AYAT
HUKUM |
Ayat di atas menetapkan bahawa iddah bagi perempuan yang kematian suami ialah setahun penuh.. Manakala ayat al-Quran yang kita sedang bahaskan (al-Baqarah: 234) pula menteapkan bahawa iddah perempuan yang kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.
Jumhur ulamak mengatakan bahawa ayat 234 itu menaskhkan (memansukhkan) ayat 240. Ini bermakna, sebelum ini, iddah perempuan berkenaan ialah setahun penuh, kemudian apabila ayat berkenaan dimansukhkan maka ia menjadi empat bulan sepuluh hari.
Memang dari segi urutannya, ayat yang memansukhkan (ayat 234) adalah berada di awal, sedang yang dimansukhkan berada di belakangnya. Sepatutnya, yang memansukhkan hendaklah berada di belakang yang dimansukhkan…. Tetapi, ini hanyalah dari segi urutan ayat.. Dahulu dan kemudiannya berdasarkan urutan ayat, bukan berdasarkan urutan turunnya ayat.. Kalau dari segi urutan turun, ayat 240 lebih dahulu turun barulah diikuti oleh ayat 234 . (Hanya untuk pengetahuan yang berguna).
Hukum 2
Di atas, adalah iddah bagi perempuan biasa yang kematian suami – 4
bulan 10 hari. Bagaimana pula dengan iddah perempuan hamil yang kematian
suami? Berapa lamakah iddahnya?
Menurut pendapat jumhur ulamak, iddah perempuan hamil yang kematian
suami ialah sehingga dia melahirkan kandungannya. Mereka mengambil dalil
ayat al-Quran yang bermaksud:
Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka ialah sampai
mereka melahirkan anak.
Mereka mengatakan bahawa ayat di atas bersifat umum, samada untuk perempuan yang ditalak ataupun yang kematian suami.
Jumhur ulamak juga berdalilkan hadis riwayat Bukhari, Muslim, Nasa’I dan Abu Daud yang menjelaskan tentang iddah perempuan hamil yang kematian suami ialah sehingga kandungan dilahirkan.
Manakala menurut riwayat dari Ali dan Ibnu Abbas r.a. bahawa perempuan hamil yang kematian suami iddahnya ialah waktu yang terjauh. Ini bermakna, apabila suaminya meninggal dunia dalam keadaan dia hamil, kemudian dia melahirkan sebelum tamat tempoh 4 bulan sepuluh hari, maka dia perlu menghabiskan tempoh tersebut sebagai batas iddahnya. Sebaliknya jika setelah tamat tempoh 4 bulan 10 hari itu tamat, sedangkan kandungannya belum lahir, maka tempoh iddahnya ialah selepas anak itu dilahirkan.
Mereka menggabungkan antara dua ayat, iaitu ayat tentang iddah perempuan yang kematian suami dengan ayat tentang iddah perempuan yang mengandung. Mereka kata, menggabungkan kedua hukum iddah berkenaan adalah lebih baik daripada mencari tarjih.
Hukum 3
Berkabung: Hukum dan tempohnya
Berkabung adalah wajib bagi perempuan yang kematian suami. Tempohnya ialah selama masa iddah berjalan (4 bulan 10 hari).
Kaum kerabatnya dibenarkan berkabung dalam tempoh 3 hari sahaja, dan haram hukumnya jika melebihi tempoh berkenaan.
Hadis dari Muslim dari Zainab binti Ummu Salamah menyatakan:
Aku masuk ke rumah Ummu Habibah ketika Abu Sufian (ayahnya) telah
meninggal dunia, Ummu Habibah minta wangi-wangian yang berwarna kuning
disebabkan za’faran dan lainnya, yang menjadi komposisi wangian itu.
Ia digosok oleh seorang budak perempuan dengan wangian itu dan dia menggosok
kedua pipinya dengannya. Kemudian dia berkata: Demi Allah, aku samasekali
tidak memerlukan wangian ini, hanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda
di atas minbar: Tidak diperbolehkan bagi seorang wanita yang beriman kepada
Allah dan hari akhir berkabung untuk seorang yang meninggal dunia lebih
dari tiga hari, kecuali untuk suaminya, maka lama masa berkabung ialah
empat bulan sepuluh hari.
Ibnu Kathir berkata: “Berkabung ialah meninggalkan berhias diri, seperti memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian serta perhiasan dan sebagainya, yang semuanya itu menunjukkan kepada upaya menerima pinangan.
Perkara ini wajib bagi setiap wanita dalam menjalani iddah kerana kematian suami. Dalam masalah ini hanya ada satu pendapat sahaja (tidak diperselisihkan). Berkabung menurut apa yang disebukan di atas tidak diwajibkan ketika menjalani tempoh iddah raj’i. Juga dalam masalah ini ada satu pendapat sahaja. Pada masalah, apakah ia juga berlaku terhdap wanita yang ditalak ba’in. Ada dua pendapat.
Berkabung diwajibkan atas semua wanita yang kematian suami, samada dia masih muda ataupun yang sudah putus haidhnya; juga samada dia merdeka ataupun hamba; samada dia seorang muslim ataupun kafir. Kerana ayat yang berhubungkait dengannya bersifat umum.”
Hukum 4
Mengapakah iddah disyariatkan?
1. Untuk mengetahui kebersihan rahim dari kehamilan, agar keturunan
tidak menjadi kacau antara satu dengan yang lain.
2. Sebagai amalan ta’abbudi (ibadah) kerana mematuhi perintah Allah.
3. Sebagai pernyataan rasa sedih dan duka cita atas kematian suami,
serta pengakuan seorang isteri terhadap jasa dan kebaikan suami.
4. Untuk mempersiapkan waktu yang baik bagi suami isteri yang ditalak
untuk memulihkan kehidupan berumahtangga dengan jalan rujuk. Maksudnya
ialah memberi peluang dari segi masa agar mereka dapat rujuk semula.
5. Sebagai peringatan bahawa perkahwinan adalah perkara besar, bukan
main-main.
Wallahu a’lam..
Rujukan
Tafsir Ayatil Ahkam – Muhamad
Ali al-Shabuni
Sahih Bukhari
Sahih Muslim
|
| Kemuka Soalan Ke Laman Utama | |