Allahyarham Tun Abdul Razak Dan Tun Hussein Onn Berjiwa Bangsa; Datuk Seri
Najib Dan Datuk Hishamuddin Pengkhianat Bangsa
Saya amat kesal dan menyifatkan sikap Datuk Seri Najib Tun
Razak dan Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang cuba memutar belit isu debat adalah sikap
seorang penakut dan pengecut. Oleh itu mereka tidak seharusnya memperkudakan media massa
dengan cuba mengalihkan isu dan menetapkan agenda yang lain dengan menuduh saya menghina
keluarga mereka. Isu sebenar yang sedang hangat diperkatakan sekarang adalah isu debat
yang perlu dilihat sebagai kepentingan untuk faedah agama, bangsa dan negara.
Saya menyanjung tinggi ayahanda mereka Allahyarham Tun Abdul Razak dan
Allahyarham Tun Hussein Onn yang berjiwa bangsa tetapi sebaliknya Datuk Seri Najib dan
Datuk Hishamuddin menjadi pengkhianat bangsa. Datuk Seri Najib mengorbankan masa depan
pendidikan anak Melayu dengan mengkorporatkan IPTA dan memperkenalkan Akta Pendidikan
1995. Datuk Hishammuddin pula gagal tampil sebagai Pemuda Umno yang menjadi teras
perjuangan bangsa dan menjadi pengkhianat bangsa yang akan saya buktikan sekiranya beliau
sanggup berdebat dengan saya.
Tuduhan mengatakan saya menghina keluarga mereka amat-amat saya
kesalkan. Sekali lagi saya ingin mempertegaskan bahawa debat ini perlu untuk kepentingan
agama, bangsa dan negara. Sekiranya benar Datuk Seri Najib dan Datuk Hishammuddin menurut
jejak langkah ayahanda mereka yang berjiwa bangsa, mereka sepatutnya bersedia untuk
dilihat dan dinilai kualiti kepimpinan mereka oleh rakyat seperti mana yang dilakukan oleh
ayahanda mereka.