SEBAB LAPORAN DNA TIDAK BOLEH DI BUAT

Berita Harian Rabu 30 Disember 1998 11 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh digunakan untuk ujian DNA kerana ia diambil dan disediakan bagi ujian HIV, Hepatitis B dan VD (penyakit kelamin).

Dr Zahari Noor berkata, oleh kerana itu beliau menolak permintaan polis sebanyak dua kali supaya contoh darah itu digunakan untuk ujian DNA. Menurutnya, ketika di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 28 September lalu bagi mengambil darah Anwar, beliau ditanya oleh Asisten Mohd Rodwan Mohd Yusof sama ada ujian DNA boleh dilakukan terhadap Anwar. Katanya, beliau menasihatkan polis supaya tidak mengambil darah Anwar untuk ujian DNA kerana Anwar hanya memberi persetujuan supaya darahnya digunakan bagi ujian HIV, Hepatitis B dan VD.

"Pada 15 Oktober lalu, Mohd Rodwan dan SAC I (Senior Asisten Komisioner) Musa Hassan datang ke HKL dan bertanya sama ada mereka boleh mengambil contoh darah Anwar untuk analisis DNA," katanya.

Dr Zahari: Kami memberikan empat sebab kepada polis mengapa ujian DNA tidak boleh dilakukan terhadap darah Anwar:

* contoh itu tidak disediakan untuk analisis DNA,

* ia tidak sesuai untuk ujian DNA,

* pendapat kami ialah keputusan ujian DNA itu tidak boleh dipercayai.

* ia boleh membawa keputusan yang mengelirukan kerana kami menyimpan contoh darah itu di dalam bekas biasa tanpa pengawet atau EDTA.

Katanya, mereka kemudian mencadangkan kepada polis bahawa mereka bersedia pada bila-bila masa untuk mengambil contoh darah Anwar di penjara Sungai Buloh untuk ujian DNA jika tertuduh membenarkannya. Saksi pendakwa ke-20 itu memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail pada perbicaraan yang memasuki hari ke-35 itu.

Sebelum itu, Dr Zahari berkata, beliau mengambil contoh darah bekas setiausaha sulit Anwar, Mohamad Azmin Ali dan isterinya, Shamsidar Tahrin dan anak perempuan pasangan itu yang berumur tiga tahun, Farah Afifa pada 29 Julai lalu, bagi ujian DNA.

Katanya, beliau mengambil contoh darah Anwar pada 28 September lalu selepas diminta oleh polis. Bagaimanapun, beliau mengakui HKL tidak menjalankan ujian DNA dan beliau sendiri tidak pernah menjalankan ujian atau mempunyai pengalaman amali dalam teknik terkini DNA kerana ia bukan bidangnya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Christopher Fernando, Dr Zahari berkata, contoh darah Anwar itu disimpan selama dua bulan setengah sebelum polis mengambilnya pada 9 Disember lalu, bagi dihantar kepada Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk ujian DNA.

Fernando: Kelewatan selama dua bulan setengah ini sebelum ia (contoh darah) itu dihantar ke Jabatan Kimia tanpa sebarang bahan awet adalah kelewatan yang melampau.

Dr Zahari: Ya.

Fernando: Saya katakan, hasil keputusan ujian DNA untuk contoh darah ini adalah sesuatu yang boleh dipertikaikan.

Dr Zahari: Ya.

Selain itu, Dr Zahari berkata, jika ada sebarang bahan pengawet atau EDTA dicampur dalam contoh darah Anwar, ia tidak boleh digunakan bagi ujian HIV, Hepatitis B dan sakit kelamin.

Katanya, tujuan mencampurkan pengawet atau EDTA ialah bagi menghalang darah daripada menjadi beku dan ia perlu dilakukan jika darah itu hendak digunakan untuk ujian DNA.

"Mengikut kaedah standard ujian DNA daripada contoh darah, kami mesti meletakkannya dalam bekas yang mengandungi EDTA dan mesti dihantar secepat mungkin dalam tempoh 24 jam kepada ahli kimia," katanya.

Menurutnya, jika ada sebarang kelewatan, contoh darah itu boleh disimpan sama ada di dalam peti dingin beku dan jika makmal jauh, contoh darah akan dihantar dengan pek ais.

Dr Zahari berkata dalam kes ini, ia terlalu 'lewat mengikut standard biasa' kerana darah itu dihantar kepada ahli kimia hanya selepas dua bulan setengah tanpa sebarang pengawet atau EDTA.

Saksi itu kemudian bersetuju dengan Fernando bahawa keputusan ujian DNA, dengan mengambil kira kelewatan dan ketiadaan pengawet dan EDTA, boleh dipertikaikan.

Katanya, untuk mengambil contoh darah bagi ujian DNA, prosedur khas perlu diikuti dan di atas permintaan Fernando, Dr Zahari membuat penjelasan ringkas mengenainya di mahkamah.

Dr Zahari berkata bagi ujian yang khusus, mereka akan memaklumkan perkara yang dikehendaki serta mendapatkan persetujuan pihak yang terbabit.

"Sebagai seorang doktor, saya perlu menyediakan contoh bergantung kepada kehendak ujian seperti yang dipersetujui pihak terbabit. Sebagai contoh, dalam kes ini, Anwar memberikan persetujuan bagi ujian HIV dan Dr Halim Manzar (Ketua Unit Patologi Forensik) hanya menyediakannya untuk ujian HIV," katanya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa contoh darah Anwar disimpan di dalam bekas biasa tanpa bahan pengawet atau EDTA dan beliau mengisi borang khas untuk dihantar ke makmal yang akan menjalankan ujian HIV, iaitu Bank Darah Kebangsaan.

Kepada soalan lain, Dr Zahari mengakui beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan mendalam dalam bidang perubatan forensik dan persediaan bagi pelbagai ujian darah termasuk DNA.

Beliau bersetuju bahawa walaupun ada sedikit keraguan bahawa darah itu sudah dicemari, adalah menjadi keperluan kepada ahli kimia untuk mendapatkan contoh darah lain bagi tujuan perbandingan.

Dr Zahari berkata, berdasarkan pengetahuannya, perkara itu sepatutnya menjadi prosedur standard biasa, kecuali, katanya yang bersetuju dengan Fernando, ujian itu tidak boleh dipercayai.