Make your own free website on Tripod.com
[an error occurred while processing this directive]

___________________________________________________________ Soaljawab Fikah 31

Penerbitan.Pengedaran.Konsultan.


(14/6/1998)
Soalan 31
 HUKUM ZAKAT PENDAPATAN


Assalamualaikum Ustaz,

Adakah wajib bagi pegawai kerajaan atau yang bekerja dengan majikan/swasta membayar cukai pendapatan? Pada masa dulu tak pernah timbul pasal zakat pendapatan ini?

Kalau kita dah bayar zakat harta atas wang simpanan yang sudah cukup haul dan nisabnya, perlukah lagi kita membayar zakat pendapatan, atau cuma bayar salah satu daripada zakat tersebut. Kalau kita kena bayar
kedua-dua zakat harta dan zakat pendapatan bermakna kita bayar 2 kali zakat atas wang yang sama.

Kalau wajib zakat pendapatan, berapakah nisabnya? Kalau hendak diqiaskan kepada petani, nisbahnya samada 5% atau 10%, bukannya 2 dan1/2 % seperti yang diamalkan oleh Pusat Pungutan Zakat sekarang.
Saya harap Ustaz dapat menghuraikan perkara ini supaya tidak mengelirukan umat Islam. Terima kasih.
------------------ 
pegaga@yahoo.com

Jawapan

(1)
1. Firman Allah Taala:
Segala sesuatu yang kamu tunaikan dari zakat dengan mengharapkan keredhaan Allah, orang-orang yang demikian itulah yang akan dilipat gandakan hartanya. (Al-Rum:39)

2. FirmanNya lagi:
Tunaikanlah zakat (Al-Baqarah:43)

3. Rasullullah s.a.w. pernah bersabda bahawa rukun Islam itu didirikan atas lima perkara, antaranya baginda menyebut menunaikan zakat.

4. Dari Salim bin Amir, katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkhutbah pada haji wida’, sabdanya:
Bertakwalah kepada Allah, bersembahyanglah lima waktu, berpuasalah di blan Ramadhan, tunaikanlah zakat harta kamu….al-hadis (Riwayat al-Tarmizi)

5. Ijmak – Umat ini telah sepakat mengatakan bahawa zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang lima.

********
Definasi zakat, menurut bahasa ialah suci dan subur / tumbuh dan berkat.
Menurut syarak, ialah nama dari sejumlah harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Ia diberi nama zakat kerana harta itu akan bertambah (subur) disebabkan keberkatan zakat yang dikeluarkan serta doa dari penerimanya.

Zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang lima. Hukumnya fardu ain atas setiap yang memenuhi persyaratannya. Zakat diwajibkan pada tahun kedua Hijrah. Kewajipannya adalah ma’lum minaddin biddarurah (dapat diketahui tanpa perlu diteliti secara mendalam/sepontan).

**********
Di atas adalah dalil, definasi dan hukum zakat. Mengenai hukum zakat para ulamak sememang telah sepakat mengatakan ia adalah wajib. Hanya, mengenai perkara-perkara yang wajib dikeluarkan zakat, ada yang mereka sepakati dan ada yang mereka perselisihkan.

Zakat terbahagi kepada dua bahagian:
1. Zakat yang berkaitan dengan badan – zakat fitrah
2. Zakat yang berkaitan dengan harta, iaitu seperti di bawah ini:

Menurut para ulamak dari empat mazhab, terdapat lima perkara yang wajib dizakati, iaitu:
1. Binatang ternak
2. Emas dan perak (termasuk wang ringgit)
3. Tanaman dan buah-buahan
4. Barang perniagaan

Setiap satu dari lima perkara di atas mempunyai perincian dan syarat-syaratnya.

Menurut Syeikh Abdul Rahman al-Jaziri:
Laa zakaata fima ada hazihil anuwa’ al-khamsah (tiada zakat pada selain dari lima perkara di atas).
(Al-Feqh Alal Mazahibil Arba’ah, vol 1, hal. 592)

************
Jika zakat itu tiada pada selain dari lima perkara di atas, di mana letaknya zakat gaji yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini? Apakah ia hanya rekaan ulamak hari ini semata-mata? Mengapa dahulu tidak timbul perkara zakat gaji? Apa dalil-dalilnya dari al-Quran, sunnah dan rasional? Inilah mungkin di antara soalan-soalan yang sering bermain dipemikiran umat Islam (orang awam) mengenai zakat gaji/pendapatan.

