Make your own free website on Tripod.com
[an error occurred while processing this directive]
Firaq (Aliran Tauhid Di Dalam Islam)

Tauhid yang terdapat di dalam al-Quran

Penjelasan mengenai seruan al-Quran
Allah Taala mengutuskan Nabi Muhamad s.a.w. dengan petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain. Allah juga menurunkan al-Quran al-Karim kepada Nabi Muhamad s.a.w. sebagai mukjizat untuknya dan sebagai sumber agama yang diserukan oleh Baginda s.a.w.

Dakwah (seruan) yang dibuat oleh Nabi Muhamad s.a.w., tersimpul di dalam dua perkara:
Pertama: Aqidah (Tauhid)
Kedua: Pembebanan syariat.

Pertama: Aqidah (Tauhid)
Iaitu seruan Rasulullah s.a.w. agar ia diiktikadi dan diimani. Ia terdiri dari perkara-perkara yang berhubung kait dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya dan hari kiamat.

Ia juga adalah dakwah yang diserukan oleh para anbiya' sebelum Rasulullah s.a.w.
Firman Allah Taala:
"Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang ia tetapkan hukumnya- apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhamad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisih pada dasarnya."  Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepaanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat)." (Al-Syuraa:13)

Keistimewaan dakwah/seruan al-Quran kepada aqidah ialah tuntutannya kepada yang berakal di dalam ayat-ayat Allah tentang kejadian alam sebagai memuliakan dan menggugah/memperingatkan akal.

Kedua: Pembebanan syariat
Yang dimaksudkan dengan pembebanan syariat ialah cabang-cabang agama. Iaitu peraturan-peraturan yang disyariatkan Allah untuk hambaNya agar ia diambil oleh manusia untuk dirinya sendiri di dalam hubungannya dengan Tuhan, saudaranya sesama manusia, saudaranya sesama orang Islam dan dengan kehidupan.

Peraturan-peraturan ini berbeza-beza untuk setiap umat, keadaan dan zaman. Firman Allah Taala:
"Bagi tiap-tiap kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Al-Maidah:48)

Namun begitu, syariat Nabi Muhamad s.a.w. adalah umum untuk semua mukallaf  yang terdiri dari kalangan jin dan manusia, bermula dari saat kebangkitannya hingga berlaku hari kiamat.

Manhaj al-Quran didalam seruannya kepada tauhid
Al-Quran datang dengan tauhid yang suci dan bersih dari sebarang bentuk kesamaran, ragu-ragu serta jauh dari segala cacat dan cela.

Al-Quran mengemukakan dalil di atas setiap seruan yang dibuatnya. Al-Quran menceritakan tentang aliran yang bertentangan dengannya dari kalangan orang-orang musyrikin dan ahli kitab, dan kemudian ia mendatangkan dalil serta hujah kebatilan aliran berkenaan.

Al-Quran membicarai akal, menggugah fikiran dan membangkitkan fitrah yang Allah kurniakan kepada manusia tentang perasaan hati kecil terhadap pencipta alam semesta ini. Ia membentangkan di hadapan akal fikiran sistem dan peraturan alam semesta dan segala yang terdapat di dalamnya, betapa ia begitu sempurna. Kemudian ia meminta agar melihat serta merenung tentang kesempurnaan kejadian alam itu agar menghubungkannya dengan keyakinan dan keimanan.

Al-Quran juga telah bertindak mempertautkan antara akal dan agama untuk pertama kalinya dalam sejarah kitab-kitab suci yang diutus kepada para rasulNya. Sebagaimana yang diketahui bahawa sebahagian dari ajaran agama yang dapat diketahui melalui akal fikiran, seperti pengetahuan kita tentang kewujudan Allah, kekuasaanNya dan ilmuNya. Dan ajaran agama, jika ia mendatangkan sesuatu yang mengatasi kefahaman, maka ia tidak mungkin mustahil menurut akal fikiran.

Begitulah jalan yang dilalui oleh al-Quran di dalam seruannya kepada akidah.

Tauhid yang terkandung di dalam al-Quran
Al-Quran al-Karim menyeru kita agar mengenal Allah. Bahawa Allah itu wujud, tidak berpermulaan (qadim), kekal selama-lamanya serta tidak serupa dengan seluruh makhlukNya. Selain dari Allah berhajat dan memerlukanNya yan Maha Esa pada zat, sifat dan perbuatanNya. Dia adalah Tuhan yang selayaknya disembah, yang Mahasuci dari sekutu (syirik), anak dan sebarang sifat kekurangan. Dialah yang bersifat dengan sifat al-Jalal (Maha agung) dan al-Kamal (Maha sempurna) yang maha berkuasa mencipta alam semesta, yang maha berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan berkata-kata.

Al-Quran menyandarkan di dalam setiap seruannya kepada apa yang telah difitrahkan ke atas manusia, iaitu merasai melalui hati kecil atau perasaan batinnya yang berkata bahawa alam semesta ini mempunyai Tuhan maha Pencipta. Al-Quran juga menyandarkan setiap seruannya kepada bukti-bukti dari alam semesta ini.

Firman Allah Taala:
Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhamad): "Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya). (Surah Yunus: 101)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang berlayar dilaut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Surah al-Baqarah: 164)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Dialah Yang Awal dan Yang Akhir. (Al-Hadid:3)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya). (Al-Syuura:11)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhamad):"(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa." (Al-Ikhlas: 1)

Al-Quran berhujah tentang keesaan Allah dengan firmanNya:
Ertinya: Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. (Al-Anbiya': 22)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua.. (Al-Nisaa': 36)

AL-Quran mengeji orang-orang yang mensyirikkan Allah dan memberitahu jenayah syirik mereka:
Firman Allah Taala:
Ertinya: Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan? Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri. (al-A'raf: 191-192)

Firman Allah Taala:
Ertinya: (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (Al-Saffaat:96)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu. (Al-Mukminun:91)

Firman Allah Taala:
Ertinya: (Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? (Al-An'am: 101)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhamad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan tidak sekutukan denganNya sesuatu juapun. (Ali Imran: 64)

Allah menamakan diriNya dengan beberapa nama dan menyifatkan dirinya dengan beberapa sifat, di mana manusia tidak boleh menyerunya dengan selain dari nama-nama dan menyifatkan dengan selain dari sifat-sifatNya, firman Allah Taala:
Ertinya: Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Al-Hasyr:22)

Al-Quran menjelaskan pengutusan para rasulNya, firman Allah Taala:
Ertinya: Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi. (Al-Ahzab: 45-46)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhamad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya. (Al-Nisaa': 163)

Firman Allah Taala:
Ertinya: ..Supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. (Al-Nisaa':165)

Al-Quran mewajibkan ke atas kita beriman dengan seluruh rasul, firman Allah Taala:
Ertinya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari TuhanNya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulNya." (Al-Baqarah: 285)

Para rasul itu benar di dalam dakwaan mereka, amanah atas risalah mereka, menyampaikannya kepada mukallaf serta mengemukakan hujah kepada mereka. Rasulullah s.a.w. menyampaikan kepada kita apa yang diwahyukan kepadanya, lalu kita beriman dengan apa yang disampaikan itu.

Rasulullah s.a.w. telah memberi khabar kepada kita tentang perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diketahui kecuali melalui jalan wahyu, seperti perkhabaran tentang para malaikat, iaitu tentera Allah yang merupakan hamba-hambanya yang dimuliakan, tidak memaksiati Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka serta melakukan apa yang diperintahkan.

Termasuk perkhabaran ghaib ialah mengenai alam jin, di mana mereka itu adalah mukallaf sebagaimana manusia. Sebahagian dari mereka adalah beriman dan sebahagiannya adalah kafir. Mereka dapat melihat manusia dan manusia tidak dapat melihat mereka.

Termasuk perkhabaran ghaib ialah mengenai ajal dan maut serta segala yang berkaitan dengan kehidupan selepasnya, antaranya ialah pahala dan dosa, nikmat dan azab sebagai melaksanakan janji baik Allah terhadap orang-orang yang beriman dan janji ancaman terhadap orang yang memaksiatinya dan orang-orang kafir.

Termasuk perkhabaran ghaib ialah mengenai kesudahan alam ini dengan tiupan samngka kala yang pertama, firman Allah Taala:
Ertinya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi. (Al-Zumar:68)

Juga mengenai kebangkitan makhluk selepas dimatikan, firman Allah Taala:
Ertinya: Kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). (Al-Zumar: 68)

Termasuk perkhabaran ghaib ialah mengenai hari kemudian (akhirat) serta segala apa yang ada pada hari berkenaan, termasuk hisab, lembaran amal, mizan, sirath, syurga tempat orang yang beriman dan neraka tempat orang-orang kafir yang akan kekal di dalamnya, firman Allah Taala:
Ertinya: Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. (Al-Insyiqaq: 7-8)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka ia meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. (Al-Insyiqaq: 10-12)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun. (Al-Anbiya':47)

Firman Allah Taala:
Ertinya: Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka jahanam. (Al-Mu'minun: 102-103)

Dikemukakan juga hujah dan dalil terhadap kebangkitan manusia selepas dimatikan di dalam banyak ayat-ayatnya, antaranya ialah firman Allah Taala:
Ertinya: ".. Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu? Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya). (Yasiin:78)

Kemukjizatan adalah jalan beriman terhadap para rasul dan terhadap apa yang dibawanya tentang perkara-perkara ghaib. Secara keseluruhannya (umumnya), al-Quran datang dengan pokok-pokok akidah agama yang wajib diimani oleh setiap orang Islam dan menjadi kafir dengan mengingkarinya. Al-Quran menjelaskan dengan membawa buktinya sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.  Allah Taala bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, Mahasuci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Dia mengutus para rasul untuk memberi petunjuk kepada manusia ke arah kebaikan dalam kehidupan dan kesudahan mereka.

Rasulullah s.a.w. telah menerangkan kepada kita setiap perkara yang berhubung dengan asas-asas agama (Usuluddin) tentang keimanan kepada Allah, kitab-kitabNya, para RasulNya dan hari akhirat. Orang-orang terdahulu (salaf) mengambil dari al-Quran dan dari Rasulullah s.a.w. akidah-akidah ini, dan mereka memahami isyarat-isyarat al-Quran dan nas-nasnya dengan beriktikad memahasucikan Allah dari sesuatu yang tidak layak denganNya seperti firman Allah Taala:
Ertinya: Iaitu (Allah) al-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. (Thaha: 5)

Mereka berkata, tidak diketahui takwilnya kecuali Allah, kami beriman dengannya setiap dari sisi Tuhan kami .

Mereka tidak menjebakkan diri mereka kepada memperluaskan perbicaraan dan pembahasan mengenainya dan tidak juga memperincikannya. Mereka beramal dengan apa yang mereka iktikadkan dengan mengikhlaskanya serta tetap teguh di atas tauhid.

Perkara ini berjalan hingga berlakulah fitnah saiyidina Usman. Dan ketika terdapat penganut-penganut agama lain yang memeluk Islam dengan tujuan mahu merosakkan Islam, seperti Abdullah bin Saba'. Tersebarlah syubahat (keragu-raguan) antara kaum muslimin dan cabaran terhadap para ulamak untuk menolaknya, kemudian wujudlah aliran-aliran di dalam Islam dan bermulalah era penyusunan ilmu Kalam.
 
 

Ke Laman Utama


 aL-AHKAMonlineoleh:
Penerbitan.Pengedaran.Konsultan