Pada
hari ini, 19 Ogos 1999, saya telah dikehendaki oleh pihak polis dibawah Seksyen 111, Kanun
Acara Jenayah untuk menghadirkan diri saya di Ibu Pejabat Polis Jalan Hang Tuah Kuala
Lumpur bagi tujuan siasatan mengenai Seksyen 8(1)(iii) Akta Rahsia Rasmi, 1972. Sebagai
rakyat yang bertanggongjawab dan berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang
seperti yang termaktub didalam perlembagaan negara ini, saya telah menghadirkan diri saya
dan bekerjasama dengan pihak Polis didalam siasatan dijalankan. Saya difahamkan bahawa
siasatan dijalankan diatas sebuah laporan polis yang dibuat pada 15 Ogos 1999, oleh Encik
Zulkifli Mohd Alwi, Penolong Setiausaha Pemuda Barisan Nasional, parti yang memerintah
kerajaan Malaysia hari ini terhadap saya diatas kenyataan saya yang didakwa
"menggugat keselamatan rakyat dan kedaulatan negara".
Pada hari ini juga saya telah membuat satu laporan Polis terhadap Pihak
Polis Diraja Malaysia diatas kegagalan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka
yang jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang khusus Seksyen 3 (3) Akta Polis
1967 dan Seksyen 108 Kanun Acara Jenayah. Laporan polis yang sama telah dibuat terhadap
Peguam Negara Malaysia diatas kegagalan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai yang
diperuntukkan didalam Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan/atau Seksyen 376 (1)
Kanun Acara Jenayah. Laporan Polis ini dibuat sehubungan dengan Laporan Polis saya No RPT
12581/99 di Balai Polis Dang Wangi pada 8hb Mei 1999 terhadap Peguam Negara, Abdul Ghani
Patail dan seorang Menteri Kabinet.
Setelah lebih 3 bulan aduan dibuat, tidak ada sebarang kenyataan yang
telah diambil daripada saya berhubung dengan aduan tersebut dan saya mempunyai alasan yang
menasabah untuk mempercayai bahawa sehingga setakat ini tiada sebarang penyiasatan
dan/atau tindakan yang diambil terhadap laporan polis tersebut. Ini memberi gambaran
terhadap ketidakadilan yang berlaku didalam sistem perundangan negara ini.
Notis 111 Kanun Acara Jenayah yang diserahkan terhadap saya dalam
tempoh 3 hari selepas aduan dibuat oleh seorang pemimpin parti yang memerintah berbanding
jangkamasa 3 bulan aduan yang dibuat oleh saya sebagai seorang rakyat biasa terhadap
pimpinan kerajaan dan parti yang memerintah yang sehingga hari ini tidak menunjukkan
sebarang tindakan susulan, jelas menunjukkan kepincangan sistem keadilan dinegara ini.
Laporan polis saya dibuat berasaskan kepada asas yang kukuh terhadap
salahlaku rasuah seorang Menteri dan diperkukuhkan dengan laporan polis dibuat oleh Dato'
Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan hal yang sama pada 9hb. Julai 1999, yang melampirkan
bukti kukuh terhadap kes tersebut. Sebaliknya laporan Polis terhadap saya dibuat dengan
andaian yang lemah dan mencurigakan dengan cuba mengaitkan pendedahan saya terhadap
simpanan dokumen berhubung dengan salahlaku kuasa dan rasuah pemimpin kerajaan dengan isu
keselamatan negara. Laporan polis mereka jelas merupakan mainan politik murahan golongan
yang nazak kuasa.
Pemuda KeADILan mendesak Pihak Polis benar-benar jujur dalam
menjalankan amanah rakyat untuk mempertahankan keadilan di negara ini dan mereka
semestinya membuktikan bahawa siasatan menyeluruh dibuat terhadap semua laporan polis
tanpa mengira kepentingan politik golongan tertentu.
tt.
MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Ketua Pemuda
Parti KeADILan Nasional