIO DI LADANG HAIWAN

Oleh: Fudzail


Anjing-anjing itu pun berkumpul. Berita yang sudah tersebar dikalangan mereka memang agak mengejutkan. Para perwakilan anjing dari pelbagai etnik itu memenuhi setiap ruang dewan mesyuarat. Saling bertukar cerita antara mereka.  

“Mungkin kalian tahu tujuan kita semua berkumpul di sini!” Lantang suara ketua anjing. Mereka yang lain menyalak tanda bersetuju. Ketua anjing yang sudah hampir 20 tahun memerintah itu memang memerlukan satu suntikan nafas baru untuk menyelamatkan kerusi kuasanya yang kian reput oleh masa dan usia.

“Benarkah cerita dari Internet itu?” Seekor anjing jenis bulldog bangkit bertanya. Disambut salakan oleh yang lain.

Ketua memandang sekeliling. Memastikan semuanya kembali tenang. Memang dia tahu mereka semua amat marah dengan pengakuan yang dibuat dan tersebar. Menjadi tajuk utama setiap perbualan warga ladang. Memalukan semua keturunan anjing.

Dia tahu dia mesti megambil kesempatan terbaik ini untuk menarik mereka yang menentangnya agar bersama dibelakangnya. Untuk memastikan dia masih berada dikerusi ketua untuk beberapa tahun lagi.

“Iya! Cerita pengakuan ketua lanun itu memang benar. Telah tersebar ke seluruh pelusuk ladang haiwan, malah seluruh dunia maya. Tiada yang benar selain yang benar belaka!”

Riuh-rendah jadi keadaan. Masing-masing mahu melahirkan rasa marah dan jijik. Masing-masing mahu meluahkan rasa penghinaan warga anjing yang telah difitnah. Ketua tahu dengan serangan dari pihak luar, warga anjing akan bersatu. Melupakan seketika perbezaan ideologi dan politik.

“Apakah tindakan kita selanjutnya?” Tanya pula seekor anjing german sherperd yang menenggelamkan suara lain.

Ketua sekadar bertenang. Sebagai ketua, terutama dalam kesempatan ini, dia mesti menunjukkan contoh terbaik pada anak-anak buahnya. Bukan bertindak liar dan mengikut nafsu semata-mata. Bukan meletakkan undang-undang ditangan sendiri. Bukan bertindak kejam pada mereka yang tidak bersalah dan teraniaya.

Ketua tahu dia boleh memainkan semangat keanjingan untuk survivalnya sendiri.

“Oleh kerana Ketua segala lanun telah membuat kenyataan yang beliau konon-kononnya bapak segala anjing, sedangkan ianya satu pembohongan besar, walhal keturunan kita semua tidak akan bertindak sezalim dan sebodoh beliau, kita semua akan membuat demonstrasi secara aman bersama memo menuntut beliau menarik balik kenyataan itu. Kalau beliau enggan, kita akan memastikan tujuh keturunan beliau akan benar-benar menjadi anjing!”

Kesemua anjing yang lain menyalak-nyalak tanda setuju dan gembira. Ketua lanun kini adalah musuh utama dan musuh bersama yang mesti diaibkan sebagaimana beliau telah mengaibkan banyak haiwan yang lain.

Suasana riuh rendah itu berlainan nada pula di mesyuarat warga khinzir di tempat berhampiran. Dalam hingar-bingar, mereka saling menyatakan kebimbangan yang amat sangat terhadap berita terkini yang sudah menjadi berita sensasi dan ngeri.

“Mereka akan hapuskan banyak jasad dikalangan kita!” Ujar ketua khinzir yang masih mahu dipanggil babi. Yang begitu patriotik dengan bahasa kebangsaan. “Kesemua kita akan menjadi korban sepertimana para lembu setiap menjelang Raya korban!”

Suasana diam seketika bila terdengar muzik dari nyamuk-nyamuk yang berterbangan agak begitu bingit. Tempat yang kotor dan berbau itu sudah menjadi kebiasaan dan sinonim dengan kehidupan khinzir. Watak dan sikap yang sama di dunia manusia berpolitik.

“Tetapi tidak seperti lembu, kita dikorbankan oleh sikap mereka, pemerintah yang mahu menutup kelemahan dan kesalahan mereka selama ini. Konon takut akan menimbulka huru-hara. Konon wabak J.E. masih terkawal. Inilah padahnya memutarbelitkan kebenaran!”

Suasana menjadi bising. Para perwakilan khinzir ini memang gusar dengan nasib mereka. Walau pastinya akan menjadi bahan resepi, tetapi pembunuhan paksa ini, bagi mereka bukan jawaban terbaik unuk menyelesaikan masalah.

“Bukan kita yang menyebarkan virus J.E. Nyamuk-nyamuk yang bedebah itulah sepatutnya dihapuskan!” Seekor khinzir memprotes. “Dimanakah keadilan?”

Khinzir yang lain berteriak. “Kami juga mahukan keadilan! Keadilan untuk semua!”

Ladang yang mempunyai kolam-kolam ikan itu sama bergolak di bawah permukaan air. Para ikan bermesyuarat luar biasa. Diberi notis segera.

“Ini adalah isu universal. Tentang erti kasih sayang sesama makhluk. Seekor anak dugong telah mati disebabkan oleh biokrasi dan kemudian mereka saling tuduh menuduh sesama sendiri!” Kata Toman penuh perasaan.

Penghuni air itu terpanggil untuk  berdiskusi. Mereka mahu menegakkan kebenaran. Kematian itu sama seperti kes mata lebam yang menghitamkan sejarah manusia moden.

“Mereka akan berseminar dan berpolemik mengenai kematian anak dugong itu. Tanpa tindakan lanjut, selain membuang masa mencari salah siapa. Dengan menubuhkan suruhanjaya diraja dan sebagainya! Sedangkan mereka yang bersalah akan terus bebas!”

Ikan-ikan yang lain sama tidak puas hati dengan apa yang terjadi pada anak dugong malang itu. Mereka tahu ada masanya berada dalam kurungan lebih baik dari liar di lautan lepas.

“Mungkin nasib si Tenang berbeda kalau dia anak-anak mahupun menantu pembesar atau kroni!” Seekor ikan lain menyampuk. “Sudah tentu ada bail-out, paling kurang dapat saham berjuta ringgut!”

Dan dihujung ladang, ayam-ayam sama bermesyuarat.

“Memang ada musang berbulu ayam dikalangan kita!” Bapak segala ayam berpidato dengan disambut kokokan kuat oleh yang lain. Yang kemudian terdiam.

Ayam-ayam itu berpandangan sendiri. Mula mengsyaki sesiapa saja sebagai musang berbulu ayam. Dalam keadaan sekarang, bukan mudah untuk mempercayai ayam lain. Sama ada ayam togel, ayam kampung atau ayam muda.

“Ternyata memang pihak cawangan khas Musang melalui SAC Musa(ng) telah mencipta semua fitnah-fitnah dikalangan kita. SAC Musa(ng) bukan sahaja telah memaksa banyak mangsa kezaliman pemerintah untuk mengaku segala penipuan, tetapi juga menyebabkan keaiban pada haiwan ayam!” Bapak segala ayam terus berpidato.

“Apalagi dengan menyeksa ayam dari India, Indonesia dan Pakistan untuk menjadi sasaran bahan fitnah, dengan mengusung tilam bertahi ayam sebagai bukti kesahihan fitnah, dengan hujah-hujah saintifik Darah Nenek Ayam (DNA) konon memang ada ayam jadi habuan, kita mesti bersama menghadapi musang berbulu ayam ini, terutama SAC Musang!”

Ayam-ayam terus berkokok.

Tiba-tiba guruh menyepikan senario. Gelap seketika ladang haiwan.

Bunyi-bunyi katak yang melompat saling sahut-menyahut. Pelbagai warna katak dengan memperagakan tanda harga diekor masing-masing. Riuh-rendah jadinya. Ong! Ong! Ong!

Diketuai oleh seekor katak bergelar senator AlFrogi, yang baru dilantik menjadi timbalan menteri dalam kabinet Barisan Haiwan. AlFrogi menempik dengan loghat pantai timurnya, “Lihatlah dunia, walau kami katak, kami bukan sebarang lompat, bukan katak dibawah tempurung, ini katak politik, mesti ada kelas!”

Dan katak-katak lain mahu menjejak langkah Senator AlFrogi, berjaya melompat tinggi ke barisan kabinet. Terus sahut-menyahut sesama mereka.

“Pilihanraya nampaknya sudah hampir!” Sepatah komen dari beruk kroni yang baru mendapat bunga penswastaan. Beruk-beruk itu semuanya menutup telinga, menutup mata dan menutup mulut sesama mereka.

 “See no evil, hear no evil, talk no evil!”


BALIK