Make your own free website on Tripod.com
[an error occurred while processing this directive]
Bil 1  Tahun 1  May 1998
 

Mengapa solat lima waktu 17 rakaat??
Kitab Mau'izhoh linnas: Pelik??

Untuk kali pertamanya, saya akan memilih sebuah kitab tua jawi klasik. Kitab itu bernama Kitab Mau'izhoh linnas. Kitab ini merupakan sisipan (??) pada kitab Miftahul Jannah. Cuba selak di halaman 27 (cetakan maktabah wa matbaah darul maarif, P.Pinang, tanpa tarikh).

Kitab Mau'izhoh linnas ni memang agak unik sikit. Apa tidaknya, kitab ini tidak ada nama pengarangnya. Tulisan di kulit muka kitab berkenaan ada menyatakan: "Karangan orang sufi tiada menyatakan dirinya kerana warak dan tadharuknya."

Kitab ini membahaskan tentang cara-cara bersembahyang dalam bentuk soal-jawab. Dan.. Kita nanti akan nampak soal-jawab yang aneh-aneh. Aneh kerana kita jarang mendengarnya. Sebenarnya, pembahasan yang dikemukakan berdasarkan kacamata falsafah + tasauf yang disesuaikan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Untuk membacanya, bimbingan dan tunjuk ajar dari guru yang berkemahiran dalam bidang agama amatlah perlu. Kerana hadis-hadisnya tidak ditakhrijkan (tidak dinyatakan jalan periwayatannya). Kita tidak tahu samada ia sahih, dhaif atau maudhuk. Manakala ayat al-Qurannya perlulah kita bertanyakan kepada ulamak tentang apakah benar ia bermaksud begitu.

Mengapa solat 5 waktu 17 rakaat?

Berikut ini saya petik sebahagian dari isi soal-jawab dari kitab berkenaan:

(Soal):Apa sebab maka ditentukan Allah Taala pada sembahyang lima waktu itu tujuh belas rakaat, jika empat-empat rakaat kelima-limanya atau tiga-tiga rakaat atau dua rakaat apa salahnya kerana Allah Taala (berbuat Allah Taala bagi barang sekehendaknya)

(Jawab): Adapun faedah hukum Allah Taala menjadikan rakaat pada sembahyang lima waktu itu tujuh belas rakaat kerana bahawasanya Zohor dan Asar delapan rakaat (kerana pintu syurga itu delapan pintunya). Barangsiapa sembahyangkan ia akan delapan rakaat itu nescaya terbukalah baginya pintu syurga yang delapan itu. Adapun maghrib dan Isyak itu tujuh rakaat (kerana bahawasanya neraka jahanam itu tujuh pangkatnya) (barangsiapa yang menyembahyangkan ia akan tujuh rakaat itu maka tertutuplah pintu yang tujuh pangkat neraka itu. Adapun Subuh dua rakaat (kerana bahawasanya hari dan malam itu tempat dosa (dan pahala dan barangsiapa menyembahyangnya jatuhlah ia bagi pahala) (dan barangsiapa meninggalkan akan dia nescaya ia jatuhlah kepada dosa).

Itulah faedah hukum Allah menjadikan rakaat tujuh belas pada sembahyang lima waktu. Wallahu a'lam.

Itulah sedikit sedutan dari kitab Mau'izhoh linnas. Bagaimana? Mungkin ada yang baru saja tahu bahawa ada juga soalan => Mengapa Allah Taala mewajibkan kita bersembahyang sehari semalam 17 rakaat. Kenapa tidak 18 ke, 6 sahaja atau sebagainya.

Sedutan di atas itu, pada asalnya adalah menggunakan tulisan jawi. Dan, yang berada di dalam kurungan pada asalnya adalah berbahasa Arab. Saya mengambil terjemahannya sahaja.

Terjemahan ke Melayu moden

Di bawah ini saya terjemahkan sedutan di atas yang menggunakan bahasa Melayu klasik ke bahasa Melayu yang mudah difahami:

Soalan: Mengapakah Allah Taala menjadikan sembahyang lima waktu sehari semalam itu 17 rakaat? Mengapa tidak kelima-lima waktu itu semuanya 4 rakaat? Atau kesemuanya tiga rakaat. Atau dua rakaat? Bukankah Allah Taala berkuasa melakukan apa yang Dia mahukan?

Jawapan: Faedahnya ialah:
1. Sembahyang Zohor (4)dan Asar (4) ==> 8 rakaat
Sebab pintu syurga ada 8 semuanya. Jadi, apabila seseorang itu menunaikan sembahyang Zohor dan Asar, akan terbukalah pintu-pintu syurga berkenaan (kalau tak.. Ia akan tertutup).

2. Sembahyang Maghrib (3) dan Isyak (4) ==> 7 rakaat
Sebab neraka jahanam itu ada 7 tingkat. Ini bermakna jika seseorang itu bersembahyang Maghrib dan Isyak, maka pintu untuk setiap tingkat akan tertutup.

3. Subuh (2) ==> 2 rakaat
Kerana siang dan malam adalah tempat dosa dan pahala. Oleh itu sesiapa yang menunaikan sembahyang subuh maka dia akan memperoleh pahala. Sebaliknya, jika dia meninggalkan sembahyang subuh, maka dia akan terjerumus ke dalam dosa.

Demikianlah faedah mengapa Allah Taala mewajibkan ke atas kita sebanyak 17 rakaat.

Nampaknya setakat itu sahaja untuk kali ini. Untuk keluaran akan datang kita akan mengambil keratan menarik dari kitab tua yang lain pula.

Kemuka Soalan  Ke Laman Utama

aL-AHKAM online oleh: