Parti
Alternatif menolak sama sekali cadangan penggabungan bank Kerajaan Barisan Nasional (BN)
baru-baru ini, dan akan membatalkan nya jikalau mendapat mandat pengundi Malaysia dalam
pilihanraya umum akan datang. Kalaupun BN menang, sokongan yang kuat kepada pihak
pembangkang akan membuktikan penolakan orang ramai terhadap rancangan kerajaan yang tidak
bertanggungjawab ini. Rancangan BN cuba memaksa penggabungan dan syarikat kewangan yang
sedia ada, menjadi enam bank lebih besar. Kami menganggap rancangan ini patut ditolak
daripada beberapa segi.
Walaupun kami mengakui perlunya pemanapan sistem bank dalam menghadapi
liberalisasi kewangan antarabangsa, kami menentang cara pihak berkuasa menangani masalah
ini.Walaupun kuasa pasaran semata-mata tidak boleh diharapkan untuk mencapai dan
melindungi kepentingan nasional, kami mencadangkan kegunaan insentif pasaran untuk
menggalakan bank Malaysia memajukan kepentingan nasional,orang ramai serta pertumbuhan
yang seimbang dan mampan.Misalnya,pindaan kepada tawaran insentif dahulu untuk mencapai
sistem bank dua peringkat boleh membawa pemantapan sistem bank yang dikehendaki.Kerajaan
patut berusaha untuk memastikan bahawa sistem kewangan rakyat,dan bukan hanya disesuaikan
mengikut globalisasi perbankan,yang belum pasti lagi bentuk dan sifatnya .
Masih belum terdapat hujah menyokong cadangan Kerajaan , terutama ciri
terperincinya , yang menyakinkan yang mencerminkan sikap angkuh dan tidak
ingin berunding pihak Kerajaan terhadap soal polisi awam . Enam bank yang
dicadangkan seolah olah dipilih secara sewenangwenangnya tanpa usaha untuk
menyakinkan mereka yang berkepentingan akan kelebihan serta faedah sebenar rancangan
berkenaan , di samping menenangkan kebimbangan yang ikhlas terhadap kekurangan serta kesan
buruknya. Tiada sebarang bukti bahawa bank lebih besar yang dicadangkan pasti lebih mampu
menangani cabaran masa depan kerana bukan semua masalah dapat diatasi hanya dengan ekonomi
skala tertentu, terutamanya memandangkan bank yang dirancangkan sebenarnya masih kecil di
peringkat antarabangsa .
Memandangkan beberapa kumpulan dan bank utama yang dicadangkan ,
beberapa pengganbungan yang dipaksa itu barangkali akan gagal , ini akan memburukkan lagi
keadaan tenat sistem kewangan Malaysia kini . Terdapat beberapa tanda kemungkinan
kegagalan demikian, akibat ketidakpadanan dari segi budaya, institusi dan individu
disamping intensif yang ditawarkan, yang tidak dapat mendorong semua pihak yang terlibat
untuk memastikan penggabungan itu berjaya. Lagipun, sebelum dan semasa krisis perbankan
kini, prestasi kebanyakan bank kecil lebih baik daripada bank lebih besar. Akibatnya, bank
asing akan lebih menguasai sektor bank Malaysia kerana mereka lebih mampu mengambil
kesempatan daripada ketidakpastian akibat kesan buruk rancangan penggabungan bank yang
buruk ini.
Sebagai pengganti penggabungan terpaksa yang disegerakan ini, kami
menghendaki pembangunan sistem bank berperingkat, di mana bank bersaiz berlainan dapat
saling hidup bersama dan saling melengkapi. Terdapat cukup bukti bahawa banyak bank kecil
lebih berjaya melayan pelanggan mereka dan seluruh ekonomi secara lebih berkesan daripada
bank besar. Sistem bank nasional yang berperingkat di banyak negara lain meyakinkan kami
akan viabiliti sistem demikian.
Kami tidak mencadangkan peniruan maa-masa sistem asing tertentu, tetapi
menghendaki evolusi sistem secara sukarela, memandangkan sejarah serta kekuatan dan
kelemahan perbankan Malaysia dewasa ini. Para pemilik dan majikan bank cukup menyedari
cabaran besar yang dihadapi, dan mengakui perlunya perubahan sesuai dengan zaman dan
keadaan baru. Tetapi sifat paksa, waktu singkat dan tidak peka rancangan penggabungan
tidak memberi keyakinan bahawa pihak berkuasa lebih memahami masalah pilihan dan
penyelesaian yang dihadapi. Kegagalan lain pihak berkuasa dewasa ini telah mengurangkan
lagi keyakinan umum terhadap kemampuan mereka untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh
sistem bank khususnya dan ekonomi amnya. Maka, terdapat kesangsian dan penolakan umum
terhadap rancangan, bukan hanya kerana ciri rancangannya, tetapi juga sebab jadual singkat
dan cara paksanya.
Terdapat juga kebimbangan orang ramai bahawa rancangan penggabungan
bank didorong politik, terutamanya untuk mengenepikan mereka yang dianggap pernah
mempunyai hubungan dengan bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim. Memandangkan bukti
pendakwaan terpilih, penekanan dan penindasan terhadap ramai kenalan Anwar yang lain
dewasa ini, rancangan penggabungan dianggap keji lagi tidak bertanggungjawab sebagai
senjata politik. Walaupun segelintir kepentingan Malaysia
pasti mendapat faedah daripada penggabungan bank yang dirancang,
kebanyakan rakyat Malaysia (termasuk usahawan tulen) yang tidak mempunyai hubungan
erat dengan pucuk pimpinan BN- sudah pasti mempunyai banyak kebimbangan. Rancangan
penggabungan bank barangkali akan menumpukan lagi pemilikan, penguasaan dan pengaruh dalam
sektor bank dengan mengorbankan kepentingan orang ramai serta daya saing ekonomi Malaysia.
Khususnya, terdapat banyak kebimbangan bahawa kelompok berkuasa sedang bermaharajalela
dengan menggunakan proses penyusunan semula, terutamanya rancangan penggabungan bank,
untuk menguasai sektor kewangan dengan lebih menyeluruh lagi.
Sesuai dengan prinsip pentadbiran korporat yang baik, kami percaya
bahawa proses sukarela merupakan cara terbaik untuk memastikan bahawa kepentingan semua
pihak yang berkepentingan dijaga dengan baik. Cadangan penggabungan seolah-olah tidak
pedulikan kepentingan pemilik serta pengurus kebanyakan bank, apalagi kepentingan pemilik
saham minoriti. Cadangan ini tidak prihatin langsung terhadap golongan lain yang
berkepentingan, terutamanya pelanggan dan pekerja. Pekerja sektor kewangan, yang menjadi
mangsa utama krisis kewangan dewasa ini, akan dikorbankan lagi dengan pembuangan pekerja
serta pengurangan pendapatan.
Walaupun rancangan ini jelas didorong oleh ketamakan kelompok berkuasa
menjelang pilihanraya genting kelak, kami tidak ingin mempolitikkan rancangan penggabungan
bank terkini. Sebaliknya, kami meminta pihak berkuasa serta-merta menggantikannya dengan
pendekatan lebih adil, cekap dan bermanfaat, yang kami cadangkan.
Parti Keadilan Nasional
Parti Islam SeMalaysia
Parti Tindakan Demokratik
Parti Rakyat Malaysia
Kuala Lumpur, 22 August 1999