Contoh Darah Lama Boleh Diuji Profil DNA

Berita Harian Jumaat 1 Januari 1999 13 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Khamis - Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, ujian DNA terhadap contoh darah Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilakukan walaupun ia sudah separuh membeku dan merosot kandungannya.

Lim Kong Boon dari Jabatan Kimia berkata, beliau melakukan ujian terhadap contoh darah itu, walaupun ketika diterima pada September lalu, ia sudah separuh membeku dan merosot kandungannya.

"Adalah memadai bagi saya mendapatkan profil DNA melalui contoh darah itu. Profil DNA juga boleh dilakukan terhadap tompokan air mani walaupun ia sudah kering selama setahun atau lebih," katanya.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu, contoh darah Anwar yang diambil pada 28 September lalu disimpan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan setengah sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya oleh polis dengan label A5909 bagi tujuan DNA.

"Apabila menjalankan analisis contoh darah itu, saya mendapati darah itu sebahagiannya membeku dan terdapat tanda-tanda darah itu ada perubahan. Tetapi profil DNA masih boleh diperolehi daripada contoh darah ini," katanya.

Lim berkata, keputusan ujian ke atas contoh darah Anwar juga tidak akan terjejas jika ada bakteria dalam darah berkenaan.

"Keputusan saya tidak terjejas kerana bakteria tidak mengeluarkan sebarang profil DNA. Profil DNA yang saya berjaya perolehi juga tidak terjejas dengan kehadiran bakteria itu.

"Lagipun terdapat sumber DNA yang banyak dalam contoh darah itu bagi membolehkan saya memperolehi profil DNA," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, saksi pendakwa ke-21 itu berkata, hasil analisisnya mendapati profil DNA Anwar tidak dicemari oleh DNA asing.

Menurutnya, profil DNA bebas daripada sebarang pencemaran kerana keadaan sekeliling tempat beliau menjalankan analisis itu tidak tercemar.

Lim, selepas diminta oleh Abdul Gani menjelaskan dengan panjang lebar kepada mahkamah berhubung DNA, teknik yang digunakannya serta hasil analisisnya. Beliau kemudian menggunakan slaid bagi membantu penjelasan itu.

Beliau memberi penerangan itu sambil berdiri di hadapan slaid dan memegang pembaris. Cara penyampaian Lim seperti seorang pensyarah di insitusi pengajian tinggi itu bukan saja menarik perhatian Hakim Datuk S Augustine Paul, pendakwa dan pembela tetapi juga hadirin termasuk wartawan.

Sebaik saja selesai memberi penerangannya itu, beliau kemudian berkata, 'saya harap kamu semua faham' dan ini menyebabkan hadirin di dalam mahkamah ketawa.

Dalam penerangannya, Lim berkata, setiap individu mempunyai profil DNA atau Deoxyribonucleic acid yang berbeza kecuali pasangan kembar, yang mana DNA mereka mungkin hampir sama.

Menurutnya, DNA boleh dijumpai dalam darah, air mani, air liur, tisu badan dan tulang.

Menurutnya, profil DNA setiap individu adalah sama mengikut sumber biologi individu seperti rambut, darah atau air mani.