KENYATAAN MEDIA KETUA DEWAN PEMUDA PAS 15 JUL 99

DATUK HISHAMUDDIN TUN HUSSEIN BERDOLAK DALIK ISU DEBAT

Dewan Pemuda PAS Pusat kecewa dengan sikap berdolak-dalik Pemangku Ketua Pergerakan Umno Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang cuba mengelakkan diri dari berdebat dengan saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat atas sebarang isu seperti yang pernah dicabar kepada beliau. Datuk Hishamuddin membuat pelbagai helah untuk mengelak berdebat dan terbaru kenyataan beliau yang mengajak debat di stesen televisyen asing iaitu di CNN atau CNBC.

Pada anggapan saya adalah tidak wajar sama sekali perdebatan ini diadakan di CNN atau CNBC yang akan mengheret perdebatan masalah dalam negara kepada masyarakat antarabangsa. Saya juga meragui tawaran debat Datuk Hishamuddin tersebut kerana selama ini pemimpin Umno/BN khususnya Dr. Mahathir sentiasa celupar menempelak stesen televisyen asing dan mendakwa mereka tidak memberi laporan sebenar tentang negara. Satu perkara yang amat ajaib bagaimana pula Datuk

Hishamuddin yang mengelak berdebat dalam negara sama ada di universiti atau di mana-mana tempat dalam negara kita boleh membuat tawaran berdebat di stesen televisyen asing yang menyanggah dan menghina pandangan boss beliau.

Perangai Umno ini menunjukkan merekalah sebenarnya yang menjemput dan mengundang campur tangan pihak asing ke dalam politik dan masalah negara yang sememangnya telah terbukti pada masa lalu dan sekarang. Isu penjajahan kuasa asing yang sering dilaungkan oleh Dr. Mahathir adalah untuk menutup masalah dalam negara yang dicetuskan oleh beliau sendiri.

Walau apa pun niat Datuk Hishamuddin membuat tawaran debat di stesen tv CNN atau CNBC, saya tetap menegaskan perdebatan ini adalah tidak wajar sama sekali kerana mengheret masyarakat luar dalam masalah negara kita. Debat di CNN atau CNBC juga tidak memberi peluang kepada rakyat melihatnya kerana tidak semua rakyat berlanggan dengan televisyen berbayar seperti ASTRO yang boleh menerima siaran CNN. Oleh itu ianya tidak adil kepada rakyat apabila mereka tidak dapat mengikuti dan mengetahui isu sebenar yang dibahaskan jika dibuat di CNN atau CNBC.

Sekiranya Datuk Hishamuddin ikhlas untuk berdebat, beliau harus sedia berdebat dalam stesen tv tempatan atau di mana-mana tempat sekali pun dalam negara kita. Saya bersedia bila-bila masa kerana saya masih berkeyakinan dengan stesen televisyen tempatan itu pun jika tiada sebarang campur tangan pengaruh politik. Bagi mengelakkan pengaruh politik, debat ini mesti disiarkan secara langsung dengan tiada penapisan atau penyuntingan.

Bagi menyenangkan dan memudahkan Datuk Hishamuddin menerima cabaran debat, saya membuat tawaran pilihan kepada beliau supaya beliau sendiri menetapkan tajuk debat, beliau sendiri memilih pengerusi debat dan debat diadakan di tempat beliau sendiri iaitu Ibu Pejabat Umno di dewan besar PWTC dengan syarat ahli panel debat ialah saya dan beliau.

Debat ini juga mestilah dibuka kepada orang ramai dan dibuat siaran secara langsung melalui televisyen dan radio supaya rakyat dapat menilai hujjah dari kedua pihak dan biarkan mereka yang menjadi hakim untuk menentukan kebenaran dan kepalsuan. Sebagai seorang pemimpin politik Datuk Hishammuddin harus bersedia dan berani bertemu dengan rakyat.

Saya memberi tempoh masa kepada YB Datuk untuk menyahut cabaran saya ini sehingga 31 Julai 1999 sekiranya benar YB Datuk bukan seorang yang pengecut dan penakut. Saya amat mengharapkan Datuk Hishamudin Tun Hussein bersedia menerima cabaran debat ini supaya anggapan saya dan masyarakat terhadap beliau selama ini bahawa beliau adalah pengecut dan penakut untuk berdebat adalah salah. Datuk Hishamuddin tidak seharusnya berdolak-dalik lagi dan cuba lari dari masyarakat dan rakyat Malaysia dengan cuba mengajak pula debat di stesen televisyen asing. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN

PEMUDA MEMIMPIN PERUBAHAN

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat