Make your own free website on Tripod.com
[an error occurred while processing this directive]
aL-AHKAMonline

[Kemuka Soalan] [ke laman utama]



Mengapa orang Melayu ikut Syafi'i, makna taqarrub dan Fadhilat Rejab

Nama penuh:     mohd. faizal abdul hamid
E-email:        pejai@hotmail.com
1. apakah hukum sekiranya seorang suami yang dalam keadaan wuduk menyentuh isterinya?
2. apakah pendapat imam hanafi dengan imam syafie berbeza atau sebaliknya?
3. yang manakah seharusnya kita sebagai umat islam turuti?
4. bolehkah ustaz berikan tafsiran ustaz berkaitan perkara ini?
5. hadis dan nas didalam Al Quran manakah yang berkaitan menyokong perkara ini?
6. mengapakah orang melayu mengikut mazhab shafie tidak mazhab lain dan terma manakah yang menyokong perkara ini?
7. apakah maksud taqarrub dari segi bahasa dan segi islam?
8. apakah kelebihan amalan di bulan rejab, dan kitab atau hadis manakah yang berkaitan tentang perkara ini?


Jawab

Soal 1. apakah hukum sekiranya seorang suami yang dalam keadaan wuduk menyentuh isterinya?
Soal 2. apakah pendapat imam hanafi dengan imam syafie berbeza atau sebaliknya?
Soal 4. bolehkah ustaz berikan tafsiran ustaz berkaitan perkara ini?
Soal 5. hadis dan nas didalam Al Quran manakah yang berkaitan menyokong perkara ini?

Jawab:
Telah kami jawab, sila lihat:
E-mail: Batal wudhuk atau tidak menyentuh wanita

Soal 3. Yang manakah seharusnya kita sebagai umat islam turuti?
Jawab:
Ada dua cara, iaitu:
1. Berdasarkan kepada mazhab mana yang kita ikuti.
2. Boleh juga mengikut berdasarkan tarjih perbandingan antara mazhab dengan menguji dalil-dalil setiap mazhab. Mana yang lebih kuat dalilnya, maka itulah yang kita ikut. Dan cara inilah yang paling baik.

Di dalam masalah ini, kami nukilkan tarjih dari Dr. Wahbah al-Zuhaili:
Beliau dalam tarjihnya mengatakan bahawa penolakan ulamak syafi'i mengenai hadis menyentuh kaki dengan mengatakan kemungkinan berlapik adalah sengaja diada-adakan dan bertentangan dengan realiti yang berlaku. Menurutnya lagi, yang paling rajih ialah pendapat yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan ajnabi secara tiba-tiba atau yang tidak dalam keadaan bernafsu adalah tidak membatalkan wudhuk. Manakala jika bernafsu, membatalkan wudhuk.

--------
Perlulah diingatkan, bahawa ini adalah masalah khilafiyah, di mana kita perlu bertolak ansur dengan saudara-saudara kita yang berlainan pendapat agar keharmonian perpaduan Islam dapat dipelihara.

Soal 6. mengapakah orang melayu mengikut mazhab shafie tidak mazhab lain dan terma manakah yang menyokong perkara ini?
Jawab: Kerana mereka yang mengembangkan Islam di alam Melayu adalah dari kalangan mereka yang bermazhab Syafi'i. Sila rujuk buku-buku sejarah kedatangan Islam ke alam Melayu. Seperti di Mesir, sebelum kedatangan imam Syafi'i ke negeri itu kebanyakan rakyatnya bermazhab Maliki dan Hanafi. Namun apabila beliau sampai di Mesir, maka ramailah orang yang belajar dengannya dan mengikut mazhabnya. Kemudian, masa berlalu pemerintah juga silih berganti, namun mazhab Syafi'i tetap utuh dipegang oleh penduduk Mesir, sekalipun pemerintahnya adalah bermazhab Hanafi. Bahkan ada ketikanya pemerintah Mesir adalah bermazhab Syiah Isma'iliyah.

Pada asalnya, mazhab-mazhab fikah di dalam Islam bukan hanya empat tetapi lebih dari itu. Selain dari empat mazhab yang kita kenal sekarang, antaranya ialah mazhab Imam al-Laith, mazhab Daud al-Zahiri, mazhab al-Auza'i dll.

Mazhab-mazhab ini telahpun pupus tidak wujud lagi. Seperti mazhab al-Zahiri yang begitu gemilang dikembangkan di Sepanyol ketika zaman keemasan pemerintahan Islam di sana. Namun, sekarang ini hanya tinggal kitab warisannya sahaja. Antaranya ialah kitab-kitab yang dikarang oleh Ibnu Hazmin seperti al-Muhalla dan al-Ihkam Fi Usulil Ahkam. Dan pendapat-pendapat dari kitab ini (sekalipun mazhabnya sudah pupus), sudah mula dinukilakan kembali oleh para ulamak-ulamak mutakhir. Ia menjadi salah satu dari sumber rujukan terpenting dalam fikah dan usulnya.

Tersebarnya satu-satu mazhab dan pengukuhannya adalah bergantung kepada sejauh mana kejayaan murid-murid pengasasnya dan orang-orang selepasnya mengembangkan dan menyebarkan pengaruhnya.

Mazhab Syafi'i tersebar luas di Asia Tenggara, Mesir dan Yaman. Hanafi di benua India, Turki dan MEsir. Hanbali di Hijaz. Maliki di China.

Memang amat disayangkan sekali dengan kepupusan mazhab-mazhab tadi. Kerana mazhab-mazhab fikah yang ada di dalam Islam merupakan satu kebanggaan Islam itu sendiri. Betapa luasnya ilmu Allah. Betapa hebatnya dan mendalamnya lautan ilmu yang dapat diperolehi dari al-Quran dan al-Sunnah. Kerana perselisihan yang berlaku antara mazhab-mazhab bukanlah sebagaimana perselisihan yang berlaku antara mazhab-mazhab dalam Kristian (Protesten dan Khatolik). Perselisihan dalam Kristian adalah membabitkan soal asas dan dasar ajaran mereka. Tetapi perselisihan mazhab-mazhab di dalam Islam adalah perselisihan soal-soal cabang. Ia malahan menjadi rahmat kepada umat ini dan sebagai kurnia kemudahan dariNya.
 

Soal 7. apakah maksud taqarrub dari segi bahasa dan segi islam?
Jawab: Maknanya mendekatkan diri kepada Allah melalui amal kebajikan.

Soal 8. apakah kelebihan amalan di bulan rejab, dan kitab atau hadis manakah yang berkaitan tentang perkara ini?
Jawab: Al-Qardhawi di dalam fatwanya menyebutkan bahawa tidak terdapat satupun hadis sahih yang menyebutkan tentang kelebihan bulan Rajab. Namun terdapat firman Allah di dalam al-Quran menyebutkan:
"di antaranya empat bulan haram.." (al-Taubah:36)
Empat bulan haram ialah Rajab, Zulqaidah, Zulhijjah dan Muharram.

Dan tidak ada satu hadis sahih yang mengkhususkan keutamaan Rajab, melainkan riwayat hadis hasan r.a. Ketika ditanya mengenai keutamaan Rajab, beliau menjawab: "Sesungguhnya ia adalah bulan yang dilupakan orang..."

Di dalam hadis itu juga Hasan r.a. menyatakan bahawa baginda s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Sya'ban.

--------
Mengenai hadis:
"Rajab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.."

Hadis di atas bertaraf munkar dan terlalu dhaif, malah, ramai ulamak yang menganggapnya sebagai hadis maudhu' (palsu).

Hadis:
"Memberi sesuap makan ke dalam perut orang yang lapar itu lebih baik daripada membangunkan seribu masjid."

Hadis di atas mengandungi kebohongan, kerana mana mungkin pahala memberi sesuap makan lebih besar dari pahala membina seribu masjid. Ini sudah tentu tidak dapat diterima.
(Lihat Fatawa Muashirah, vol. 1, al-Qardhawi)

--------------
Tentang puasa pada bulan rajab pula... Memang berpuasa pada bulan-bulan haram adalah diterima dan disukai. Namun tidak terdapat riwayat bahawa nabi s.a.w. berpuasa selama sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan sahaja.

Dalam puasa sunat, baginda s.a.w. paling banyak berpuasa pada bulan sya'ban tetapi tidak berpuasa sebulan penuh.

Cara yang paling utama ialah memperbanyakkan puasa pada bulan rajab dan sya'ban, tetapi jangan berpuasa sebulan penuh. Kerana ini menyalahi apa yang baginda s.a.w. lakukan.
(ibid.)

Sekian. Wallahu a'lam

[Kemuka Soalan] [ke laman utama]


aL-AHKAM online oleh: