KEJAYAAN DATUK AZHAR WAJAR DICONTOHI PEJUANG KEADILAN
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan ucapan tahniah
kepada Datuk Azhar Mansur di atas kejayaan beliau mengelilingi dunia seorang diri tempoh
hari. Kejayaan ini menjadi satu bukti yang sangat jelas bahawa rakyat Malaysia mampu untuk
mencapai suatu kecemerlangan jika diiringi oleh kesungguhan. Kesungguhan Datuk Azhar
sepatutnya dicontohi oleh semua pejuang keadilan di dalam memperjuangkan idealisme mereka.
Jika kesungguhan mengiringi perjuangan untuk menolak kezaliman ini, sudah tentu perjuangan
ini akan memperoleh kejayaan.
Menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-42, rakyat Malaysia telah dilanda
oleh kemelut politik, ekonomi dan sosial yang dahsyat akibat kerakusan pemimpin zalim yang
menguasai tampuk pemerintahan negara hari ini. Siri-siri kegawatan yang berlaku telah
mendorong rakyat negara ini bersikap antagonis terhadap kezaliman kerajaan. Walau
bagaimanapun kemampuan untuk menamatkan penguasaan diktator ini hanya boleh dicapai dengan
kesungguhan yang tinggi daripada seluruh rakyat Malaysia yang cinta keadilan.
DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mencontohi kesungguhan
yang ditunjukkan oleh Datuk Azhar di dalam mencapai hasrat keadilan ini. Kesanggupan untuk
berkorban harta dan nyawa serta diringi oleh komitmen yang tinggi terbukti membuahkan
hasil yang positif kepada Datuk Azhar. Dengan cita-cita besar untuk membuat perubahan
kepada imej negara, Datuk Azhar bekerja keras untuk mencapainya. Citra inilah yang mesti
dimiliki oleh para pejuang keadilan dalam usaha untuk mengubah minda rakyat demi
mempastikan mereka menolak sebuah parti yang zalim seperti BN dan memilih parti-parti
alternatif untuk mencorakwarnakan masa depan negara dengan lebih bermakna.
DPP Pusat cukup berkeyakinan bahawa Kerajaan BN dapat ditumbangkan
dalam pilihanraya ini jika seluruh rakyat Malaysia menjiwai semangat perjuangan yang
ditunjukkan oleh Datuk Azhar ini. Sewajarnya penggabungan semangat kemerdekaan daripada
kezaliman dan motivasi minda Datuk Azhar ini mampu mendorong gerak kerja cemerlang seluruh
pencinta keadilan, dan sudah tentu kesungguhan ini akan menamatkan penguasaan bejat BN
serta menampilkan kita sebagai pemenang. Jika Datuk Azhar boleh, pejuang keadilan juga
boleh mengalahkan BN!
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat