(8/5/98)
| Assalamualaikum w.r.t Ustaz,
Saya mempunyai kemusykilan dalam perkara solat tahajjud. Ada sesetengah
buku mengatakan bahawa solat tahajjud hanya boleh dibuat setelah tidur
selepas solat isyak (samada lama atatu sekejap) , jika tak tidur tidak
digolongkan di dalam golongan solat tahajud manakala ada sesetengah pendapat
dalam buku lain pula mengatakan selepas solat Isyak boleh diteruskan solat
tahajjud.
Boleh tak ustaz mengulas perkara ini dan kalau tidak menjadi keberatan,
bolehkah ustaz memberi penjelasan cara solat tahajjud rasullulah s.a.w
serta para sahabat atau ulama/imam yang terkenal dan kelebihan2nya?
terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu
wassalam.
--------------------------
aizan@teras.com.my
|
Jawapan
Terima kasih kerana masih terus menjadikan aL-Ahkam online
sebagai rujukkan anda. Alhamdulillah inilah jawapannya:
(1)
Firman Allah Taala:
"Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu
untuk sembahyang tahajjud, sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan
Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik." (al-Isra':97)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah
sembahyang sunat malam." (riwayat Muslim)
Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud.
Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun
bilangan rakaatnya (paling kurang) hany dua sahaja tetapi tidak semua orang
mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas
tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap
mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan
tahajjud.
(2)
Definasi tahajjud: Sembahyang sunat pada waktu malam
selepas tidur (Rujuk definasi ini pada kitab-kitab mazhab Syafi'i)
Hukum tahajjud: para ulamak telah ijmak mengatakannya
sebagai sunat. Dan ia pernah diwajibkan pada permulaan Islam. Bagi orang-orang
yang telah biasa melakukan tahajjud, makruh hukumnya meninggalkan tahajjud.
Waktu mengerjakan tahajjud: Selepas Isyak &
selepas tidur. Dan, yang paling afdal ialah mentakhirkan sembahyang
ini.
Menurut Imam al-Nawawi di dalam Minhaaj al-Thalibin, makruh
mengerjakan sembahyang tahajud seluruh malam secara berterusan (Berjaga
setiap malam mengerjakan tahajud). Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini
menjelaskan perkataan al-Nawawi dengan katanya: "Makruh mengerjakan
tahajud pada waktu malam yang dapat memudaratkan. Dari itu berjaga utk
bertahajud seluruh malam setiap hari tergolong dalam kategori ini. Alasannya
ialah, sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim:
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Abdullah bin Amru
bin al-Ash: Tidakkah aku diberitahu bahawa engkau berpuasa disiang hari
dan berdiri (solat) diwaktu malam? Abdullah menjawab: Bahkan wahai Rasulullah.
Baginda s.a.w. bersabda: Jangan lakukan. Berpuasalah dan berbukalah. Berdirilah
(malam & bersolat) dan tidurlah. Sesungguhnya jasadmu juga mempunyai
haknya.....al-hadis."
Al-Khatib al-Syarbini menyambung lagi: "Kerana berjaga
malam secara berterusan dapat memudaratkan tubuh badan. Ia juga menyebabkan
seseorang itu tidak dapat berjaga pada waktu siang. Ini akan membuatkan
maslahat dunia dan agamanya pada waktu siang terlepas." (Al-Mughni
al-Muhtaj, vol 1, halaman 228)
Dimakruhkan juga mengkhususkan malam Jumaat untuk mengerjakan
Tahajud. Maksudnya, kita mengkhususkan sembahyang tahajjud hanya pada malam
Jumaat sahaja.
Orang yang hendak bertahajud disunatkan ber'qailulah'.
Iaitu tidur sedikit sebelum tergelincir matahari. Qailulah samalah seperti
sahur untuk orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Mintalah pertolongan dari qailulah untuk berdiri
(solat) pada waktu malam."
Maknanya, qailulah dapat membantu untuk tahajud.
Bilangan rakaat tahajud: Sekurang-kurangnya dua
rakaat dan sebanyak-banyaknya tiada had. Tetapi ada pendapat lain yang
mengatakan, sebanyak-banyaknya 12 rakaat (rujuk Fathul Mu'in, bihamish
I'anah al-Thalibin, vol 1, hal. 269)
(3)
Masalah saudara, tahajud: perlu tidur dahulu atau tidak?
Sebagaimana penjelasan di atas, bahawa definasi tahajud
sahaja sudah menggambarkan ia hendaklah dikerjakan selepas tidur.
Jika begitu sudah tentu akan timbul satu persoalan lain-->
Jika saya tidak tidur (kerana sebab-sebab tertentu), bermakna saya tidak
dapat melaksanakan tahajud. Akan terlepaslah saya dari memperolehi fadilat
tahujud yang besar itu...
Penyelesaiannya begini --> Terdapat beberapa solat yang
dikategorikan di dalam 'sembahyang malam'. Iaitu sembahyang witir, sembahyang
tahajud dan sembahyang sunat mutlak waktu malam.
Sembahyang sunat mutlak waktu malam: Sembahyang sunat
mutlak ialah sembahyang yang dikerjakan tanpa sempena apa-apa. Niatnya,
"sahaja
aku mengerjakan sembahyang sunat mutlak 2 rakaat kerana Allah Taala."
Sembahyang ini juga tidak kurang besar fadilatnya. Saya
nukilkan lagi secara bebas tentang kelebihan dari kitab Sabilul Muhtadin,
vol 2, hal. 19, 20 & 21:
Sembahyang sunat mutlak pada waktu malam lebih afdal dari
sunat mutlak waktu siang.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Sembahyang yang paling afdhal selepas sembahyang
fardu ialah sembahyang (sunat) malam."
Sabdanya lagi:
"Sesungguhnya pada waktu malam ada satu saat di mana
tidak dapat oleh seorang lelaki Islam yang memohon kepada Allah akan kebaikan
utk urusan dunia dan akhiratnya, melainkan akan diperkenankannya. Saat
itu ada pada setiap malam."
Maksudnya, setiap malam ada saat yang dinamakan saat ijabah.
Setiap doa yang dipohon pada saat itu akan diperkenankan.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai
sembahyang yang paling afdal selepas sembahyang fardu, baginda menjawab:
"Sembahyang pada tengah malam."
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
"Sembahyang yang paling Allah Taal paling suka ialah
sembahyang Nabi Allah Daud a.s., dia tidur pada separuh malam, dia bersembahyang
pada sepertiga malam dan tidur pada seperenamnya."
Sabdanya lagi:
Perintah Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga
pada waktu tinggal sepertiga yang akhir pada waktu malam, lalu berseru:
Adakah orang yang memohon , pasti Aku kabulkan, adakah orang yang meminta
pasti Aku akan beri dan adakah yang memohon ampun, pasti Aku akan ampuni
baginya sehingga Subuh.
Inilah antara fadilat-fadilat sembahyang malam. Fadilat
ini boleh digunakan untuk fadilat tahajud.
(4)
Cara-cara mengerjakan sembahyang tahajud dan sunat mutlak
malam.
Niat: Aku sembahyang sunat tahajud dua rakaat kerana Allah
Taala.
Kerjakan sembahyang sebagaimana sembahyang sunat lainnya.
Dan untuk sembahyang malam ini, disunatkan memperpanjangkan berdiri dari
memperbanyakkan sujud, sabda nabi s.a.w,:
"Sebaik-baik sembahyang ialah yang memperpanjangkan
berdirinya."
Memperpanjangkan berdiri ialah memperbanyakkan membaca
al-Quran. Memperbanyak sujud ialah dengan memperbanyakkan tasbih. Membaca
al-Quran lebih baik dari bertasbih.
Selepas mengerjakan sembahyang, hendaklah membaca doa
di bawah ini, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari:
Ya Allah, bagiMu segala puji. Engkaulah penegak langit,
bumi dan alam semesta serta segala isinya. BagiMulah segala puji. Pemancar
cahaya langit dan bumi. bagimulah segala puji. Engkaulah yang haq, janjiMu
adalah benar, pertemuanMu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurgaMu
adalah benar, nerakaMu adalah benar, Nabi-nabi adalah benar, Muhamad s.a.w.
adalah benar dan kiamat adalah benar. Ya Allah kepadaMulah aku berserah
diri, kepada Engkaulah kami kembali, kepada Engkaulah kami merindu, kepada
Engkaulah kami berhukum. Ampunilah kami atas kesalahan yang telah kami
lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan atau yang kami
nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada
Tuhan melainkan Engkau Allah Rabbul Alamin. Tiada daya dan kekuatan melainkan
dengan Allah.
Selepas berdoa, perbanyakkanlah mengucap istighfar, antara
istighfar yang dianjurkan serta sabit dengan hadis yang sahih ialah Saiyidul
Istighfar (Penghulu Istighfar):
Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami, tiada Tuhan melainkan
Engkau, yang menjadikan kami, dan kami adalah hambaMu, dan kamipun dalam
ketentuanMu serta janjiMu sedapat yang kami lakukan. Kami memohon perlindunganMu
daripada kejahatan apa yang kami lakukan, kami mengakui kenikmatan yang
telah Engkau limpahkan kepada kami dan kami juga mengakui akan dosa kami,
keran itu berikanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya tidak ada yang
memberi pengampunan kecuali Engkau.
Sembahyang sunat mutlak, eloklah dilakukan dua rakaat,
dua rakaat.. sehingga berapa banyak yang disukai. Selepas itu bolehlah
membaca doa dan istighfar di atas.
Wallahu a'lam.
Rujukan:
1. Fathul Wahab - Syeikhul
Islam Zakaria al-Ansori, vol 1
2. Minhaj al-Thalibin -
Imam al-Nawawi
3. Mughnil Muhtaj - Syeikh
Muhamad alKhatib al-Syarbini, vol 1
4. Al-Feqhul Islami Wa adillatuh
- Dr Wahbah al-Zuhaili, vol 2 *
5. Sabilul Muhtadin - Syeikh
Muhamad Arshad al-Banjari vol 2**
6. I'anah al-Thalibin -
Syeikh Muhamad Satha al-Dimyathi vol 1
7. Fathul Mu'in - Syeikh
Zainudin al-Malbari*
* Ada terjemahan
** Kitab jawi klasik
=====================
Ke
Muka Hadapan
|