Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Informasi: Komputer menjadi Teras atau Punca Tewasnya Pemikiran Tradisional Melayu?  

Oleh: Hairudin Harun


Sinopsis   

Setiap budaya fikir akan sentiasa terdedah kepada idea-idea baru dan innovasi teknologi terkini. Semenjak tahun-tahun 1980an masayarakat Melayu telah terdedah kepada Teknologi Informasi (IT). IT ialah rangkuman cetusan idea baru dan teknologi terkini. Teras IT ialah komputer, dan komputer telah ditakrifkan sebagai epistemologi yang dijelmakan dalam bentuk teknologi. Perubahan yang berlaku sama ada pada gaya kerja dan rentak kerja apabila komputer digunakan dalam sesuatu urusan atau bidang merupakan pengetahuan umum kini. Apa yang kurang disedari ialah perubahan juga berlaku pada peringkat yang paling asas iaitu pada gaya pemikiran dan budaya fikir individu serta masyarakat. Kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan isu-isu semasa berkaitan dengan kesan IT. Antara isu tersebut ialah bagaimana IT yang berteraskan epistemologi perkomputeran mendatangkan cabaran kepada sistem kepercayaan dan pandangan alam dalam budaya fikir Melayu semasa. Penelitian juga akan ditumpukan kepada persoalan bagaimana epistemologi pe rkomputeran yang menekankan pemikiran sintaktis, analitis dan reduksionistik mencabar budaya fikir tradisional yang bercorak semantis, sintesis dan holistik.   

   ------------------------------------------------------------------------     

Ringkasan Kursus   

Kuliah 1: Memperkenalkan secara menyeluruh isu-isu yang berkaitan dengan perbincangan dalam kursus ini. Penekanan kepada kuliah 1 ialah kerangka budaya fikir Melayu secara umum. Hal ini termasuklah ciri-ciri unggul yang wujud dalam pemikiran tradisonal Melayu. Kuliah ini juga akan memperkenalkan beberapa kajian klasik mengenai kosmologi Melayu yang telah dibuat oleh pengkaji asing terutamanya kajian kesarjanaan orientalis zaman kolonial.   

Kuliah 2: Kuliah ini akan meneliti dengan lebih mendalam sedikit isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Kuliah 1. Kajian zaman orientalis kolonial mengenai budaya dan kosmologi Melayu dipadankan dengan kajian selepas merdeka yang dibuat oleh sarjana tempatan. Kuliah ini akan meneliti fasa-fasa pendedahan pemikiran Melayu kepada pengaruh-pengaruh asing. Bermula pada zaman pengaruh Hindu, Buddhis, Islam dan seterus pada zaman penjajahan Eropah.   

Kuliah 3: Memperkenalkan beberapa perubahan yang berlaku kepada budaya dan kosmologi Melayu akibat pertembungan dengan budaya fikir Eropah. Bermula dengan pertembungan orang Melayu dengan orang Portugis pada abad ke-16 dan berakhir dengan British pada pertengahan abad ke-20. Perhatian istemewa akan diberikan kepada kesan pengaruh budaya fikir British kepada pemikiran tradisional Melayu. Turut diteliti ialah kesan sistem pendidikan dan sistem semiotik British kepada struktur pendidikan formal dan tak formal Melayu.  

Kuliah 4: Memperkenalkan isu-isu epistemologi asas berkaitan dengan Teknologi Informasi (IT). Penekanan diberikan kepada isu-isu yang penting dalam konteks pertembungan dengan kerangka pemikiran Melayu. Turut diteliti secara ringkas ialah sejarah intelektual perkomputeran. Sejarah perkembangan perkomputeran di alam Melayu juga akan turut dibincang.  

Kuliah 5: Memperkenalkan budaya fikir Melayu semasa. Terutamanya, akan diteliti peranan Melayu baru, iaitu pendukung obor pemikiran baru, dan kedudukan Melayu lama, pendukung pemikiran tradisional dalam pembentukkan serta pengukuhan budaya fikir digital. Turut diteliti ialah proses pendigitalan pemikiran Melayu dalam tahun 1990an.   

Kuliah 6: Meneliti kesan konsep MSC (Multimedia Super Corridor) kepada budaya fikir Melayu. Turut diteliti ialah sama ada penglibatan orang Melayu dalam dunia dan ekonomi digital mensyaratkan pendigitalan keseluruhannya pandangan alam Melayu. Perbincangan lanjut mengenai kesan MSC terutamanya pardigma pendigitalan kepada budaya fikir tradisional.  

Kuliah 7: Meneliti makna perubahan dalam Weltanschauung Melayu baru akibat penyerapan pemikiran perkomputeran. Turut diteliti ialah kesan perubahan tersebut kepada budaya fikir kelompok Melayu yang masih tersisih. Perbincangan juga meliputi soal manifestasi perbezaan tersebut dalam konteks sosio-ekonomi, politik dan kemasyarakatan umum.  

Kuliah 8: Meneliti senario-senario umum yang berlaku akibat pendigitalan alam pemikiran Melayu. Kuliah akhir ini akan mengupas kembali berberapa isu asas yang telah dikemukakan dalam kuliah-kuliah yang lepas. Beberapa kesimpulan kritis akan dikemukakan sebagai petunjuk bagi penelitian seterusnya.


BALIK