(10/5/98)
SOAL 1:
assalamualaikum....
Bagaimana niat dan cara2 kita hendak sembahyang jamak/qasar
--------------------------
raziar@pc.jaring.my
|
Jawapan
Terimakasih kerana terus bersama aL-AHKAM online. Alhamdulillah
inilah jawapannya:
(1)
Sembahyang jamak dan qasar merupakan satu rukhsah (keringanan)yang
diberikan oleh Allah Taala kepada kita hambaNya.
Firman Allah Taala:
"Jika kamu semua bermusafir di muka bumi, maka tidak
ada kesempitan bagimu sekelian untuk mengqasarkan sebahagian sembahyang,
bila kamu sekelian takut akan fitnah orang-orang kafir." (al-Nisa',
101)
Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud r.a.,
beliau berkata:
"Aku bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w. dua rakaat
dan bersama Abu Bakar dua rakaat, serta bersama Umar dua rakaat."
Ibnu Umar pula berkata:
"Aku bermusafir bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar
dan Umar. Ketiga-tiganya sembahyang Zohor dan Asar dua rakaat dua rakaat."
Muaz bin Jabal meriwayatkan:
"Kami berangkat bersama Rasulullah s.a.w. dalam perang
Tabuk. Rasulullah menjamakkan sembahyang Zohor dan Asar, dan menjamakkan
sembahyang Maghrib dan Isyak,; kemudian suatu haru Rasulullah s.a.w. mengakhirkan
sembahyang, lalu pergi, kemudian melakukan sembahyang Zohor dan Asar dengan
dijamakkan bersama. Kemudian beliau masuk (di khemah), kemudian keluar,
lalu sembahyang Maghrib dan Isyak dengan dijamakkan bersama."
(2)
Mengerjakan sembahyang qasar atau jamak adalah mudah, seperti
sembahyang-sembahyang lain juga. Ada takbir, qiyam, fatihah, rukuk, sujud
dsbnya. Hanya terdapat sedikit perbezaan, seperti perlu ada penambahan
niat, kalau zohor asalnya 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Di samping itu ada
beberapa perkara yang perlu difahami. Dan.. Ianya juga mudah. Antara yang
perlu diketahui dan difahami ialah:
Berdasarkan mazhab syafi'i, syarat sembahyang Qasar ada
8, iaitu:
1. Bermusafir melebihi jarak 2 marhalah (90 km).
2. Ada qasad ke destinasi tertentu yang hendak dituju.
Kerana jika tidak tahu ke mana hendak pergi, bagaimana kita boleh tahu
berapa jauh jaraknya. Apakah ia melebihi 2 marhalah atau tidak.
3. Musafir atau perjalanan itu hendaklah atas tujuan
yang diharuskan oleh syarak. Tidak boleh orang yang bermusafir atas tujuan
maksiat mengerjakan sembahyang qasar.
4. Mengetahui bahawa qasar itu dibolehkan. Kalau sembahyang
qasar dalam keadaan tidak tahu atau tertanya2: boleh ke qasar ni?, tidak
sah sembahyang qasarnya kerana dianggap main-main.
5. Niat qasar ketika takbiratul ihram.
6. Tidak ada perkara yang merosakkan niat qasarnya ketika
sembahyang, seperti berniat mahu sembahyang sempurna, tidak mahu qasar.
7. Tidak boleh mengikut (menjadi makmum) kepada orang
yang sembahyang sempurna (yg tidak qasar).
8. Berada dalam keadaan musafir sepanjang sembahyang
qasarnya itu. Jika dia bersembahyang di atas kapal laut, baru dapat satu
rakaat, kapalnya dah sampai ke kg halamannya. Maka tidak sah qasarnya.
(3)
Sembahyang yang boleh di qasarkan ialah sembahyang fardu
yang mempunyai bilangan rakaat empat, iaitu Zohor, Asar dan Isyak.
Sembahyang-sembahyang ini dapat diqasarkan menjadi dua
rakaat.
Kalau zohor:
Niatnya: Sahaja aku sembahyang fardu Zohor
2 rakaat qasar kerana Allah Taala.
LafazArabnya: Usholli fardaz Zuhri rak'ataini
qasran lillahi taala
Ashar:
Niatnya: Sahaja aku sembahyang fardu Asar
2 rakaat qasar kerana Allah Taala.
LafazArabnya: Usholli fardal Asri rak'ataini
qasran lillahi taala
Isyak:
Niatnya: Sahaja aku sembahyang fardu Isyak
2 rakaat qasar kerana Allah Taala.
LafazArabnya: Usholli fardal Isya'i rak'ataini
qasran lillahi taala
(4)
Praktiknya:
Contoh:
* Ali berada di P.Pinang hendak pulang ke rumah abangnya
di Johor Bahru selama 2 hari. Dia bertolak dari penang pada pukul 7.30
malam.
Komentar -
Ali menegerjakan sembahyang maghrib di rumahnya/masjid
di tempat tinggalnya. Bolehkah dia mengerjakan qasar?
- Tidak boleh lagi, kerana dia belum melepasi kawasan
kampungnya atau tempat tinggalnya.
Dalam perjalanan nanti Ali boleh mengerjakan sembahyang
qasar kerana:
- Jarak perjalanannya melebihi 2 marhalah / 90 km (Penang
-JB)
- Perjalanannya atas tujuan yang diharuskan oleh syarak
- menziarahi abangnya.
- Destinasi yang hendak dituju ditentukan dengan jelas,
dengan itu dia dapat mengetahui jarak jauh perjalannya.
- Dia tahu bahawa sembahyang qasar itu dibolehkan oleh
Allah utk orang yang bermusafir.
- Keharusan qasar diberikan kepada Ali sebaik sahaja
dia melepasi sempadan kampung atau kawasan tempat tinggalnya. Sebelum keluar
dari kawasan itu, tidak boleh lagi buat qasar.
* Pada pukul 9.30 malam Ali sampai di Ipoh. Dia singgah
untuk menunaikan sembahyang Isyak.
Komentar-
Di Ipoh Ali boleh mengqasarkan sembahyang Isyak:
- Ambil wudhuk
- Berdiri dengan mengadap qiblat
- Takbir serta niat (sahaja aku sembahyang fardu Isyak
2 rakaat qasar kerana Allah Taala).
- Sembahyang dua rakaat macam biasa.
- Salam dan selesai.......
Bukankah mudah?
* Pada pukul 6.00 pagi dia sampai di JB. Dia singgah di
sebuah masjid untuk menunaikan fardu subuh. Bolehkah dia mengqasarkan sembahyang
Subuh? - Tidak boleh, kerana subuh dua rakaat. Tidak boleh di qasarkan.
Begitu juga dengan Maghrib, hanya 3 rakaat. Tidak boleh diqasarkan.
* Pukul 6.45 pagi Ali sampai di rumah abangnya. Kemudian
pada pkl 1.25 tghari (contoh) masuk waktu zohor. Bolehkah Ali mengqasarkan
sembahyang Zohor di rumah abangnya?
- Ali boleh mengqasarkan sembahyang Zohor tersebut kerana
dia telah berniat untuk tinggal di rumah abang hanya 2 hari sahaja. Jadi,
selama 2 hari di rumah abangnya dia boleh mengqasarkan sembahyang.
- Jika dia niat untuk berada di situ selama lebih dari
TIGA hari, dia tidak boleh mengqasarkan sembahyang sesampainya di kawasan
tempat tinggal abangnya (sempadan kampung dsbnya).
- Jika dia berubah niat... Asalnya dia niat nak duduk
2 hari sahaja, tetapi dia berubah niat nak duduk selama 5 hari ke.. 6 hari
ke... seminggu ke.... Kes macam ni tak boleh qasar juga, bila sampai/memasukki
sempadan tempat tinggal abangnya (kg dsbnya). Sebelum sampai sempadan tersbt
masih boleh qasar lagi.
Inilah asas untuk sembahyang qasar secara praktiknya.
*********
Musafir... Mukim.. Mustautin...
Musafir - Orang yang berada dalam perjalanan.
Mukim - Orang yang niat untuk tinggal di suatu
tempat melebihi 3 hari. Orang ini tidak boleh qasar dan jamak. Macam orang
yang pergi belajar di suatu tempat, dia hanya mahu berada di situ untuk
beberapa ketika sahaja. Habis belajar, balik kampung. Saudara-saudara sendiri,
yang bekerja di K.L. Ada yang tidak berhajat nak jadikan tempat tinggalnya
itu sebagai tempat tinggal untuk selama-lamanya. Kalau dapat tukar kerja
di negeri asalnya, dia akan beli rumah dan tinggal terus di situ. Orang
jenis ni tidak boleh qasar sembahyangnya, sekalipun dia masih dianggap
sebagai perantau tetapi berstatus mukim. Sembahyang jumaat wajib dikerjakan
tetapi tidak termasuk di dalam bilangan 40 orang (menurut Syafi'i).
Mustautin... Orang yang berniat mahu tinggal di
suatu tempat untuk selama-lamanya. Nak tinggal terus. Atau sering dikatakan
'nak jadi orang situ'. Contoh, mereka yang bekerja di KL, dan duduk di
satu kawasan perumahan. Dia berniat memang nak duduk di situ terus. Rumahpun
dah beli (atau berazam nak beli rumah) dan anak-anakpun riuh-rendah bersekolah
kat situ. Pergi ke mana sekalipun, dia akan balik ke perumahan itu juga.
Mustautin begini, tidak boleh qasar/jamak sembahyang.
***********
SEMBAHYANG JAMAK
Iaitu menghimpunkan dua sembahyang fardu dalam satu waktu.
Hadisnya ada disebutkan di atas.
Sembahyang yang dihimpunkan ialah:
1. Zohor dengan Asar
2. Maghrib dengan Isyak
Ia boleh dilakukan seandainya memenuhi syarat berikut:
1. Dalam musafir
2. Perjalanan yang melebihi /dua marhalah/90 km.
3. Musafir atas tujuan yang diharuskan syarak.
Pembahagian jamak - Ada dua iaitu:
a) Jamak taqdim
iaitu yang menghimpunkan sembahyang Zohor dan Asar, ia
dilakukan pada waktu Zohor. Atau menghimpunkan sembahyang Maghrib dan Isyak,
ia dikerjakan pada waktu Maghrib.
b) Jamak ta'khir
Iaiatu menghimpunkan sembahyang Zohor dan Asar, ia dikerjakan
pada waktu Asar. Atau menghimpunkan sembahyang Maghrib dan Isyak, ia dikerjakan
pada waktu Isyak.
Syarat jamak taqdim:
a) Memulakan sembahyang pada waktunya yg terdahulu. Maksdunya,
buat zohor dahulu, lepas tu baru buat Asar. Atau buat Maghrib dulu, lepas
tu baru buat Isyak.
b) Niat jamak ketika takbiratul ihram pada sembahyang
yg pertama (pada sembahyang zohor atau maghrib).
c) Dua sembahyang itu dikerjakan secara berturut-turut.
Tidak boleh berselang antara dua sembahyang itu. Lepas salam sembahyang
yg pertama, terus berdiri buat yg kedua pula. Tidak boleh kalau selepas
salam sembahyang yg pertama, kemudian menyembang dulu, atau makan-makan
dulu, lepas tu baru sembahyang yang kedua. tak boleh..
Syarat jamak ta'khir:
a) Niat menta'khirkan sembahyang yang pertama pada waktu
sembahyang yang kedua. Niat ini hendaklah dibuat pada waktu sembahyang
yang pertama. Contohnya, bila masuk waktu zohor, niatkan nak tangguhkan
sembahyang zohor ni kewaktu Asar. Boleh meniatkan perkara ini selama waktu
zohor belum habis. Kalau dah masuk waktu Asar baru nak niat... Mana boleh..
b) Permusafiran/perjalanan itu berterusan sampailah dia
selesai mengerjakan kedua-dua sembahyang. Kalau naik kapal laut, belum
sempat mengerjakan kedua-dua sembahyang (zohor + Asar / Maghrib + Isyak),
kapal dah sampai ke sempadan kampung.. Tak boleh.
!!! Perhatian: Syarat di atas sama dengan syarat untuk
qasar.
NIAT
a) jamak taqdim
i. Zohor + Asar
- Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang zohor:
Sahaja aku sembahyang fardu zohor empat rakaat dijamakkan
kepada Asar sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
- Zohor+ Asar - Niat untuk sembahyang Asar:
Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat dijamakkan
kepada Zohor sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
ii. Maghrib + Isyak
- Maghrib + Isyak - Niat untuk sembahyang Maghrib:
Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat dijamakkan
kepada Isyak sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
- Maghrib + Isyak - Niat untuk sembahyang Isyak:
Sahaja aku sembahyang fardu Isyak empat rakaat dijamakkan
kepada Maghrib sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
b) Jamak ta'khir
i. Zohor + Asar
Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang Zohor:
Sahaja aku sembahyang fardu Zohor empat rakaat dijamakkan
kepada Asar sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
- Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang Asar:
Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat dijamakkan
kepada Zohor sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
ii. Maghrib + Isyak
-Maghrib + Isyak - Niat untuk sembahyang Maghrib:
Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat dijamakkan
kepada Isyak sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
- Maghrib + Isyak - Niat untuk sembahyang Isyak:
Sahaja aku sembahyang fardu Isyak empat rakaat dijamakkan
kepada Maghrib sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
PRAKTIK JAMAK TAQDIM
* Ali dalam perjalanan kedestinasi sejauh 200 km (melebihi
2 marhalah / 90km) dari tempat tinggalnya. Apabila masuk waktu zohor, dia
berhenti dan mahu mengerjakan sembahyang jamak taqdim zohor + Asar:
1. Berwuduk
2. Berdiri mengadap kiblat.
3. Memulakan sembahyang zohor dulu dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat dijamakkan
kepada Zohor sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala."
4. Sembahyang zohor 4 rakaat macam biasa....
5. Salam dan selesai.
6. Berdiri, Iqomah (sunat sahaja),
7. Mula mengerjakan sembahyang Asar dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat dijamakkan
kepada Zohor sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala."
8. Sembahyang Asar empat rakaat macam biasa.
9. Beri salam.... Selesai
Senangnya....
* Ali masih dalam perjalanan lagi.. Pada pukul 7.25, masuk
pula waktu Maghrib... Dia singgah nak kerjakan sembahyang jamak taqdim
Maghrib + Isyak:
1. Berwuduk
2. Berdiri mengadap kiblat.
3. Memulakan sembahyang Maghrib dulu dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat dijamakkan
kepada Isyak sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala."
4. Sembahyang Maghrib 3 rakaat macam biasa....
5. Salam dan selesai.
6. Berdiri, Iqomah (sunat sahaja).
7. Mula mengerjakan sembahyang Isyak dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Isyak empat rakaat dijamakkan
kepada Maghrib sebagai jamak taqdim tunai kerana Allah Taala."
8. Sembahyang Isyak macam biasa..
9. Beri salam.... Selesai
Lagi senang....
PRAKTIK JAMAK TA'KHIR
* Si Ali nak berjalan lagi, nak ziarah kawan pula. Rumah
kawannya sejauh 250 km (lebih dua marhalah/90 km). Kali ini dia memulakan
perjalanan waktu malam. Dalam perjalanan, masuk pulak waktu Maghrib. Ali
niatkan dalam hati (wajib): "aku nak tangguhkan sembahyang Maghrib ni
ke waktu Isyak."
* Dalam perjalanan lagi... Masuk waktu Isyak, dia berhenti
sebentar untuk menunaikan sembahyang jamak ta'khir maghrib + Isyak:
1. Berwuduk
2. Berdiri mengadap kiblat.
3. Nak memulakan sembahyang. Boleh pilih nak buat maghrib
dulu atau Isyak dulu. Ikut suka. Di sini Ali pilih buat Maghrib dulu..
4. Memulakan sembahyang Maghrib dengan takbiratul ihram
serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat dijamakkan
kepada Isyak sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala."
5. Sembahyang Maghrib 3 rakaat macam biasa....
6. Salam dan selesai.
7. Berdiri, Iqomah (sunat sahaja).
8. Mula mengerjakan sembahyang Isyak dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Isyak empat rakaat dijamakkan
kepada Maghrib sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala."
8. Sembahyang Isyak macam biasa..
9. Beri salam.... Selesai
2X senang++....
* Dalam perjalanan pulang pula, masuk waktu zohor. Ali
niat: "Aku tangguhkan sembahyang Zohor ni kewaktu Asar."
* Bila masuk waktu Asar, ali singgah lagi dan mahu mengerjakan
sembahyang jamak ta'khir Zohor + Asar:
1. Berwuduk
2. Berdiri mengadap kiblat.
3. Nak memulakan sembahyang. Boleh pilih nak buat Zohor
dulu atau Asar dulu. Ikut suka. Di sini Ali pilih buat Zohor dulu..
4. Memulakan sembahyang Zohor dengan takbiratul ihram
serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Zohor empat rakaat dijamakkan
kepada Asar sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala."
5. Sembahyang Zohor 4 rakaat macam biasa....
6. Salam dan selesai.
7. Berdiri, Iqomah (sunat sahaja).
8. Mula mengerjakan sembahyang Asar dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat dijamakkan
kepada Zohor sebagai jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala."
8. Sembahyang Asar macam biasa..
9. Beri salam.... Selesai
* Semasa Ali sampai ke destinasi perjalanannya / rumah
kawannya, dia boleh menunaikan sembahyang jamak samada taqdim atau ta'khir
di rumah kawannya tu. Tetapi, seperti qasar juga, hendaklah dia tidak berniat
untuk tinggal di situ selama lebih dari 3 hari. (samalah macam qasar di
atas tadi tu..)
JAMAK QASAR
* Ada lagi sembahyang yang digabungkan antara sembahyang
jamak dan qasar. Iaitu menghimpunkan sembahyang zohor + Asar dan Maghrib
+ Isyak dengan diqasarkan sembahyang yang 4 rakaat.
Niatnya:
i. Sembahyang pada jamak qasar Zohor + Asar - Jamak
taqdim:
- Qasar Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang Zohor:
Sahaja aku sembahyang fardu Zohor dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Asar secara jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
- Qasar Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang Asar:
Sahaja aku sembahyang fardu Asar dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Zohor secara jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
- Qasar Maghrib + Isyak - Niat untuk sembahyang
Isyak:
Sahaja aku sembahyang fardu Isyak dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Maghrib secara jamak taqdim tunai kerana Allah Taala.
* Untuk sembahyang maghrib, niatnya seperti niat jamak
di atas.. Kerana Maghrib tidak boleh di qasarkan. Kan dia 3 rakaat sahaja..
iii. Sembahyang pada jamak qasar Zohor + Asar -
Jamak ta'khir:
- Qasar Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang Zohor:
Sahaja aku sembahyang fardu Zohor dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Asar secara jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
- Qasar Zohor + Asar - Niat untuk sembahyang Asar:
Sahaja aku sembahyang fardu Asar dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Zohor secara jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
- Qasar Maghrib + Isyak - Niat untuk sembahyang
Isyak:
Sahaja aku sembahyang fardu Isyak dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Maghrib secara jamak ta'khir tunai kerana Allah Taala.
PRAKTIK jamak taqdim - Zohor+Asar
Dalam perjalanan.............
1. Berwuduk
2. Berdiri mengadap kiblat.
3. Memulakan sembahyang zohor dulu dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Zohor dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Asar secara jamak taqdim tunai kerana Allah Taala."
4. Sembahyang zohor 2 rakaat....
5. Salam dan selesai.
6. Berdiri, Iqomah (sunat sahaja),
7. Mula mengerjakan sembahyang Asar dengan takbiratul
ihram serta niat:
"Sahaja aku sembahyang fardu Asar dua rakaat qasar
dan dijamakkan kepada Zohor secara jamak taqdim tunai kerana Allah Taala."
8. Sembahyang Asar 2 rakaat...
9. Beri salam.... Selesai
**** intaha****
SOAL 2:
Masalah Qasar & Jamak
Saya berkerja dan menetap di KL. Apabila pulang ke kampung (johor
Bahru)kerana sesuatu perkara ex. menziarahi keluarga/saudara/mara bolehkah
saya menjamak/qasar solat fardhu .Berapa had hari yang dibolehkan.
Sekian terima kasih
-----------------------
din.s@felda.net.my
|
Jawapan
Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Jawapan yang saudara tanyakan ada di jawapan no......?
Lihat musafir, mukim dan mustautin.
***** Tambahan...
Apakah status saudara di KL (kawasan tempat tinggal saudara)
sekarang? Apakah muqim atau mustautin?
Kebalikkannya, apakah status saudara di kampung halaman
saudara di JB?
Begini, kalau saudara telah putus niat nak menjadikan
tempat tinggal saudara di KL sebagai watan saudara.. Nak duduk situ terus..
Nak beranak pinak di situ.. Bermakna status saudara adalah mustautin.Kalau
begini, bila saudara balik kampung nak menziarahi saudara mara, boleh sahaja
buat jamak/qasar sepanjang berada di kg. Ini bergantung kepada niat saudara,
berapa lama nak tinggal di kampung. Hadnya tidak boleh lebih dari 3 hari.
Lebih dari had ini tak boleh. Atau, mula-mula nak tinggal 2 hari sahaja,
tapi dalam perjalanan berubah hati nak duduk lama lagi.. Lebih dari 3 hari.
Macam ni tak boleh buat jamak atau qasar.
Tentang tujuan saudara mahu menziarahi keluarga... Ini
adalah tujuan yang di benarkan oleh syarak. Dengan tujuan ini bolehlah
buat qasar dan jamak. Yang tak boleh, ialah kalau nak balik kampung bertujuan
mahu memaki saudara mara,atau nak tunjuk lagak ke, atau nak mencuri ke....
Tujuan ini tidak dibenarkan oleh syarak.
----------------
Fuuuh.... Panjangnya. Berpeluh juga nak menjawab...
Alhamdulillah *** intahaa**
Okey, datang lagi ke aL-AHKAM online.
Wallahua'lam.
Rujukan:
1. Fathul Wahab - Syeikhul
Islam Zakaria al-Ansori, vol 1
2. Mughnil Muhtaj - Syeikh
Muhamad alKhatib al-Syarbini, vol 1
3. Al-Feqhul Islami Wa adillatuh
- Dr Wahbah al-Zuhaili, vol 2 *
4. Sabilul Muhtadin - Syeikh
Muhamad Arshad al-Banjari vol 2**
5. I'anah al-Thalibin -
Syeikh Muhamad Satha al-Dimyathi vol 1
* Ada terjemahan
** Kitab jawi klasik
=====================
Ke
Muka Hadapan
|