Ujian DNA Tidak Boleh Dipertikai: Lim

Berita Harian Khamis 31 Disember 1998 12 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Rabu - Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa keputusan ujian DNA yang dilakukan tanpa dicampuri bahan awet atau EDTA tidak boleh dipertikaikan.

Lim Kong Boon dari Jabatan Kimia berkata, jika contoh darah seseorang tanpa EDTA disimpan dalam peti ais beku selama tiga bulan ia masih boleh digunakan untuk analisis DNA.

"Contoh darah yang dibekukan selama tiga bulan dalam peti ais beku tanpa EDTA, hasil keputusannya tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Keterangan yang diberi oleh Lim ini berbeza dengan keterangan pakar forensik, Dr Zahari Noor, semalam, yang mengatakan bahawa mengikut kaedah standard ujian DNA, contoh darah terbabit mesti diletakkan dalam bekas yang mengandungi EDTA dan dihantar ke Jabatan Kimia dalam tempoh 24 jam.

Menurut Dr Zahari, keputusan ujian DNA yang mengambil kira kelewatan dan ketiadaan bahan pengawet atau EDTA, boleh dipertikaikan.

Contoh darah daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil pada 28 September lalu oleh Dr Zahari dan Ketua Unit Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Halim Manzar dan contoh darah itu dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Disember lalu.

Ketika ditanya Timbalan Kanan Pendakwa Raya Abdul Gani Patail apakah teknik yang digunakannya dalam analisis DNA, Lim berkata dia menggunakan teknik RFLP dan PCR.

(Kedua-dua teknik itu digunakan bagi mengetahui genetik seseorang).

Lim berkata, sehingga kini dia sudah menganalisis 1,000 contoh bagi 200 kes untuk tujuan DNA.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 600 contoh dianalisis mengikut teknik PCR.