TRADISI KEINTELEKTUALAN BELUM SUBUR? (DB 3/99)

Oleh: A. Samad Ismail


HARI raya ialah hari kita mengukuhkan tali persahabatan dan ikatan persaudaraan dengan sahabat handai. Maaf lahir batin, kita ucapkan kepada handai dan taulan. Tetapi ada sedikit kelainan dalam sambutan hari raya tahun ini. Kelainan itu barangkali tidak terlalu ketara kecuali pada orang yang agak sensitif yang merasakan sesuatu perubahan yang betapa kecil sekalipun terhadap yang dialaminya sekarang dengan kebiasaan yang berlaku pada masa lalu.  Contohnya, seorang penulis muda menziarahi saya dua hari selepas hari raya bermula. “Kamu datang sendirian sahaja. Mana sahabat kamu yang karib itu?” saya bertanya sambil menyebut nama teman tamu saya.  Penulis itu menjawab,  “Sudah lama tidak berjumpa dengannya. Entah di mana dia sekarang, saya tidak tahu, Pak”.

  “Pulang ke kampung? Setahu aku, dia tidak pernah balik ke kampung,” kata saya. “Kami sudah lama tidak bertemu ... Masing-masing sudah bertukar haluan. Dia sudah bertukar bendera, menyeberang ke pihak lain,” penulis itu menambah, suaranya agak rendah.

Saya segera mengerti bahawa mereka tidak lagi seakrab dahulu kerana isu politik yang menggelegak sekarang. Lalu saya berkata, “Mengapa kamu berdua terlalu serius dengan isu politik sekarang? Kamu tidak patut berpisah kerana   perselisihan faham. Politik tidak harus memisahkan kamu berdua yang begitu rapat dan karib sejak aku mengenali kamu.” Penulis itu tidak berkata apa-apa setelah mendengar leteran saya. Saya menyatakan bahawa saya sedih yang sengketa politik sekarang menjejaskan persahabatan, malah ikatan kekeluargaan dalam masyarakat.  “Aku pun dulu berpolitik juga, tetapi sedapat mungkin aku mencuba mengelakkan diri daripada perselisihan politik yang menjejaskan persahabatan   aku dengan orang lain,” kata saya.

  “Dia melampau, Pak ... tidak rasional lagi,” kata penulis itu.   

“Apa salahnya kawan tidak rasional. Kalau dia berpegang kuat pada pendiriannya dan sikapnya, kita harus menghormati haknya berpegang pada sikapnya,” kata saya.

“Dia angkuh dengan pendiriannya,” kata tetamu muda itu, suaranya agak keras.    

 Dalam keadaan masing-masing mengambil sikap dan pendirian yang saling bertentangan, keberatan beralah, akibatnya hubungan peribadi ikut terjejas.  “Saya menghantar kad hari raya sahaja kali ini,” kata pegawai eksekutif sebuah syarikat tentang sahabat karibnya. “Saya tidak menziarahinya kali ini.” “Mengapa?” saya bertanya.

Sambil tertawa dia menerangkan bahawa mereka telah bertengkar tentang isu politik. “Setelah itu, kami jarang-jarang berjumpa.”  Adakah keadaan ini akan berlarutan?  Saya sering menimbulkan gejala ini bersama-sama dengan beberapa orang teman.

  Kami berpendapat bahawa fenomena ini merupakan keluar-biasaan yang sementara. Seorang teman berkata, orang Melayu berpolitik sejak selepas perang dan gejala saling bertelagah tentang isu politik memang sering berlaku pada masa lalu sejak orang Melayu terseret dalam sengketa Malayan Union, memperjuangkan isu sama ada UMNO harus bekerjasama dengan kaum bukan Melayu membentuk Perikatan pada zaman Tunku Abdul Rahman, ketika masyarakat Melayu berpecah antara golongan kiri dengan golongan “kanan”, dan antara golongan Mahathir dengan Semangat 46.

  “Keadaan ini akan kembali seperti sedia kala manakala isu sengketa sekarang    selesai ... mungkin selepas pilihan raya umum,” kata seorang teman.  “Hari raya tahun hadapan keadaan mungkin berubah,” kata seorang teman lain yang pernah mengalami keadaan yang sama semasa sengketa antara Team A dengan Team B pada tahun 1980-an.

  “Orang Melayu terlalu serius dalam memperjuangkan politik,” kata seorang teman lagi. “Dibandingkan dengan orang Cina misalnya, kita sanggup berputus arang dengan teman karib semata-mata kerana perbezaan pendapat dalam isu politik.”

“Agaknya bagi orang Melayu, isu politik berkait erat dengan isu survival atau nasib bangsa dan negara pada masa hadapan,” kata saya.  Bagi orang Cina, isu politik menyentuh masa hadapan mereka juga. Tetapi tanggapan mereka berlainan, kata teman saya. Orang Cina tidak menganggap politik sebagai bidang kegiatan untuk memperjuangkan kekuasaan kecuali sekadar mempertahankan kepentingan yang sedia menjadi hak mereka sebagai warganegara, umpamanya hak untuk berniaga, hak untuk mendapatkan pendidikan dalam bahasa mereka bagi anak mereka, hak untuk berkongsi kemewahan negara bersama-sama dengan kaum lain. “Lagi pula orang Melayu merupakan kelompok etnik yang majoriti dan tarafnya sebagai bumiputera yang berhak menentukan nasib negara,” kata seorang teman pensyarah universiti.  Saya menemui banyak sahabat handai daripada kaum Cina untuk membincangkan keadaan politik sekarang. Umumnya, kaum Cina tidak mahu terlibat dalam konflik politik antara orang Melayu sekarang. Hal ini tidak bererti mereka tidak mempunyai persepsi dan tanggapan sendiri, tetapi umumnya mereka sangat berhati-hati ketika menyuarakan pendapat kecuali kepada teman Melayu yang dipercayai.

  “Orang Cina umumnya ingin negara aman dan stabil supaya mereka mudah dan selesa berniaga dan mencari rezeki. Umumnya, mereka lebih kepada Barisan Nasional, terutama Mahathir. Pada masa pemerintahan Mahathir, banyak isu yang membabitkan orang Cina, seperti isu bahasa dan pendidikan, dapat diselesaikan. Golongan usahawan Cina umumnya senang sekali dengan dasar liberalisasi Mahathir dalam bidang ekonomi,” kata teman saya. “Dalam isu Anwar-Mahathir, orang Cina sekalipun umumnya mempunyai pendapat lebih cenderung agar isu itu diselesaikan oleh orang Melayu sendiri. Kalau mereka mencampuri urusan itu, mereka takut mereka akan disalahfahami oleh orang Melayu.”  

 Seorang wartawan kanan Cina yang saya temui berkata, “Pergolakan di

Indonesia amat teliti diikuti oleh kaum Cina di Malaysia. Dan mereka bersyukur kerana di Malaysia masyarakat Cina tidak menanggung derita dan keazaban seperti yang dialami oleh kaum Cina di Indonesia yang menjadi mangsa perusuh   yang membakar kedai dan gedung kepunyaan orang Cina, manakala kaum wanita mereka menjadi korban rogol perusuh. Kerana itu masyarakat Cina di sini umumnya menyokong dasar Barisan Nasional.”

  Untuk orang Melayu, hanya ada dua pilihan. Pertama, UMNO dan kedua, PAS. UMNO parti kebangsaan sedangkan PAS parti yang memperjuangkan Islam. “Adakah orang Melayu bersedia menerima pimpinan golongan ulama?” seorang penganalisis politik bertanya saya.

  Menurutnya, golongan agama dan ulama terbahagi kepada tiga, iaitu golongan ulama kerajaan dan parti berkuasa, golongan agama yang terikat dengan pembangkang, iaitu PAS, dan golongan agama bebas yang tidak terikat pada mana-mana puak.  

 “Menerima pimpinan golongan ulama yang menyeluruh dalam erti kata seluruh aspek kehidupan kita dalam politik, agama, budaya, sosial, dan ekonomi wajar   mengikut disiplin yang ditetapkan oleh ulama tidaklah mudah,” kata seorang pensyarah jabatan agama sebuah universiti. “Dengan kata lain, seluruh kehidupan kita harus berlandaskan disiplin. Sedangkan pimpinan yang dilambangkan oleh pemimpin UMNO lebih relaks dan liberal.”  Gejala sekarang, iaitu masing-masing cenderung berpegang pada pendirian dan   

sikap yang agak keras tentang isu politik semasa, menurut seorang pemerhati,   adalah kerana kita tidak mempunyai tradisi berdebat, berpolemik, dan bertukar fikiran secara rasional. “Tradisi keintelektualan belum subur dalam masyarakat kita,” katanya. “Atau adakah kita kini mempunyai terlalu banyak golongan intelektual”?


BALIK