Make your own free website on Tripod.com
[an error occurred while processing this directive]

__________________________________________________________Ayat Hukum

PAPARAN  BULAN JUN 1998
.
Penerbitan.Pengedaran.Konsultan



 

 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

HUKUM KHAMAR
Firman Allah Taala:
Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.”  (Al-Baqarah: 219)

 

Sebab turun ayat
Umar bin al-Khatab berdoa: “Ya Allah jelaskanlah kepada kami secara memuaskan hati mengenai masalah khamar, kerana khamar itu menghabiskan harta dan merosakkan akal yang sihat.” Kemudian turunlah ayat:
“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi…”

Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat berkenaan. 

Umar terus berdoa lagi: “Ya Allah jelaskanlah kepada kami secara memuaskan hati mengenai masalah khamar, kerana khamar itu menghabiskan harta dan merosakkan akal yang sihat.”  Kemudian turun ayat:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk. (al-Nisaa'’43)

Tukang azan Rasulullah, apabila iqamat, dia menyeru: “Janganlah orang yang dalam keadaan mabuk dtang bersembahyang.”

Umar dipanggil untuk dibacakan kepadanya ayat berkeaan. Namun dia masih tetap berdoa: “Ya Allah jelaskanlah kepada kami secara memuaskan hati mengenai masalah khamar, kerana khamar itu menghabiskan harta dan merosakkan akal yang sihat.” Lalu turunlah ayat:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, judi, berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu tidakkah kamu mahu berhenti?” (surah al-Maidah: 90-91)

Umar dipanggil untuk di bacakan kepadanya ayat ini. Apabila sampai pada penghujung ayat ini yang berbunyi:
“Belumkah kamu mahu berhenti?”

Umar menjawab: “Kami berhenti, kami berhenti.”

Apa Itu Khamar?
Menurut jumhur ulamak khamar (arak/minuman keras) itu ialah setiap minuman yang memabukkan, tidak kira samada ia diperbuat dari perahan anggur, tamar, gandum atau sebagainya.

Pengharaman khamar
Islam mengharamkan arak secara berperingkat-peringkat. Pada permulaan Islam, khamar tidak diharamkan. Ketika itu kaum muslimin bebas meminum khamar. Kemudian turun ayat al-Quran yang bermaksud:

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.”

Dengan turunnya ayat ini, sebahagian orang-orang Islam meninggalkan tabiat meminum khamar. Mereka berpegang perkataan yang terdapat di dalam ayat “Pada keduanya terdapat dosa besar..”

Namun sebahagian dari mereka masih terus meminumnya kerana berpegang kepada perkataan yang terdapat pada ayat: “..dan beberapa manfaat bagi manusia.”

Setelah ayat ini turun, pernah berlaku pada suatu ketika, seorang sahabat iaitu Abdul Rahman bin Auf mengadakan majlis makan-makan. Beberapa para sahabat telah dijemput. Di majlis itu dihidangkan dengan makanan dan khamar. Apabila masuk waktu Maghrib, mereka bersama-sama mengerjakan smebahyang dan salah seorang dari mereka menjadi imam. Semasa membaca surah dari al-Quran imam yang dalam keadaan mabuk ini  telah tersalah membaca ayat yang bermaksud:

“Katakanlah, wahai orang-orang kafir, aku menyembah apa yang kamu sekelian sembah.”

Sepatut ayat tersebut:

“Katakanlah, wahai orang-orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sekelian sembah.”

Dengan peristiwa ini, turunlah ayat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu bersembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.” (Surah al-Nisaa’:43)

Ayat di atas dengan jelas Allah Taala mengharamkan kaum muslimin mabuk ketika mengerjakan sembahyang. Dan setelah turunnya ayat ini mereka hanya akan meminum khamar selepas mengerjakan sembahyang Isyak.

Pada suatu ketika, Utban bin Malik menjemput beberapa orang dari para sahabat untuk menghadiri majlis keramaian yang diadakannya. Di antara mereka ialah Saad bin Abi Waqas. Dalam majlis itu telah dihidangkan dengan makanan dan khamar. Para tetamu meminum khamar hingga mabuk. Setelah mabuk masing-masing bersyair membangga-banggakan diri dan kaumnya serta mencela kaum lainnya. Ada seorang dari mereka yang bangun dengan membawa syair kebanggaan kaumnya dan mencela kaum Ansar. Salah seorang dari kaum Ansar bangkit lalu pergi kepada Saad bin Abi Waqas dan memukulnya dengan rahang unta. Kepala Saad mengalami kecedaraan berat. Belia kemudian pergi mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Dan… Turunlah ayat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, judi, berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu tidakkah kamu mahu berhenti?”

Dengan turunnya ayat ini, khamar telah diharamkan secara mutlak.

Dari penjelasa di atas, dapat kita simpulkan bahawa khamar diharamkan melalui beberapa peringkat, iaitu:

Pertama: Allah menjelaskan bahawa arak itu keburukkannya lebih banyak dari kemanfaatan. Masih belum diharamkan.
Kedua: Allah mengharamkan mengerjakan sembahyang dalam keadaan mabuk.
Ketiga: Allah mengharamkan terus khamar.

Pengharaman khamar dilakukan secara bertahap-tahap banyak membawa kebaikkan kepada kaum muslimin. Ini adalah kerana khamar merupakan satu perkara yang telah mendarah daging dalam kehidupan mereka semasa jahiliah. Sudah tentu amat sukar untuk mereka berhenti dari tabiat buruk ini. Jika Allah Taala mengharamkannya secara mengejut sudah tentu akan menjadi masalah besar bagi mereka. Dan mereka semestinya tidak akan tunduk dan patuh terhadap larangan ini.

Inilah antara keadilan sistem perundangan Islam dan Maha Bijaksana Allah Taala dalam menurunkan hukum-hukumNya. Dan unsur bertahap-tahap ini memang telah menjadi roh dalam pensyariatan hukum-hakam dalam Islam. Ia amat selari dengan fitrah dan tabiat manusia itu sendiri, yang sememangnya tidak berdaya dengan sesuatu yang telah mendarah daging. 
 

Apa Kemanfaatan Khamar?
Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.”

Seperti yang terkandung di dalam ayat di atas, apakah kemanfaat khamar? Memang ada kemanfaatan khamar, antaranya ialah keuntungan hasil dari perniagaan khamar, sudah tentu lumayan dan berlipat kali ganda. Perkara ini telahpun diceritakan oleh al-Qurtubi:

"Adapun kemanfaatan khamar ialah keuntungan yang diperolehi dari perniagaan khamar itu. Para peniaganya mendatangkan khamar dari Syam dengan harga rendah, lalu menjualnya di Hijaz dengan keuntungan yang besar. Para peniaga khamar tidak pernah mengalami tawar-menawar terhadap harga yang mereka minta, peminumnya membayar dengan harga yang mahal. Inilah yang paling sahih yang diceritakan mengenai manfaat-manfaat khamar.”

Ya, sememangnya menguntungkan perniagaan khamar  ini. Tidak perlu kita semua melihat kepada zaman dahulu kala. Sekarang ini, ia masih berlaku lagi… Jika tidak, sudah tentu sukan kedua terbesar di dunia tidak ditaja oleh syarikat pengeluar khamar.. Mereka sanggup bayar berapa sahaja, asalkan mesej mereka yang tersirat “minumlah khamar kami’ sampai kepada warga Malaysia khususnya. Dari sini mereka akan dapat menarik lebih ramai lagi pelanggan seterusnya mengaut keuntungan berlipat-lipat kali ganda. Akan bertambah hancurlah genarasi kita… Iklan, apa konsepnya? Antaranya ialah, golongan sasar tidak membelipun tidak mengapa. Yang penting mereka kenal jenama yang dikeluarkan. Bagi mereka ini sudah cukup menguntungkan. Kemudian, bila golongan sasar telah kenal.. kenal.. dan terus kenal, mereka akan asak terus pemikirannya dengan pelbagai dakyah, gaya hidup dan gaya berfikir yang mengelirukan, Akhirnya cara berfikir yang yang diketengahkan, gaya hidup yang ditonjolkan dan dakyah yang dicanangkan akan memenuhi kotak pemikiran genarasi kita. Genarasi kita dengan akur mengatakan: “Inilah kebenaran..”

Antara manfaatnya lagi ialah peminumnya dapat meredakan kekusutan fikiran, tetapi hanya untuk sementara sahaja. Penyelesai masalah dan penenang fikiran yang palsu.

Namun kemanfaatan yang ada pada khamar adalah berbentuk material dan sementara semata-mata. Bandingkan pula keburukkan khamar, jika hendak disenaraikan sudah tentu akan mencecah angka yang begitu banyak. Namun yang dasarnya ialah, khamar mampu merosakkan akal, memporakperandakan kehidupan, menumbulkan pelbagai masalah sosial. Sedangkan Islam yang selari dengan fitrah manusia, amat menjaga tentang akal. Kerana dengannyalah kita manusia ini dimuliakan oleh Allah Taala. Dengannya jugalah kita ini berbeza dengan binatang. Islam juga amat menjaga keharmonian hidup dan kesihatan sosial. Apakah yang paling mudarat selain dari kemusnahan akal, kehidupan dan sosial?

Memang benarlah, jika khamar itu mendapat julukkan UMMUL KHABA’IS, ibu segala kejahatan dan kekejian!! Oleh itu, umat Islam perlu menentang secara habis-habisan kebangkitan khamar.. Hapuskannya sebelum ia memakan diri dan kehidupan  kita dan genarasi mendatang.
 

Ayat di atas juga ada membicarakan tentang hukum haram berjudi.. Ia akan dibahaskan pada kesempatan lain, insyaallah…

 

[Kemuka Soalan  Ke Laman Utama]



aL-AHKAM online oleh:Penerbitan.Pengedaran.Konsultan