Make your own free website on Tripod.com
[an error occurred while processing this directive]
Bil 1  Tahun 1  May 1998
 

Berilah Nafkah Kepada Anak-Anakmu!
Pendahuluan
Anak-anak.. Bukankah mereka kurniaan Allah. Selain dari kasih sayang dan mendidik mereka dengan sempurna, terdapat satu perkara yang mesti dikaitkan dengannya. Iaitu nafkah.

Kita semua tahu bahawa nafkah terhadap anak-anak adalah suatu kewajipan. Berdosa jika tidak melunaskannya. Walaubagaimanapun, secara terperincinya, ramai di kalangan kita yang tidak berkesempatan untuk menelaahnya. Ia amat jarang sekali diperkatakan.

Anak-anak kita yang masih kecil.. Memanglah semua orang telahpun maklum bahawa wajib ibubapa memberi nafkah kepadanya. Bagaimana pula jika anak-anak yang telah dewasa? Bahkan ada yang mencecah 25 hingga 30 tahun. Mereka masih belum bekerja lagi kerana sedang meneruskan pengajian (biasanya di universiti). Apakah anak yang sedewasa ini masih menjadi tanggungjawab ibubapa menyara hidupnya?

Berikut ini adalah tajuk-tajuk yang akan kita bincangkan. Jangan khuatir, saya akan cuba menggunakan bahasa yang mudah. Dan seandainya, selepas membaca masih tidak faham juga, atau ada kemusykilan, boleh kemukakakannya dikauter pertanyaan:

1.Definasi nafkah
2. Hukum memberi nafkah kepada anak-anak.
3. Syarat-syarat wajib memberi nafkah kepada anak-anak.
4. Siapakah yang berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anak kita.

Ready... Untuk membahaskannya:

1. Definasi nafkah
Menurut bahasa:Apa sahaja yang diberikan kepada keluarganya.
Menurut syarak: Memberi kepada keluarganya secara cukup keperluan asas, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Nafkah yang mesti diberi tidaklah semestinya berbentuk makanan, untuk makanan. Atau pakaian, untuk pakaian, ataupun rumah untuk rumah. Boleh ganti dengan duit. Maksudnya, duit yang diperuntukkan untuk membeli makanan, pakaian dan rumah. Berkenaan dengan rumah pula, tidaklah semestinya kena beli. Sewapun tidak mengapa.

Mengenai makanan pula, hendaklah makanan asasi negeri itu. Iaitu makanan yang mengenyangkan. Dalam konteks Malaysia, Indonesia, Singapura atau Brunei tentulah beras. Janganlah pula, kita belikan kentang goreng banyak-banyak untuk nafkah anak-anak kita. lainlah kalau Melayu itu telah bertukar menjadi mat saleh.....

2. Hukum memberi nafkah kepada anak-anak.
Memberi nafkah kepada anak-anak hukumnya adalah wajib. Anak-anak yang wajib diberi nafkah ialah anaknya sendiri, anak kepada anaknya (cucu) dan ke bawah.
Ini bermakna, kita wajib memberi nafkah kepada anak kita sendiri, cucu, cicit, ciut................... Sampai seterusnya. Kerana cucu cicit kita termasuk dalam erti kata anak-anak kita. Walaubagaimanapun kewajipan itu tidaklah begitu sahaja. Ada syarat-syaratnya.

Di atas itu, adalah pendapat jumhur ulamak (majoriti ulamak).

Imam Malik (pengasas mazhab Maliki) pula berpendapat, hanya anak kita sahaja (anak betul) yang wajib diberi nafkah. Cucu cicit..?? Tidak wajib.

Sekarang, di hadapan kita ada dua pendapat yang berlawanan. Pendapat jumhur ulamak dan pendapat imam Malik. Hendak ikut yang mana? Terpulang..... Namun mengikut pendapat jumhur ulamak adalah lebih selamat dan mententeramkan jiwa. Wallahu a'lam.

3. Syarat-syarat wajib memberi nafkah kepada anak-anak.
Berikut ini adalah syarat wajib memberi nafkah kepada anak-anak. Tidak banyak, hanya 3 sahaja:

Syarat pertama: Ayah, datuk, moyang dan ke atas (kalau hidup lagi), hendaklah seorang yang berkemampuan memberi nafkah. Tidak kiralah, samada ia perolehinya secara goyang kaki (mungkin kerana banyak saham - halal-, atau rumah sewa) atau secara berusaha dengan tulang empat kerat.

Maksudnya, kalau mereka di atas tadi ada harta, maka wajib memberi nafkah kepada anak-anak dengan hartanya itu. Jika tiada harta, tetapi mampu berusaha, wajib berusaha dan bekerja. Kerana perlu diiingat, kalau tak mahu bekerja juga, kerajaan atau hakim perlu menghukumnya.

Apa hukumannya? Paling wajar ialah penjara. Dengan ini saya berpendapat, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk mengadakan akta terhadap bapak-bapak yang malas nak bekerja. Tak mahu beri nafkah kepada anak-anak. Di Malaysia sekarang ini bukan sedikit bapak-bapak yang begitu. Ada tu yang kaki judi, kaki arak sampai lupa kerja mencari nafkah anak bini. Dan tidak sedikit bapak-bapak yang ketagih memancing sampai lupa balang gas di dapur tak berisi.

Walaubagaimanapun, tentang pendapat ini sudah tentu ada yang tidak setuju. Katanya, undang-undang tidak penting. Yang penting adalah pendidikan. Kita beri pendidikan kepada rakyat agar lebih bersikap bertanggungjawab terhadap anak-anak.

Bagi saya, itu adalah pendapat orang yang berkecamuk fikirannya. Buntu otaknya. Berterabur fikahnya. Bergoyang usulnya. Kerana dalam Islam, konsep hukuman, termasuk had, takzir, ta'dib dan sebagainya adalah untuk tujuan pendidikan bukan penderan, melepaskan geram atau sebagainya.

Sebagai contoh, mengenai masalah zina bagi yang belum berkahwin. Hadnya (hudud) ialah, rotan 100 kali. Apakah hukuman ini tujuannya semata-mata untuk memberi kesakitan kepada penzina itu? Jawabnya tidak! Tetapi matlamat dan tujuannya ialah pendidikan. Memberi pengajaran dan pendidikan kepada diri penzina itu sendiri dan masyarakat sekelilingnya. Walaupun penzina itu pasti merasa kesakitan tetapi bukan itu tujuan hukuman...

Seandainya ayah atau datuk tidak berharta dan tidak mampu berusaha mencari nafkah, malahan dia sendiri wajib diberi nafkah oleh anak atau bapanya, maka tidak wajib baginya memberi nafkah kepada anak-anak.

Alasannya, dirinya sendiri pun disara oleh orang lain, bagaimana dia hendak menyara orang lain.  Oleh itu tidak masuk akal seandainya dia dipaksa untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya. Seperti orang yang hidupnya terlantar dikatil kerana sakit teruk. Anak-anak pula ramai. Harta tiada. Rumah sewa tak punya. Saham jauh sekali. Rumahpun menumpang di atas tanah orang. Makan pakai atas sara ayah di kampung. Inilah salah satu contohnya.

Syarat Kedua: Anak yang hendak disara itu hendaklah orang yang susah tidak berharta serta tidak berkemampuan untuk berusaha.

Ciri tidak mampu berusaha mencari nafkah adalah sebagai berikut:
a. Kanak-kanak.
Iaitu kanak-kanak yang belum mencecah usia untuk mampu bekerja. Jika agak sudah mampu bekerja, si ayah bolehlah bawanya bekerja, kemudian mengupahnya. Dan dari upah itu bolehlah dia memperolehi nafkah dirinya (anak).

Walaubagaimanapun, dalam konteks negara kita Malaysia, dalam usia kanak-kanak, sekalipun sudah mampu bekerja mengambil upah tetapi kebanyakan mereka terikat dengan alam persekolahan. Amat jarang sekali, yang tidak bersekolah ketika berusia 7 hingga 12 tahun. Kecuali waktu cuti sekolah, ada di antara mereka yang bekerja atas dasar  membantu meringankan beban tanggungan keluarga.

Rata-rata, anak-anak melepaskan alam persekolahan mereka selepas berusia 17 tahun (lepas SPM). Mereka mula bekerja menyara hidup mereka sendiri.

Di atas tadi adalah anak-anak yang masih kecil. Bagaimana pula dengan anak-anak yang sudah dewasa? Si ayah tidak wajib memberinya nafkah kecuali si anak tadi tidak dapat berusaha mencari nafkahnya sendiri atas sebab-sebab yang munasabah, antaranya ialah:
i. Kecacatan akal.
ii. Kecacatan tubuh badan, seperti buta, lumpuh, kudung tangan dan kaki.
iii. Masalah ekonomi yang menyebabkan pengangguran berleluasa.

b. Anak Perempuan
Wajib bagi si ayah memberi nafkah kepada anak perempuan yang fakir (tidak berharta), tidak kira berapa usianya, sehingga dia berkahwin. Setelah berkahwin, kewajipan member nafkah berpindah kepada suaminya. Namun, apabila anak itu diceraikan oleh suaminya, kewajipan itu kembali semula kepada si ayah.

Si ayah tidak boleh memaksa anak perempuan untuk bekerja. Tetapi jika anak itu bekerja dengan pekerjaan yang sesuai dengannya sebagai seorang perempuan (syarak), maka kewajipan si ayah memberi nafkah kepada terlepas. Bagaimana jika pendapatan anak perempuan itu tidak mencukupi untuk nafkahnya? Si ayah wajib mencukupkannya...

c. Sakit yang menghalangnya untuk bekerja. Seperti buta, lumpuh, gila dan sebagainya.

d. Menuntut ilmu yang menyebabkannya tidak dapat berusaha.
Anak yang sedang belajar, sekalipun ia sudah mampu bekerja, si ayah tetap wajib memberinya nafkah. Kerana menuntut ilmu itu hukumnya fardu kifayah, seandainya penuntut ilmu itu memberi tumpuan kepada kerja, maka pengajiannya akan terkandas. Oleh itu akan terpinggirlah maslahah ummah (kepentingan umat).

Contohnya, jika semua pelajar perubatan lalai dalam pengajiannya kerana terpaksa mencari nafkah hidup, sudah tentu pengajiannya akan terkandas. Atau kurang baik pencapaiannya. Jika, begitu maka satu kepentingan masyarakat telah terabai, iaitu perlunya ada doktor yang baik.

Syarat Ketiga:. Ulamak-ulamak mazhab Hanbali mengatakan anak yang hendak diberi nafkah itu tidak beragama lain. Iaitu perlulah baragama Islam.

Di atas, adalah pendapat mazhab Hanbali. Namun jumhur ulamak menolak pendapat ini. Mereka mengatakan bahawa kewajipan memberi nafkah kepada anak tetap berjalan sekalipun anak itu beragama lain. Kerana firman Allah Taala:

Ia menunjukkan bahawa hubungan ayah - anak menjadi sebab wajibnya si ayah memberi nafkah kepada anak. Hubungan ayah - anak akan tetap wujud, tidak kira sama agama ataupun berlainan agama. Kerana nfkah adalah perantaraan untuk hidup. Dan kehidupan adalah sesuatu dikehendakki sekalipun orang itu orang kafir. Lagi pula pada hakikatnya, harta bukanlah suatu perkara yang penting. Dan, Allahlah yang memberi rezeki kepada semua makhluknya, samada ia beriman atau kafir.

5. Siapakah yang berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anak.
Para ahli fikah bersepakat mengatakan bahawa seandainya si ayah masih ada serta berkemampuan berusaha maka dialah yang berkewajipan seorang diri memberi nafkah kepada anak-anaknya.

Alasannya, bukankah anak-anak itu sebahagian dari diri si ayah. Memberi nafkah kepada mereka bermakna memberi kehidupan kepada sebahagian dari dirinya.

Bagaimana seandainya ayah sudah tiada, ataupun dalam keadaan fakir yang tak berdaya untuk berusaha? Siapakah yang wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut?

Berikut ini adalah ringkasan pendapat empat mazhab:

Mazhab Syafi'i:
Dalam situasi ketiadaan ayah atau kerana tak berdaya berusaha, maka ibulah yang wajib memikul tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak.

Alasan lainnya (rasional) ialah jika si ayah wajib memberi nafkah atas dasar anak itu lahir hasil dari benihnya, maka si ibu apatah lagi... Malahan dia sendiri yang melahirkan anak itu. Maka lebih wajar dia wajib memberi nafkah kepada anak.

Dan, bukan setakat itu sahaja, malahan si ibu ini juga berkewajipan memberi nafkah kepada cucunya, kerana nenek adalah sama seperti ibu. Manakala datuk sama tarafnya (dalam konteks ini) dengan si ayah. Ini bermakna, jika si ayah tiada, maka si ibu wajib mengambil alih (nafkah). Jika si ibu tiada, maka datuk akan mengambil alih. Jika datuk tiada maka si nenek yang akan mengambil alih. Jadi perlu diingatkan kepada datuk dan nenen zaman moden ini, bahawa kalau cucu-cucu ada yang yatim piatu maka tanggungjawab memberi nafkah tertanggung ke atas bahu kamu.

Mazhab Hanafi
Jika si ayah tiada atau fakir yang tidak berdaya untuk berusaha, maka tanggungjawab nafkah beralih kepada usulnya (usul ialah seperti ayah, ibu, datuk, nenek dan ke atas) yang masih ada samada lelaki ataupun perempuan. Itu jika mereka berkemampuan, samada dari segi harta ataupun usaha.

Oleh itu wajib bagi si datuk memberi nafkah bersendirian kepada cucunya itu jika berkemampuan. Ataupun ibu anak itu secara bersendirian, juga jika dia berkesanggupan.

Jika datuk dan ibu anak itu masih ada lagi serta berkemampuan memberi nafkah, maka wajib kedua-duanya memberi nafkah kepadanya berdasarkan pembahagian warisan. iaitu ibu wajib memberi sepertiga, manakala datuk wajib dua pertiga.

Mazhab Hanbali
Jika anak yang ketiadaan ayah itu masih kecil lagi, maka nafkahnya tertanggung ke atas semua waris berdasarkan pembahagian warisan.

Mazhab Maliki
Hanya ayah sahaja yang berkewajipan memberi nafkah kepada anak. Jika ayah tiada maka tiada siapa yang akan diberi bebanan memikul tanggungjawab berkenaan.

Penutup
Begitulah secara ringkasnya mengenai kewajipan memberi nafkah kepada anak-anak. Jika ada yang tidak faham, sila buat pertanyaan di sini:

 Rujukan

  • Muhgni al-Muhtaj
  • Fathul Qadir

  • Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu
     
     

    Kemuka Soalan  Ke Laman Utama


    aL-AHKAM online oleh: