Audien Sastera

Oleh: JOHAN JAAFFAR. (17/02/97)


CERPEN yang saya tulis tidak berjudul Feminis, Tun Sri Tamlekha, Istidroj atau Penghulu Bulan. Judul yang saya berikan ialah ``Tiga Sahabat'' yang tentunya berbunyi konvensional, biasa dan tidak ``kontemporari.''  

Kisahnya juga tidak absurd, tidak abstrak malah terlalu ``down to earth'', jikalau kayu ukur sastera moden hari ini digunakan. Kisahnya tiga orang sahabat yang berjanji akan bertemu semula setiap 10 tahun di satu tempat yang ditetapkan.    

  Ia merupakan kisah persahabatan yang melibatkan saya sendiri. Kisah zaman kanak-kanak yang penuh peristiwa. Sebahagian daripada nostalgia kanak-kanak ini telah saya rakamkan dalam beberapa buah cerpen seperti Warkah Dari Kampung, Laluba Street Tokyo, Di Sebuah Stesen Di Suatu Senja dan banyak lagi yang sebahagian besarnya tersiar dalam Mingguan Malaysia. Malah sebahagiannya pernah diterbitkan sebagai antologi cerpen berjudul Pelarian Sang Hero terbitan Eastern University Press pada tahun 1980.  

Cerpen-cerpen ini, saya akui tidaklah bertaraf ``Hadiah Sastera.'' Tetapi cerpen-cerpen ini dekat dengan saya dan saya menganggapnya suara rasa kesenimanan saya yang sebenar. Penulis kalau tidak berlaku jujur pada dirinya, tidak seharusnya mendakwa dirinya penulis.  

Setiap 10 tahun, pada tarikh dan waktu yang ditetapkan, saya kembali ke kampung untuk menunaikan janji saya. Saya telah melakukannya pada tahun 1975, 1985 dan 1995. Tetapi teman saya yang dua orang itu tidak pernah muncul. Saya sebenarnya boleh mengesan di mana mereka berada. Tetapi yang penting ialah janji kanak-kanak yang jujur dan bermakna itu. Saya akan kembali ke tempat itu pada tahun 2005, dan seterusnya, setiap 10 tahun, selagi ada hayat.  

  Inilah inti cerpen yang saya kirimkan tanpa menggunakan nama saya yang sebenar kepada editor sastera akhbar yang saya pimpin sendiri. Sudah setahun setengah cerpen itu saya kirimkan melalui pos. Dan saya masih menunggu kalau-kalau ia akan disiarkan.

   Saya tidak menyalahkan editor berkenaan. Beliau bukan calang-calang orang. Pemahaman dan pengetahuan sasteranya cukup baik. Beliau telah memilih banyak cerpen untuk siaran yang terbukti memenangi banyak penghargaan sastera termasuk Hadiah Sastera Negara.

   Saya bukan berniat untuk mengujinya. Tetapi saya sengaja mahu karya saya itu dinilai secara adil dan tanpa prasangka oleh editor berkenaan. Tanpa dikelabui oleh siapa saya dan kedudukan saya. Biarlah merit sastera menjadi ukurannya, bukan nama atau hal-hal lain. Saya akan menghormati keputusan editor berkenaan tidak menyiarkan cerpen itu. Itu haknya dan dia dibayar gaji untuk membuat penilaian ``yang sebaik-baiknya'' berdasarkan kayu ukur kualiti atau standard yang telah ditetapkan.  

  Lagipun saya tidak boleh membuat penilaian hanya berdasarkan sebuah cerpen. Banyak lagi penulis di luar, yang telah menghantar puluhan karya tetapi telah dibakul sampahkan. Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa cerpen-cerpen dalam Mingguan Malaysia yang dikelolakannya kini menjurus pada ``hal-hal yang lebih besar.'' Misalnya hal-hal kefalsafahan, wacana tinggi atau yang sarat dengan ilmu. Mungkin ``Tiga Sahabat'' tidak memenuhi syarat itu.  

  Malah saya merasakan, bahawa cerpen-cerpen yang memenangi banyak hadiah penghargaan sastera bertaraf nasional, juga mulai menuju ke arah itu. Cerita tiga sahabat, suka duka Hari Raya, cerita Pak Mat di kampung, kisah orang buta jatuh hati pada gadis kaya, kisah zaman Jepun, kisah orang kampung menangani pembangunan, mungkin tidak lagi sesuai dengan cita rasa editor, pengurus dan penilai sastera masa ini.  

  Saya melihat kecenderungan cerpen yang sukar, kompleks dan ada kalanya berbau pseudo-falsafah ini, membiak bukan sahaja dalam Mingguan Malaysia tetapi di majalah dan akhbar yang lain. Ia sekarang menjadi wabak baru. Percubaan dibuat atas pertimbangan untuk menjadi ``trendy dan kontemporari'' semata-mata.  

  Majalah Dewan Sastera sudah lama meninggalkan teras yang dibina oleh Usman Awang, Keris Mas dan Latiff Muhiddin apabila ia pertama kali muncul pada tahun 1971. Ia tidak lagi menjadi majalah kreatif yang segar.  

Hari ini, kalau ruangan sastera di akhbar dan majalah Dewan Sastera boleh dijadikan ukuran, sastera yang semakin berkurang audiensnya semakin sukar pula untuk dihayati.


BALIK