SEJARAH RINGKAS PERSATUAN SENI SILAT CEKAK U.T.M SKUDAI

PSSCUTM telah ditubuhkan pada 13hb.Julai 1976 di Kuala Lumpur. Persatuan ini telah bergiat cergas dengan mengadakan beberapa aktiviti seperti demonstrasi, pameran dan sebagainya. Apabila kampus UTM Skudai dibuka, dengan usaha beberapa orang ahli yang berpindah ke Skudai, maka PSSCUTM Skudai ditubuhkan pada penghujung tahun 1986, dengan Encik Md. Radzi b. Haji Hanafi selaku Penyelianya.

Pada awal penubuhannya, seramai 44 orang pelajar telah menjadi ahli PSSCUTM  Skudai. Alhamdulillah, dalam tempoh kurang daripada 6 bulan, seramai 33 orang telah menamatkan pelajaran persilatan mereka.

Sesi akademik 1987/88 merupakan satu tarikh yang sangat bermakna bagi semua ahli PSSCUTM Skudai, kerana penubuhan persatuan ini telah diluluskan oleh pihak pentadbiran universiti.

Pada semester Julai, sesi 1987/88 seramai 79 orang lagi yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan lelaki UTM telah menjadi ahli. Lanjutan dariapda itu, seramai 5 orang pelajar telah dilantik menjadi Pembantu Jurulatih bagi membantu Jurulatih yang sedia ada.

Pada semester Disember 1989/90 PSSCUTM Skudai telah menyambut perayaan 3 tahun Cekak di UTM Skudai. Perayaan ini diadakan selama seminggu dengan beberapa aktiviti menarik seperti pantomin dan demonstrasi Seni Silat Cekak, pameran, forum dan sebagainya. 

Kini  sehingga 14 September 1999, PSSCUTM Skudai telah berjaya mewujudkan sebanyak 24 kelas dengan mengumpul ahli yang berdaftar seramai 500 orang  dan seramai XXX orang telah tamat pelajaran persilatan mereka.

- kembali ke atas -


PUSAT LATIHAN SENI SILAT CEKAK UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Pada tanggal 14hb Ogos 1994 bersamaan  7 RabiulAwal 1415, satu detik bersejarah telah tercipta di Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor iaitu Hari Perasmian Pusat LatihanSeni Silat Cekak Universiti Teknologi Malaysia. Ia dirasmikan oleh Timb. Naib Canselor (HEP) Prof. Madya Yusoff b. Abu Bakar.

Pusat Latihan ini terletak di Padang Kolej Rahman Putra bersebelahan dengan gelanggang tenis dan …… Kawasannya terbahagi kepada 4 bahagian yang terdiri daripada 4 peringkat pembelajaran iaitu:

  • Peringkat Asas – siswi sahaja ( bagi siswa tempat latihan diluar kotak kerana bilangannya yang agak ramai) 
  • Peringkat Jatuh – siswa dan siswi 
  • Peringkat Potong – siswa dan siswi 
  • Peringkat Tamat dan Kemahiran – siswa dan siswi 
Tujuan diadakan Pusat Latihan seumpama ini adalah untuk membantu para siswa dan siswi  mempelajari Seni Silat Cekak dengan mudah dan demi untuk mempertahankan Seni Silat Melayu Asli iaitu Silat Cekak supaya tidak dilenyapkan oleh arus kemajuan zaman. Semoga dengan adanya Pusat Latihan ini Silat Cekak dapat dipertahankan demi agama, bangsa dan negara.

- kembali ke atas -


SEJARAH PERKEMBANGAN SILAT CEKAK DI JOHOR

Memang menjadi harapan dan cita-cita Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia untuk menubuhkan Persatuan Seni Silat Cekak di seluruh negeri dan usaha penubuhan di Johor Darul Takzim telah bermula sejak tahun 1970-an lagi. Usaha–usaha penubuhan ini mula-mula dikendalikan oleh Encik Kamarul Baharaini Aabdul Latif dan oleh kerana terdapat beberapa masalah, maka usaha ini terpaksa diberhentikan seketika.

