KENYATAAN MEDIA BERSAMA PARTI ALTERNATIF

Oleh:

Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Parti Keadilan Nasional (keADILan)

Parti Rakyat Malaysia (PRM)

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Prinsip-Prinsip Asas Perlembagaan Malaysia

Parti-parti Alternatif berazam mempertingkatkan kerjasama mereka melalui suatu rangka persefahaman yang boleh diterima oleh semua pihak.

Prinsip-prinsip asas Perlembagaan Malaysia merupakan rangka persefahaman yang paling sesuai untuk menjaminkan kestabilan politik dan keharmonian kaum. Prinsip-prinsip asas ini diterima sebagai teras manifesto bersama yang akan diumumkan kelak. Prinsip-prinsip yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

1. Raja berperlembagaan;

2. Demokrasi berparlimen;

3. Hak-hak asasi manusia;

4. Keluhuran undang-undang;

5. Kebebasan kehakiman;

6. Hak dan tanggungjawab kewarganegaraan;

7. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan prinsip kebebasan beragama;

8. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan hak menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa lain;

9. Kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera yang lain dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum yang lain;

10. Sistem pemerintahan persekutuan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad, telah menyeleweng daripada prinsip-prinsip asas perlembagaan Malaysia. Hak asasi manusia dicabul; keluhuran undang-undang terjejas; dan kebebasan kehakiman dicabar. Kedudukan istimewa masyarakat Bumiputera dan hak kaum-kaum lain diperalatkan untuk kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu.

Parti-parti Alternatif sebaliknya akan memperjuangkan cita-cita melahirkan negara Malaysia yang adil dengan nilai-nilai akhlak yang luhur dipandu oleh 10 prinsip asas Perlembagaan Malaysia.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail - Presiden keADILan

YB Dato' Uztaz Fadzil Noor - Presiden PAS

Dr. Syed Husin Ali - Presiden PRM

YB Lim Kit Siang - Setiausaha Agung DAP

2 Julai 1999