Hakim Terima Keterangan Ujian DNA

Berita Harian Khamis 31 Disember 1998 12 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Rabu - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menerima pakai keterangan berhubung contoh darah bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagi tujuan ujian DNA. Hakim Datuk S Augustine Paul membuat keputusan itu selepas peguam Gurbachan Singh membuat bantahan supaya 'menyingkirkan' segala keterangan berhubung contoh darah Anwar kerana dikatakan dilakukan dengan cara tipu helah, memberi gambaran yang salah dan penipuan.

Menurut Gurbachan, Anwar sebelum ini tidak pernah memberi keizinan supaya darahnya digunakan bagi tujuan ujian DNA, tetapi hanya memberi kebenaran supaya contoh darahnya dilakukan ujian HIV, Hepatisis B dan VD (penyakit kelamin). Ketika mengemukakan bantahan, Gurbachan berkata bahawa pihak pembela tidak bersetuju darah Anwar digunakan untuk ujian DNA dan darah itu, menurutnya, disalahguna tanpa persetujuan Anwar.

"Adalah amat jelas bahawa persetujuan yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar adalah hanya bagi tujuan itu (ujian HIV, Hepatitis B dan VD) dan bukan selain daripada itu dan Dr Abdul Halim Manzar (Ketua Unit Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur) mengaku bahawa tiada persetujuan diberikan bagi darah itu digunakan untuk tujuan analisis DNA," katanya.

Gurbachan berkata, contoh darah digunakan oleh polis menerusi 'tipu helah, gambaran yang salah dan penipuan' dan 'ia juga mencabuli hak Anwar'.

Dalam penghakimannya, Paul berkata mahkamah menimbangkan yang contoh darah yang diambil daripada tertuduh adalah untuk tujuan lain tetapi digunakan untuk tujuan lain. Menurutnya, isunya ialah sama ada contoh darah itu boleh diterima. "Satu-satunya pertimbangan yang relevan ialah sama ada hak istimewa dan memburukkan diri sendiri terpakai.

"Penggunaan darah secara salah di sisi undang-undang dipertimbangkan di Amerika Syarikat, Kanada dan New Zealand dalam kes Schmember lawan California, Peguam Negara Quebec lawan Begin dan di New Zealand," katanya.

Dalam kesemua kes ini, katanya, perkara kebolehterimaan berhubung contoh darah dicabar berdasarkan alasan bahawa ia mengganggu hak istimewa terhadap keburukan diri sendiri.

"Dalam kesemua ketiga-tiga bidang kuasa itu, diputuskan bahawa hak istimewa terhadap memburukkan diri sendiri hanya untuk bukti keterangan terpakai, dengan itu saya memutuskan bahawa ujian darah boleh diterima dan sehubungan itu bantahan ditolak,".

Paul berkata, beliau akan memberikan penghakiman bertulis mengenai perkara itu kemudian.

Bantahan itu dikemukakan oleh Gurbachan selepas ahli kimia Lim Kong Boon memberikan keterangan bahawa ujian yang beliau jalankan menunjukkan bahawa sedikit daripada 13 tompokan air mani pada tilam yang dirampas daripada sebuah apartmen di Tivoli Villa, Bangsar adalah milik Anwar dan Shamsidar Taharin, isteri kepada bekas setiausaha sulitnya, Mohd Azmin Ali.

Beliau berkata penemuan itu didapati selepas membandingkan profil DNA yang diambil daripada tompokan air mani itu dengan contoh darah yang diambil daripada Anwar dan Shamsidar.

Gurbachan membantah keterangan Lim itu dengan menyatakan bahawa contoh darah Anwar yang sudah digunakan untuk membandingkan tompokan air mani itu diambil bukan untuk ujian DNA dan polis menyalahgunakan darah itu selepas peguam Anwar membantah contoh darah itu diambil daripada bekasnya.

Gurbachan berkata, ia juga melanggari Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan berhujah bahawa satu kenyataan tidak hanya termaktub kepada apa yang dikatakan tetapi termasuk perbuatan.

"Saya menyatakan bahawa semua percubaan untuk mendapatkan contoh darah dibuat selepas Anwar dihadapkan ke mahkamah iaitu pada 28 September lalu. Sehingga dan kecuali satu amaran telah dikemukakan menurut Seksyen 113 KPJ, tiada keterangan seperti pengambilan darah atau penggunaannya bagi DNA boleh dibuat," katanya.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd Yusof Zainal Abiden, dalam jawapan balasnya berkata bahawa pemberian darah tidak membawa kepada satu pengakuan atau memburukkan bukti.

Permohonan oleh pihak pembela adalah tanpa merit dan patut ditolak, katanya dengan mengambil contoh beberapa kes.