Bahkan, bukan sahaja orang awam, sebahagian para ulamak sendiri ketika zakat pendapatan mula diperkatakan, mereka dengan tegas menentangnya. Alasannya, mana ada dalam kitab-kitab fikah klasik yang mengatakan bahawa pendapatan kita itu wajib dizakatkan. Sehingga sekarang ini, mungkin masih ada lagi di kalangan para ulamak dan ustaz yang tidak menerima kewajipan zakat pendapatan. Jika dulu ramai dari kalangan mereka yang menentang idea ini, tetapi sedikit demi sedikit mereka akhirnya dapat menerima juga. Ini setelah disuakan dengan penjelasan terhadap dalil-dalil, konsep dan fungsi zakat di dalam Islam.

(2)
Al-Quran dan al-Sunnah telah menetapkan perkara-perkara yang wajib dikeluarkan zakat. Tidak terdapat nash yang khusus mengenai kewajipan selain dari perkara tersebut (lima perkara di atas), kecuali firman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. (al-Baqarah:267)

Para imam dari tiga mazhab (Syafi’I, Maliki & Hanbali) mengatakan bahawa tidak wajib zakat pada selain yang telah ditetapkan (lima perkara) secara khusus melalui al-Quran dan al-Sunnah. Mereka menafsirkan ayat al-Quran (nafkahkanlah) di atas sebagai nafkah umum yang termasuk di bawah sedekah sunat. Perintah dari Allah (agar mengeluarkan nafkah dari hasil usaha) adalah untuk irsyad (petunjuk/panduan) dan sesuatu yang digemari, atau merupakan satu usaha yang baik. … (Ahsanul Kalam, Athiyah Saqar, vol. 4, hal. 438)

Manakala Imam Abu Hanifah menafsirkan ayat di atas menurut zahir keumuman ayat. Beliau mengatakan wajib zakat pada setiap apa yang tumbuh di bumi sehingga hijau tanpa mengaitkan dengan jenis tanaman yang di sebutkan di dalam hadis. Begitu juga, beliau mewajibkan zakat pada setiap apa yang diusahakan oleh manusia daripada pekerjaan-pekerjaan yang halal. (Ibid)

Oleh itu (menurut imam Abu Hanifah), wajib zakat pada pemilikkan yang memberi pulangan samada bangunan, kereta, gaji dan sewa. (ibid)

**********

Menurut Dr Yusof al-Qardhawi di dalam Fiqhuz Zakah, bahawa pekerjaan itu adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan (bekerja sendiri) seperti doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan bekerja di bawah satu-satu jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya. Bekerja di sini, akan diberi gaji bulanan secara tetap. Dan, pendapatan masuk (income) yang diperolehi dari dua pekerjaan di atas, di dalam fikah bertepatan dengan sifat-sifat `malul mustafad’.

Apa yang ditetapkan oleh para fuqahak dari empat mazhab, bahawa malul mustafad tidak wajib dizakatkan melainkan setelah sampai nisab dan sempurna haul.

Namun di sana terdapat beberapa pendapat ulamak yang mengatakan zakat dari malul mustafad tidak perlu menunggu sampai/sempurna haul. Ia wajib dikeluarkan zakat sebaik sahaja menerimanya. Ini adalah pendapat dari:
1. Beberapa orang sahabat – Ibnu Abbas, Ibnu Masud dan Mu’awiyah,
2. Tabi’in –  Al-Zuhri, al-Hasan al-Basri dan Makhul
3. Umar Abdul Aziz, al-Baqir, al-Sadiq, al-Nasir dan Daud al-Zahiri.
4. Beberapa ulamak mutakhirin – Syeikh Muhamad al-Ghazali, Syeikh Muhamad Abu Zahrah, Syeikh Abdul Wahab Khalaf dll.

Dengan pendapat tidak perlu menunggu haul, dapatlah disamakan dengan para petani yang wajib mengeluarkan zakat sebaik sahaja menuai tanaman.

Dr Yusof al-Qardhawi telah membahaskan perkara ini secara ilmiah dengan panjang lebar.

**************
Saya amat tertarik dengan hujah rasional yang dikemukakan oleh ketua Muhamadiyah Dr  M Amin Rais (tokoh gerakan reformasi yang menjatuhkan Suharto) . Beliau cuba mempersoalkan kembali 2.5% yang dikenakan terhadap zakat pendapat. Apakah wajar?, kata-katanya saya kutip secara bebas:

“Ketika persen zakat harta kekayaan (zakat al-mal) dirumuskan oleh para ulamak sebanyak 2.5% berdasarkan beberapa hadis, jelas sekali belum muncul pelbagai profesion modern seperti yang ada sekarang ini. AL-Quran berpuluh kali menganjurkan kaum muslimin agar membayar zakat di samping menegakkan salat, tetapi persen zakat itu samasekali tidak disinggung oleh al-Quran. Memang betu, bahawa salah satu fungsi hadis adalah menerangkan ayat-ayat yang masih bersifat global (mujmal), sehingga hadis-hadis tentang zakat dapat membantu kita memahami perintah zakat secara lebih terperinci. Tetapi saya cenderung berpendapat bahawa persen zakat yang 2.5% itu lebih merupakan hukum yang berdasarkan ijtihad para ulamak (ijtihadi).

Pada masa Nabi s.a.w. dan masa para ulamak menentukan persen zakat secara terperinci, jenis-jenis profesion masyarakat pada waktu itu masih sangat terbatas. Jadi berbeza dengan zaman modern sekarang, di mana pelbagai profesion bermunculan sesuai dengan perkembangan kehidupan modern manusia, yang kiranya tidak pernah terbayangkan oleh para ulamak dahulu. Profesion yang dapat mendatangkan rezeki secara mudah dan melimpah dewasa ini jumlahnya sangat banyak, seperti misalnya komisaris perusahaan, bankir, konsultan, eksportir, importir, akaunan, notaris, artis, dan pelbagai penjual jasa serta macam-macam profesion jabatan (kolar putih) lainnya.

Yang saya persoalkan adalah zakat profesion yang mendatangkan rezeki dengan mudah dan cukup melimpah, setidak-tidaknya dibandingkan dengan penghasilan rata-rata penduduk. Jadi, gugatan saya agar persen zakat yang 2.5% itu ditinjau lagi dan kalau perlu ditingkatkan – katakanlah sampai 10% (usyur) atau 20% (khums) – bukan saya tujukan untuk semua penghasilan darisetiap profesion, melainkan khusus profesion yang mudah mendatangkan rezeki.” (lihat Cakrawala Islam Dr M. Amin Rais, hal. 58, 59)

Dr  M Amin Rais bukan setakat mengatakan bahawa pendapatan itu wajib dizakatkan, malahan beliau mempersoalkan kewajaran tentang persen yang wajib dikeluarkan 2.5%. Katanya, terlalu sedikit jika dibandingkan dengan persen yang dikenakan ke atas petani - 5% jika diairi dengan hujan (secara alami) dan 10% jika diairi dengan usaha sendiri. Katanya lagi, bandingkan dengan seorang petani dengan seorang profesional.. Petani dengan sawahnya lebih berat pekerjaannya, setidak-tidaknya secara fizikal. Kemudian mereka ini perlu langsung membayar zakat setelah selesai menuai, tanpa menunggu haul setahun. (lihat hal. 60,70)

Jadi, mengapa zakat mal mesti menunggu haul (setahun)? Ternyata tiga buah hadis mengenai haul adalah lemah(dhaif) semuanya, berdasarkan keterangan ahli hadis. Barangkali kita perlu juga meninjau juga soal haul ini. Bila petani yang bekerja keras wajib membayar 5% atau 10%, langsung dibayar pada waktu menuai, cukupkah zakat 2.5% bagai profesion modern yang begitu mudah memperoleh wang? (ibid)

**********
Oleh itu secara syarak dan rasional, dapatlah kita simpulkan bahawa setiap penghasilan, pendapatan maupun gaji wajiblah dikeluarkan zakat. Ditambah pula apabila kita melihat kepada roh, hikmah dan tujuan zakat itu disyariatkan, iaitu membersihkan serta menyuburkan harta, sebagai penyelesai masalah kemiskinan, tanda kesyukuran ke atas nikmat Allah dsbnya.

Mengenai soalan,
Soal: Adakah wajib bagi pegawai kerajaan atau yang bekerja dengan majikan/ swasta membayar zakat pendapatan?

Jawab: Berdasarkan penjelasan di atas, dengan dalil syarak dan rasional, setiap penghasilan yang diterima oleh seseorang wajib dizakatkan. Samada penghasilan itu berbentuk upah, gaji, sewa, royalti dsbnya.

Soal: Pada masa dulu tak pernah timbul pasal zakat pendapatan ini?

Jawab: Memang, para ulamak silam tidak menimbulkan persoalan harta penghasilan ini (pendapatan) kerana situasi ketika itu. Soal penghasilan dari pendapatan dan gaji adalah masalah baru. Perolehan orang-orang dahulu, ketika kitab-kitab fikah rancak ditulis, adalah amat jauh berbeza dengan yang berlaku sekarang ini. Kalau dahulu soal makan gaji dan pendapatan profesional tidaklah sebagaimana sekarang ini yang dapat mendatang rezeki dengan begitu mudah serta melimpah ruah. Kalau dahulu pendapatan yang nampak menonjol membawa pulangan lumayan ialah perniagaan dan pertanian. Tetapi sekarang ini keadaan sudah jauh berbeza.

Yang jelas ialah, sumber pendapatan dari bidang profesional atau makan gaji sekarang ini amat jauh bezanya dengan yang berlaku pada zaman dahulu. Oleh kerana ia berbeza maka, ia dianggap sebagai masalah baru dalam fikah. Dan bila begitu, para ulamak semasa hendaklah berusaha dengan membuat kajian, perbincangan dan berijtihad dalam menangani permasalah berkenaan. Dan… Ternyata para ulamak kita sekarang ini, telahpun melakukan itu semua. Hasilnya.. Mereka merumuskan, pendapatan/gaji itu wajib dizakatkan.

Soal: Kalau kita dah bayar zakat harta atas wang simpanan yang sudah cukup haul dan nisabnya, perlukah lagi kita membayar zakat pendapatan, atau cuma bayar salah satu daripada zakat tersebut. Kalau kita kena bayar kedua-dua zakat harta dan zakat pendapatan bermakna kita bayar 2 kali zakat atas wang yang sama.

Jawab: Mengenai zakat simpanan, ia adalah satu bentuk lain dari zakat pendapatan. Cara mengiranya ialah:
2.5% atas baki terendah sesuatu tahun semua jenis simpanan, kalau baki terendah tersebut bersamaan atau lebih dari nisab.
Contoh : Kalau jumlah simpanan terendah dalam sesuatu tahun ialah RM20,000, maka zakat ialah RM500 setahun

Soal: Kalau wajib zakat pendapatan, berapakah nisabnya? Kalau hendak diqiaskan kepada petani, nisbahnya samada 5% atau 10%, bukannya 2 dan1/2 % seperti yang diamalkan oleh Pusat Pungutan Zakat sekarang.

Jawab: Para ulamak semasa (mutakhir) kebanyakkannya mengatakan bahawa pendapatan/gaji itu wajib dizakatkan. Itu sudah jelas. Cuma mereka berselisih mengenai, apakah perlu menunggu haul (masa setahun) dan cukup nisab ataupun tidak?

Mengenai nisab, ada ulamak yang mengqiyaskannya dengan zakat pertanian, maka ia perlu dikeluarkan sebanyak 5% atau 10%. Ada juga yang menyesuaikannya dengan zakat perniagaan, maka ia perlu dikeluarkan sebanyak 2.5%.

Dan kita di Malaysia perlulah mengikut apa yang telah digariskan oleh pihak PPZ, samada mengenai haul dan nisab. Manakala mereka di Indonesia, Brunei dan Singapura hendaklah mengikut ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama tempatan masing-masing. Malahan di Indonesia, perkara ini amat mendapat perhatian yang besar oleh para ulamak dan cendikiawan Islam di sana.

Jika di Malaysia PPZ menetapkan cara pengiraan zakat adalah sebagai berikut <lihat: http://www.hijau.com.my/ppz/kiraan.htm>:

2 cara untuk mengira zakat pendapatan :
Cara 1 : (Membayar setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan) Contoh :
Jika pendapatan setahun RM24,000 dan perbelanjaan-perbelanjaan asasi dan wajib setahun
ialah RM14,000 maka, zakat adalah 2.5% atas RM10,000 = RM250 setahun.

Cara 2 : (Membayar 2.5% atas pendapatan kasar setahun) Contoh :
Jika pendapatan kasar setahun ialah RM100,000 maka zakat ialah 2.5% x RM100,000 =
RM2,500 setahun.

Sekian adanya.. Wallhu a'lam.

Rujukan
1. Al-Feqh Alal Mazahib al-Arba’ah – Syeikh Abdul rahman al-Jaziri
2. Kifayatul Akhyar – Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhamad al-Husaini
3. Feqhuz Zakah - Dr Yusof al-Qardhawi
4. Cakrawala Islam: Antara Cita dan Fakta - Dr M. Amin Rais



aL-AHKAM online percuma oleh:Penerbitan.Pengedaran.Konsultan