Usaha penubuhan ini mula dipergiatkan kembali pada awal 1984. Pada  26hb Mei, 1984, satu mesyuarat penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Cawangan Johor telahdiadakan di no.2, Lorong 5,Jalan Perwira 11, Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru. Encik Mohd. Yusof b. Dollah telah dilantik sebagai Yang Dipertua di Mesyuarat Agung tersebut dan beliau merupakan orang yang memulakan kembali uasaha Cawangan Johor ini. Ketika ini seramai lebih kurang dua puluh orang ahli baru telah diijazahkan oleh Allahyarham Y.M. Ustaz Hanafi. Cawangan Johor ketika itu ditempatkan di no.1 Jalan Bayan, Taman Larkin Jaya, Johor Bahru. Walaubagaimanapun, penubuhan ini menemui kebuntuan dan terpaksadihentikan seketika sekali lagi oleh kerana tidakmempunyai ‘jentera penggerak’ atau tenaga pengajar untuk mengendalikan kelas persilatan. Masalah ini timbul apabila ahli-ahli yang terlibat telah ditukarkan oleh majikan kerjanya ke tempat lain dan masalah-masalah lain.

Untuk mengatasi masalah ini, maka pihak pusat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah melantik En. Mohd Radzi b. Hj. Hanafi sebagai tenaga pengajar sepenuh masa dan pada penghujung tahun 1986,satu kelas di UTM Skudai telah dapat dibuka. Dengan usaha gigih ahli-ahli PSSCUTM Jalan Semarak yang telah dipindahkan keUTM Skudai, seramai lebih kurang empat puluh orang ahli  baru telah diijazahkan oleh Guru Utama, YM Encik Ishak Itam.

Pada 30hb.Jun 1987, satu ahli jawatankuasa sementara bagi mengendalikan aktiviti majlis penerangan dan pertunjukan sempena perayaan 21 tahun Cekak ditubuhkan. Majlis ini diadakan pada 2hb Ogos 1987, di padang Jublee Intan, Johor Bahru.

Setelah hampir tiga tahun cawangan Johor bergerak di No.5 Jalan Sahabat,Kg Melayu Majidee, Johor bahru dan mempunyai empat pusatlatihan iaitu di Johor Bahru, UTM Skudai, Sekolah Menengah Sri Tebrau dan Sekolah Tun Fatimah.

Dalam usaha-usaha mempergiatkan Silat Cekak di Cawangan Johor, seramai lebih kurang dua ratus empat puluh orang ahli dari sepuluh kelas iaitu enam di Johor Bahru, satu di Sekolah Menengah Sri Tebrau dan tiga di UTMSkudai. 

- kembali ke atas -


SEJARAH PERGURUAN SILAT CEKAK HANAFI 

Salasilah Cekak hanafi telah diketahui melalui kaedah penyampaian dari mulut ke mulut guru . Namun begitu,tidak pernah diketahui siapakah yang mula-mula mencipta silat ini. Samada silat ini dicipta oleh seorang guru ataupun melalui permuafakatan di kalangan beberapa orang guru. Melalui ciri-ciri pelajarannya, adalah dipercayai bahawa silat ini wujud selepas kedatangan Islam dan penciptanya memang seorang yang pakar dalam bidang persilatan.

Era moden silat bermula apabila Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad, bercita-cita memelihara silat ini,setelah didapati kualiti silat ini begitu unggul. Beliau tidak rela melihat silat ini pupus di alam maya ini.

Ustaz Hanafi menerima ijazah silat inidaripada Pak Yahya (Pak Yah) bin Said pada 28 Disember 1965, bersamaan 5 Ramadhan 1385. Pada masa itu, Pak Yah tidak memberitahu nama sebenar silat ini. Silat ini telah digerakkan di bawah jentera seksi persilatan Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK) dan Ustaz Hanafi sendiri menjadi ketua seksinya.

Selepas mandi penamat kelas tersebut dijalankan, Pak Yah telah bertanya kepada ustaz Hanafi sama ada Ustaz ini berasal daripada keturunan Panglima Tok Rashid, kerana Tok Rashid semasa menyerahkan silat ini kepada Pak Yah ada berkata, “Sekiranya ada anak cucu aku dari Kedah datang mengambil silat ini, maka serahkannya balik kepadanya”. Pak Yah sendiri mengatakan bahawa inilah pertama kali ia menjiruskan mandi penamat kepada muridnya. Pada masa itu juga baru Pak Yah menyatakan nama sebenar silat ini, iaitu SILAT CEKAK

Pak Yahlah yang telah memberitahu salasilah perguruan silat ini, iaitu beliau telah mengambil silat ini daripada Panglima Tok Rashid, iaitu seorang panglima kerajaan  negeri Kedah yang telah berpindah ke Kerian, Taiping, Perak kerana daerah Sungai Daun  tempat tinggalnya di Kedah pada masa itu diserang wabak taun.

Tok Rashid memberitahu Pak Yah bahawa beliau telah mengambil silat ini  daripada Panglima Ismail yang menjadi panglima kerajaan  negeri Kedah pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin. Dan dengan siapa Panglima Ismail mengambil silat ini tidak pula diriwayatkan.

Selepas tamat mempelajari silat ini, Ustaz Hanafi telah diijazahkan sebagai guru, dan diberi mandat untuk mengembangkan silat ini ke seluruh negara. Manakala Pak Yah balik ke Batu Kurau dan tidak aktif lagi dalam mengajar Silat Cekak ini. Silat Cekak telah terus dikembangkan atas nama Silat Cekak atau Silat Kedah di bawah PSSBSK dan Ustaz Hanafi sendiri menjadi ketuanya. Walaupun terdapat halangan dan tentangan beliau terus mengembangkan silat ke Sg. Petani dan ke Seberang Prai. 

Beliau seterusnya berhijrah ke kuala Lumpur dan membuka kelas Silat Cekak melalui Persatuan Bawean Putra. Pada tahun 1971, beliau telah menggerakkan Silat Cekak ini menerusi persatuan pada peringkat kebangsaan yang telah didaftarkan atas nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia. Nama persatuan ini kemudiannya ditukarkan kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). PSSCM  merupakan penggerak utama Silat Cekak pada masa itu. Di samping itu, Silat Cekak juga digerakkan melalui kelab dan persatuan yang ditubuhkan di pusat-pusat pengajian tinggi. 

Sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau tidak menamakan sesiapa pun di kalangan penuntut Silat Cekak sebagai penggantinya. Para pendukung Silat Cekak telah mendukung selama 40 hari untuk menamakan guru utama Silat Cekak. Dalam satu majlis yang hadiri oleh pendukung yang termasuk Ahli lembaga Pelajaran & tatatertib (badan tertinggi yang mentadbirkan Silat Cekak semasa hayat Ustaz Hanafi), balu Allahyarham dan anak-anak beliau, telah mengisytiharkan Encik Ishak Bin Itam sebagai Guru Utama Silat Cekak pada masa itu. Pengisytiharan Encik Ishak berdasarkan bahawa Ustaz Hanafi telah memberi amanah kepada beliau untuk mengambil mandat perguruan, sementara anak-anaknya cukup umur dan menjnaga semua keluarga Ustaz Hanafi dengan baik.

Encik Ishak menjadi Guru Utama bermula dari tahun 1986 sehingga tahun 1993. Pada 19 Mei 1993, Encik Ishak telah menyerahkan mandat perguruan Silat Cekak ini kepada Encik Mohd Radzi bin Haji Hanafi, anak keempat kepada Allahyarham Ustaz Hanafi. Penyerahan mandat ini telah dilakukan secara empat biji mata dan disokong oleh dokumen hitam putih yang ditandatangani sendiri dengan rela hati dan di dalam keadaan sedar oleh Encik ishak dan Encik Mohd Radzi.

Majlis pendukung yang mengisytiharkan Encik Ishak menjadi Guru Utama dalam tahun 1986 telah dipanggil bersidang pada 21 Mei 1993 dan menimbangkan kes penyerahan mandat perguruan yang dibawa oleh ahli keluarga Ustaz Hanafi dan didapati benar dan dilakukan dengan sewajarnya tanpa unsur-unsur paksaan, dan mengisytiharkan Encik Mohd Radzi sebagai Guru Utama Silat Cekak.

Namun begitu, sebilangan besar pentadbir Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ketika itu telah gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk menerima Encik Mohd Radzi sebagai Guru Utama Silat Cekak dengan cuba menghalang Encik Mohd Radzi daripada menjalankan fungsinya sebagai Guru Utama.

Pada 5 Ogos 1994, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia telah ditubuhkan. Persatuan ini telah mengiktiraf Encik Mohd Radzi bin Haji Hanafi menjadi Guru Utama dan ia juga sebagai jentera utama pergerakan Silat Cekak yang baru. Semenjak itu, Silat Cekak telah dikenali sebagai Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi  merupakan Silat Cekak yang benar-benar diamalkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi 

- kembali ke atas -


| Pengenalan | Sejarah | Organisasi | Matlamat | Aktiviti | Penerbitan | Wajadiri |
| Lagu | Email | Demonstrasi | Sistem Pembelajaran | Home |