Profil Diperolehi Walaupun Air Mani Kering

Berita Harian Jumaat 1 Januari 1999 13 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Khamis - Ahli kimia Lim Kong Boon memberitahu mahkamah, beliau berjaya memperolehi profil DNA walaupun tompokan air mani pada tilam yang dirampas polis itu sudah kering.

Katanya, beliau memperolehi profil DNA daripada semua tompokan air mani itu yang dianalisisnya pada 11 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, jika keseluruhan DNA itu mengalami penurunan, beliau tidak akan memperolehi profil DNA.

Menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Lim berkata beliau memperolehi profil DNA daripada semua sumber lelaki kerana beliau berjaya mengeluarkannya daripada sel sperma 13 tompokan itu.

"Selepas mendapat keputusan analisis DNA contoh darah dan tompokan air mani, saya membuat perbandingan semua profil DNA itu. Hasilnya, saya buat dalam laporan ringkas," katanya.

Menurutnya, profil DNA tiga lelaki dan dua wanita diperolehi daripada tompokan air mani berkenaan.

Katanya, pada sebahagian daripada tompokan itu terdapat profil DNA campuran seorang wanita dan dua lelaki.

Kepada solan pendakwa Lim berkata, Jabatan Kimia tempat beliau bertugas mempunyai data asas berhubung genetik tiga kaum utama penduduk negara ini.

Katanya, dalam analisis itu beliau mengambil 140 contoh darah daripada kaum Melayu, Cina dan India daripada hospital seluruh negara.

Menurutnya, kaedah pengumpulan data asas itu berdasarkan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan.