Soseh-Soseh: Ziana dilamar ke Kazakhstan
harian metro 19/2/04

AKAK Ziana Zain sekarang bukan main langsing lagi selepas melahirkan anak kedua September lalu. Terbaru, Ziana tampil dengan imej baru, rambut pendek yang diperkenalkan oleh L’loreal.

Tidak hairanlah penyanyi Lembah Asmara ini begitu berkobar-kobar kembali ke gelanggang seni untuk meneruskan minat dan kerjayanya. Alkisahnya, SS dengar Ziana juga diintai penganjur untuk dibawa ke Kazakhstan pada Jun ini.

Tentu ramai yang tahu kalau sebut Kazakhstan tentulah Voice Of Asia. Nama Kazakhstan juga bukan asing bagi penyanyi tanah air kerana ramai yang sudah melakar sejarah di negara itu.

Ziana sendiri mencatat kejayaan di Voice Of Asia pada 1995 di Almaty, Kazakstan. Dua tahun lalu, Siti Nurhaliza menang tempat tertinggi sebagai juara keseluruhan. Tapi SS tidak pasti apakah akak Ziana sanggup meninggalkan anak kecilnya untuk terbang ke Kazakhstan nanti.

Dalam pada itu, SS akui kejayaan demi kejayaan yang dicapai penyanyi Malaysia di negara itu membuatkan ramai yang memperkecilkan pertandingan ini.

Bagi SS mudah saja, apa salahnya mengukir nama di negara luar kerana itu juga satu pengalaman dan peluang besar mengharumkan nama negara di negara orang. Cuma harapan SS, tidak akan timbul cerita yang tidak enak didengar apabila membawa artis tanah air ke luar negara.

|BACK|