|
Jawapan Oleh: zainys
Iddah kerana kematian suami Saya ada beberapa soalan di bawah yang memerlukan penjelasan. harap dapat dimaklumkan dan disertakan dalil-dalilnya. 1. Apakah perkara perkara yg dilarang dilakukan oleh seorang wanita yg masih dlm edah (4bulan 10 hari) kematian suami? 2. Jika dilakukan perkara yg dilarang semasa edah, apakah kesannya kepada roh suami? 3. Bolehkah wanita yg di dalam edah meninggalkan rumahnya untuk tujuan seperti bekerja, ziarah ibu, dsb...? 4. Apakah perkara perkara yg sebaik baiknya dilakukan oleh wanita yg masih dalam edah kematian suami? wassalam.
|
Mengenai masalah iddah kerana kematian suami telah dijelaskan pada paparan Ayat Hukum (Julai 98). Sila semak kembali: http://members.xoom/ahkam_ol/ayat.htm
Namun, saya akan jelaskan di sini menggunakan cara yang digunakan di dalam kitab-kitab fikah. Semoga dengan kepelbagaian sudut pandang terhadap satu-satu tajuk dapat memberi banyak manfaat kepada saudara/ri yang bertanya dan pengunjung AL-AHKAM online umumnya.
Berikut ini adalah penjelasan mengenai masalah iddah yang memberi penekanan terhadap iddah wanita yang kematian suami.
Definasi iddah
Menurut bahasa, iddah bermakna
bilangan.
Menurut syarak bermaksud
masa menunggu bagi wanita yang tercerai untuk diketahui bahawa rahimnya
bebas dari kandungan atau untuk ta'abbud atau untuk berkabung atas
kematian suami.
Ta'abbud ialah: Suatu perkara yang tidak boleh difikirkan secara logik mengenai maknanya, samada ia berbentuk ibadat atau tidak.
Hukum iddah
Iddah adalah wajib ke atas
perempuan, dan dalil yang mendasari hukum ini ialah:
i. Firman Allah Taala mengenai
iddah wanita yang kematian suami:
Orang-orang yang meninggal
dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri
itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian
apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan
mereka berbuat pada diri mereka menurut makruf. Allah Mengetahui apa yang
kamu berbuat. (Surah al-Baqarah: 234)
ii. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tinggallah engkau di
rumahmu sehingga habis masa iddahmu, maka beriddahlah engkau di sana selama
empat bulan sepuluh hari." (HR Abu Daud & Tirmizi)
Dengan ini maka tidak ada iddah bagi lelaki. Mereka dibenarkan berkahwin dengan perempuan lain sejurus selepas perceraian berlaku.
Hikmat disyariatkan
iddah
Pada asalnya iddah disyariatkan
adalah untuk memelihara agar tidak berlaku percampuran keturunan. Hikmat
lain yang tidak boleh dipinggirkan ialah untuk taabbud, berkabung atas
kematian suami, memberi peluang untuk suami selepas talak agar dapat rujuk
kembali kepada bekas isterinya. Dan pada talak ba'in, iddah yang diwajibkan
adalah untuk memastikan rahim perempuan bebas dari kandungan sebagai langkah
untuk mencegah bercampurnya nasab. Tujuannya adalah untuk memelihara nasab.
Sebab-sebab wajib iddah
Secara umumnya, iddah diwajibkan
dengan dua perkara, iaitu talak dan kematian. Manakala fasakh pula adalah
seperti talak. Dan talak atau kematian tersebut hendaklah berlaku selepas
terjadinya persetubuhan antara pasangan suami isteri, samada melalui perkahwinan
yang sah, fasid atau syubhat. Begitu juga setelah suami memasukkan zakar
tambahan , zakar yang kebas atau memasukkan mani ke dalam faraj.
Dengan ini iddah diwajibkan
dengan salah satu dari perkara-perkara di bawah ini, iaitu:
1. Perceraian yang berlaku
selepas terjadi perhubungan seks antara suami dan isteri samada dari pernikahan
yang sah atau fasid. Dan samada perceraian itu berlaku dengan sebab talak
atau fasakh, atau kematian.
2. Perceraian yang berlaku disebabkan oleh persetubuhan syubhat. Contohnya ialah seperti seorang suami yang menyangka perempuan yang sedang tidur di biliknya adalah isterinya. Kemudian dia menyetubuhi perempuan itu. Setelah itu barulah disedari bahawa perempuan iu bukanlah isterinya. Jika perempuan itu mempunyai suami, maka suaminya tidak boleh mengadakan hubungan seks dengannya selagi tempoh iddah belum tamat. Ini adalah untuk memastikan bahawa rahimnya benar-benar telah bebas dari kandungan.
Dua perkara di atas tidak berbeza iddahnya, samada perceraian tersebut dengan talak atau fasakh. Begitu juga tiada bezanya, samada dengan persetubuhan yang dihalalkan atau yang diharamkan seperti persetubuhan semasa isteri sedang haidh. Dan samada ia dilakukan pada faraj atau pada dubur isteri.
Bagi orang yang berzina pula, tidak wajib iddah kerana iddah adalah untuk memelihara nasab dan anak zina tidak dinasabkan kepada lelaki yang berzina.
3. Selepas kematian suami pada akad nikah yang sah, sekalipun isteri belum dicampuri oleh suami dan masih kanak-kanak.
Kadar iddah iddah kematian
suami
Iddah isteri yang tidak
dalam keadaan hamil ketika kematian suaminya ialah empat bulan sepuluh
hari menurut kiraan bulan Qamariah . Dan jika selepas kematian itu isteri
sedang hamil, maka iddahnya ialah dengan iddah kehamilan.
Tempoh empat bulan sepuluh hari ini dikira dari tarikh kematian suaminya, firman Allah Taala:
Dan disyaratkan pada iddah kematian ini ialah pernikahan yang sah, dan ianya berkekalan sehingga pada saat kematian. Samada isterinya itu telah dicampuri ataupun belum.
Iddah perempuan yang
kehilangan suami
Kehilangan suami ialah ghaib
yang tidak diketahui samada masih hidup ataupun telah mati. Contohnya seorang
suami yang pergi ke suatu tempat seperti pergi ke masjid untuk menunaikan
solat, kemudian dia tidak pulang ke rumah, atau hilang semasa peperangan,
atau hilang semasa belayar dengan kapal laut.
Suaminya ini tidak boleh dihukumkan sebagai telah mati dalam pembahagian harta pusaka, dan begitu juga dalam masalah perkahwinan. Dengan ini perempuan berkenaan tidak boleh beriddah sehingga telah benar-benar diyakini bahawa suaminya telah mati atau telah menjatuhkan talak.
Perpindahan kepada
iddah kematian
Jika seorang perempuan yang
sedang menjalani tempoh iddah dengan sebab talak ruj'i, tiba-tiba kematian
suami, maka wajiblah berpindah kepada iddah kematian iaitu empat bulan
sepuluh hari.
Manakala jika dia sedang beriddah dengan sebab talak ba'in pula, dia wajib meneruskan iddah asalnya, iaitu tidak berpindah kepada iddah kematian.
Hukum-hakam yang bersangkutan
dengan iddah
Terdapat beberapa hukum
yang berhubungkait dengan perempuan yang sedang iddah yang perlu dipatuhi,
iaitu:
i. Haram dipinang
Seorang lelaki asing tidak
dibenarkan meminang secara terus-terang terhadap perempuan yang sedang
menjalani tempoh iddah, samada iddah dengan sebab tertalak atau kematian
suami.
Mengenai peminangan secara sindiran pula, tidak dibenarkan kepada perempuan yang sedang beriddah sebab tertalak, tetapi dibenarkan kepada perempuan yang beriddah sebab kematian suami.
ii. Haram berkahwin.
Tidak boleh bagi seorang
lelaki asing mengahwini perempuan yang sedang menjalani tempoh iddah. Jika
dilakukankan juga, maka nikahnya adalah batil. Wajib dipisahkan antara
pasangan ini. Namun bagi yang empunya iddah (bekas suami) boleh mengahwininya.
iii. Haram keluar dari
rumah
Bagi perempuan yang sedang
menjalani sebarang bentuk iddah diharamkan keluar dari tempatnnya menjalankan
iddah kecuali jika ada keuzuran.
Bagi perempuan yang tertalak dengan talak ba'in atau kematian suami, boleh keluar pada waktu siang untuk membeli makanan, sayuran atau lain-lain barang keperluan. Dan untuk perkara ini tidak dibenarkan keluar pada waktu malam. Walaubagaimanapun dia dibenarkan keluar pada waktu malam ke rumah jirannya dengan tujuan yang dibenarkan seperti mahu menjahit pakaian, bercakap sesuatu perkara yang penting atau sebagainya. Hal ini disyaratkan tidak ada lelaki di tempat tersebut yang dapat berbual-bual atau beramah mesra dengannya. Dan selepas selesai urusan di tempat itu, dia dikehendakki pulang dan bermalam di rumahnya sendiri.
Perempuan yang sedang dalam tempoh iddah raj'i pula, tidak dibenarkan keluar rumah kecuali telah mendapat keizinan dari bekas suaminya atau tanpa keizinannya tetapi dalam keadaan darurat. Kerana bekas suaminya itu masih berkewajipan menanggung seluruh nafkahnya. Seperti juga hukumnya dengan perempuan yang tertalak dengan talak ba'in yang sedang hamil.
Perempuan yang sedang iddah kerana kematian suami dibenarkan berpindah rumah sekiranya dia khuatir akan kebinasaan diri, anak atau hartanya.
iv. Kewajipan tempat tinggal
dan nafkah
Nafkah dan tempat tinggal
adalah hak perempuan yang wajib diberikan oleh suami.
Mengenai tempat tinggal, iaitu tempat tinggal di mana di mana terjadinya perceraian, samada dengan talak atau kematian.
Suami tidak dibenarkan tinggal serumah dengan bekas isterinya itu atau memasukki tempat di mana bekas isterinya itu berada tanpa membawa bersama mahram. Larangan ini adalah untuk mengelakkan terjadinya khalwat yang sememangnya diharamkan terhadap pasangan ini. Manakala bekas isteri pula wajib menahan atau melarang suami dari melakukan perkara tersebut jika berkemampuan.
Mengenai kewajipan nafkah pula, perinciannya adalah sebagai berikut:
a) Jika perempuan yang beriddah dari talak raj'i, maka wajib bagi suami memberi isteri nafkah, iaitu makanan, tempat tinggal dan pakaian. Kerana isteri yang tertalak dengan talak raj'i masih dianggap sebagai isterinya lagi selama tempoh iddah belum berakhir.
b) Jika beriddah dari talak ba'in, perlu dilihat; jika dia sedang hamil maka wajib memberi nafkah seperti di atas iaitu makanan, tempat tinggal dan pakaian. Jika tidak dalam keadaan hamil, maka hanya diwajibkan menyediakan tempat tinggal sahaja. Dan tidak diwajibkan nafkah makanan dan pakaian.
c) Jika iddah kerana kewafatan suami, tidak wajib diberi nafkah kerana perkahwinan mereka telah berakhir dengan kematian.
d) Jika iddah dari perkahwinan yang fasid atau syubhat, maka tidak wajib diberikan nafkah.
v. Berkabung
Berkabung menurut bahasa
ialah menegah dari berhias. Dan menurut syarak pula ialah meninggakan perhiasan,
celak dan minyak wangi. Dan tidak mengapa jika menghias tempat tidur atau
perkakas rumah. Begitu juga dibolehkan duduk di atas sutera.
Diharuskan seorang perempuan
berkabung di atas kematian saudara maranya seperti bapa, ibu dan adik selama
tiga hari sahaja. Dan haram melebihi tempoh ini. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Ertinya: Tidak halal bagi
seorang perempuan muslimah yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung
melebihi tiga hari kecuali berkabung untuk suaminya, iaitu empat bulan
sepuluh hari. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan suami pula berhak melarang isterinya dari berkabung atas kematian saudara-maranya kerana berhias adalah hak suami.
Berkabung adalah diwajibkan kepada perempuan yang kematian suami. Tempohnya ialah empat bulan sepuluh hari. Manakala perempuan yang tertalak dengan talak raj'i pula tidak diwajibkan berkabung. Dia boleh berhias untuk bekas suaminya itu, agar membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula. Tetapi jika dengan berhias tidak boleh diharapkan lagi untuk suami merujuk semula, maka sunat hukumnya berkabung.
Bagi perempuan yang tertalak dengan talak ba'in pula, hanya disunatkan berkabung, agar berhiasnya itu tidak membawa kepada suatu kerosakan.
Berkabung dengan meninggalkan
perhiasan iaitu meninggalkan perkara-perkara di bawah ini:
1. Memakai perhiasan emas,
perak dan sutera. Termasuk di dalam maksud perhiasan di sini ialah mutiara,
intan, permata dan lain-lain.
2. Memakai harum-haruman.
3. Memakai minyak rambut
atau minyak untuk seluruh badan.
4. Memakai celak.
5. Memakai inai.
6. Pakaian yang berwarna
sebagai perhiasan.
Dalam enam perkara di atas, dikecualikan memasuki bilik air sendiri untuk mencuci rambut dengan sabun atau seumpamanya. Begitu juga dengan memotong kuku dan mencabut bulu ketiak atau ari-ari.
------------
Kembali kepada soalan:
Soal 1: Apakah
perkara perkara yg dilarang dilakukan oleh seorang wanita yg masih dlm
edah (4 bulan 10 hari) kematian suami?
Jawab: Yang dilarang
ialah: 1. Berkahwin 2. Keluar rumah 3. Berhias (Tidak berkabung)
Soal 2: Jika
dilakukan perkara yg dilarang semasa edah, apakah kesannya kepada roh suami?
Jawab: Jika isteri
melakukan perkara yang dilarang semasa iddah, roh suami tidak menerima
kesan apa-apa. Si isteri yang melakukan larangan syarak, maka dia sendirilah
yang akan menanggung dosanya. Orang lain tidak terbabit dengan penanggungan
dosa berkenaan.
Ini bermakna, si suami di dalam kubur akan mendapat nikmat kubur jika dia seorang yang mukmin soleh, sekalipun si isteri melakukan larangan semasa iddah. Dan, sebaliknya si suami akan mendapat siksa kubur jika dia gagal menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Munkar dan Nakir. Siksaan ini bukanlah disebabkan oleh dosa yang dilakukan oleh si isterinya di dunia kerana melakukan perkara yang dilarang ketika iddah, tetapi kerana dosa yang dia sendiri lakukan ketika hidup di dunia.
Namun si suami akan menanggung
dosa jika dia semasa di dunia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang
suami terhadap ilmu-ilmu fardu ain isterinya. Pengabaiannya ini menyebabkan
si isteri tidak kenal dosa dan pahala, halal dan haram. Suami menanggung
dosa ini adalah kerana pengabaian tanggungjawabnya, bukan kerana maksiat
yang dilakukan oleh isteri. Perlu diingatkan bahawa di dalam Islam tidak
ada konsep menanggung dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.
Jika kawan serumah anda meminum arak, maka dia sendirilah yang menanggung
dosanya. Anda tidak akan dibebankan sama dengan dosa kawan anda itu. Tetapi,
anda akan dikira berdosa seandainya anda tidak menasihatinya. Dosa ini
adalah dosa pengabaian tangunggjawab terhadap amar makruf nahi munkar,
bukan dosa meminum arak oleh kawan anda.
Soal 3: Bolehkah
wanita yg di dalam edah meninggalkan rumahnya untuk tujuan seperti bekerja,
ziarah ibu, dsb...?
Jawab: Sila lihat
di sini… Dan sudah menjadi kelaziman wanita hari ini keluar bekerja. Ia
sudah menjadi perkara yang perlu dengan keadaan ekonomi yang semakin mencengkam.
Dahulu si isteri terpaksa membantu suami memperbaikki keadaan ekonomi keluarga.
Kerana jika tidak, anak-anak tidak bersekolah, bil itu dan ini yang menjadi
keperluan asasi tidak dapat dilunasi. Pekerjaan zaman ini bukanlah boleh
keluar masuk sesuka hati. Kalau terniat mahu pergi kerja, kitapun pergi.
Kalau terasa malas, maka kitapun ponteng. Terlintas nak cuti, cutilah kita.
Pekerjaan sekarang ada peraturannya yang ketat. Ada tatacara yang membelenggu.
Kalau seorang guru wanita itu kematian suami, mungkin dia akan diberi cuti
beberapa hari. Dan apakah dia boleh meneruskan cutinya untuk duduk di rumah
selama 4 bulan 10 hari? Sudah tentu tidak boleh. Oleh itu wajarlah guru
wanita ini keluar rumah untuk pergi bekerja, tetapi dengan syarat dia menjaga
ketat peraturan-peraturan lain semasa menjalani iddah.
Menurut Dr Yusof al-Qardhawi:
"Namun bukanlah bererti
dia (perempuan yg sedang iddah kematian suami) tidak boleh keluar rumah
langsung. Jika ada keperluan, dia dibenarkan keluar rumah. Keperluan tersebut
seperti berubat atau membeli keperluan yang tidak ada orang lain yang membelikannya,
atau pergi ke tempat kerja sesuai dengan profesionnya seperti guru, doktor,
jururawat, atau sebagainya.."
Lain-lain perkara, keluar rumah dengan tidak ada keuzuran adalah haram samasekali.
Soal 4: Apakah perkara
perkara yg sebaik baiknya dilakukan oleh wanita yg masih dalam edah kematian
suami?
Jawab: Perkara terbaik (yang
paling minimum) yang perlu dilakukan oleh wanita yang sedang beriddah ialah
meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak ketika iddah.
Wallahu a’lam
------------------
Rujukan
Mughni al-Muhtaj – al-Khatib
al-Syarbini
Fathul Wahhab – Syeikh Zakaria
al-Ansari
Al-Iqna’ – Al-Khatib al-Syarbini
Fatawa Mu'ashirah vol. 1
- Dr Yusof al-Qardhawi