KENYATAAN MEDIA PAS (12 OGOS 1999)

KEMERDEKAAN DAGESTAN : KESUNGGUHAN YANG MESTI DITELADANI OLEH RAKYAT MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh umat Islam Dagestan di atas pengisytiharan kemerdekaan oleh Majlis Syura Islam Dagestan di Grozny, Chechnya kelmarin. DPP Pusat melihat pengisytiharan ini sebagai satu pembukaan terhadap kemenangan Islam di Dagestan khususnya dan umat Islam seluruh dunia amnya. Kejayaan ini menjadi lambang terhadap kesungguhan umat Islam Dagestan yang bangkit memperjuangkan hak dan ketuanan mereka demi untuk menegakkan daulah Islam di sana. Kesungguhan ini sewajarnya dicontohi oleh semua umat Islam yang sedang ditindas di seluruh dunia hari ini.

DPP Pusat melahirkan rasa sedih di atas pengalaman pahit umat Islam di Dagestan dan Chechnya yang bersabung nyawa untuk menegakkan Islam. Pengalaman Chechnya yang terlibat dalam perperangan dengan Russia pada 1994-96 yang telah mengorbankan lebih 80,000 tentera dan pengalaman umat Islam Dagestan di usir dari negara sendiri sehingga 4,000 orang menjadi pelarian di Makhachkala, ibu negeri Dagestan menunjukkan betapa perjuangan menegakkan Islam ini penuh berliku. DPP Pusat kagum dengan komitmen tinggi ditunjukan oleh umat Islam Dagestan yang sanggup untuk mengorbankan harta dan nyawa demi mempertahankan maruah Islam. Kesungguhan seperti inilah yang mesti ditonjolkan oleh umat Islam di negara ini dalam menegakkan sebuah daulah Islam.

DPP Pusat mengutuk keras kenyataan angkuh Pemangku Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin yang menganggap perjuangan umat Islam menuntut kemerdekaan sebagai kebangkitan pengganas di Russia. DPP Pusat menjangkakan pemulihan ketenteraman, undang-undang dan disiplin yang akan dibuat oleh Putin akan sekali lagi memangsakan umat Islam Dagestan. Putin tidak sewajarnya melaksanakan kekerasan demi mengekalkan kuasa, tetapi sebaliknya harus menerima hakikat hasrat umat Islam untuk membentuk pemerintahan sendiri yang lebih adil dan sejahtera. DPP Pusat menyeru umat Islam di Dagestan agar terus mempertahankan kemerdekaan ini walaupun terpaksa berhadapan dengan ancaman yang keras daripada Russia. Ancaman dan kekerasan ini dialami oleh seluruh umat Islam apabila mereka menuntut kedaulatan Islam.

DPP Pusat juga melahirkan harapan yang besar agar umat Islam Dagestan dapat melaksanakan syariat Islam secara syumul setelah mencapai kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri. Kemenangan ini adalah suatu ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana keikhlasan perjuangan umat Islam di Dagestan. DPP Pusat juga menyeru semua republik Islam di Komanwel Soviet agar bangkit menuntut kemerdekaan daripada penjajahan negara Russia dan menegakkan Islam di negara masing-masing.

DPP Pusat menuntut Kerajaan Malaysia dan semua negara umat Islam agar segera memberikan pengiktirafan terhadap kemerdekaan Dagestan ini. Kegagalan untuk memberikan pengiktirafan bererti mengutamakan kepentingan politik dan peribadi berbanding kepentingan persaudaraan Islam yang diikat oleh aqidah yang suci. Negara umat Islam seperti Malaysia tidak sewajarnya membiarkan sebuah negara baru umat Islam berseorangan tanpa bantuan dan sokongan moral untuk mempastikan umat Islam terus kukuh dalam satu blok kuasa yang baru yang dikuasai oleh umat Islam.

DPP Pusat memperingatkan kerajaan Malaysia agar tidak mengulangi kesilapan mereka yang membisu dalam isu-isu antarabangsa yang melibatkan umat Islam seperti di Palestin, Bosnia, Kashmir, Chechnya dan sebagainya tetapi dilihat jelas menyokong pengganas antarabangsa seperti Amerika Syarikat dalam Krisis Teluk. Kerajaan Malaysia sepatutnya mempunyai kecenderungan untuk menyokong umat Islam bukannya menindas umat Islam selaras dengan dakwaan kerajaan bahawa Malaysia adalah negara Islam.

DPP Pusat juga menyeru umat Islam seluruh dunia agar bangkit mencontohi umat Islam Dagestan dengan menuntut kemerdekaan daripada penjajahan undang-undang dan penjajahan minda oleh musuh-musuh Islam dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Para pemerintah yang menjadi proksi Barat yang zalim dan mempersendakan Islam mesti dijatuhkan dan digantikan dengan pemimpin yang mempunyai iltizam terhadap Islam. Umat Islam di Malaysia juga sewajarnya menggunakan kesempatan pilihanraya umum ini sebagai wasilah untuk mencapai ‘kemerdekaan kedua’ iaitu pembebasan daripada penjajahan undang-undang dan minda serta kezaliman Kerajaan BN seperti mana umat Islam Dagestan membebaskan negara mereka daripada penjajahan Russia.

SALAHUDDIN HAJI AYUB

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat