DR M ALIH ISU UNTUK SEMBUNYIKAN KESALAHAN PEMIMPIN BN
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di
atas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang bertindak mengalihkan
isu pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan
pimimpin BN kepada isu Datuk Seri Anwar membawa keluar dokumen kerajaan ke luar negara.
DPP Pusat berpandangan pengalihan isu ini bertujuan untuk mengalih pandangan rakyat
daripada menyedari kesalahan pemimpin BN kepada menambahkan kesalahan terhadap Datuk Seri
Anwar.
Dr Mahathir sengaja membesar-besarkan isu pembawaan keluar dokumen
kerajaan dan membayangkan Anwar sebagai mengkhianati negara demi untuk menutup perhatian
rakyat terhadap pendedahan Anwar. Tuduhan sebagai musuh negara, agen CIA dan sebagainya
dilemparkan kepada Anwar untuk menggambarkan bahawa Anwar merancang konspirasi untuk
menjatuhkan kerajaan. Padahal tindakan pemimpin BN yang menyalahgunakan kuasa dan
menyelewengkan tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan adalah jauh lebih membahayakan masa
depan negara.
DPP Pusat merasa hairan mengapa dokumen tentang pendakwaan Peguam
Negara terhadap Rafidah Aziz, dokumen penyelewengan Perwaja dan dokumen pengakuan tiga
tokoh korporat tentang penglibatan Tun Daim dalam penyelewengan dianggap dokumen rahsia
negara sehingga menafikan kesalahan dan penyelewengan pemimpin-peminpin BN. Adakah
kerajaan hari ini mempunyai klasifikasi baru terhadap erti dokumen rahsia kerajaan. Jika
dokumen itu melibat penyelewengan pemimpin BN maka ia dianggap rahsia negara, tetapi jika
melibatkan musuh Perdana Menteri maka
ia mesti didedahkan walaupun tiada bukti sehingga menjatuhkan maruah
pihak-pihak tertentu.
DPP Pusat mendesak Kerajaan BN agar menyiasat dakwaan Datuk Seri Anwar
terhadap beberapa menteri kanan Kerajaan BN kerana ia melibatkan kepentingan kerajaan dan
rakyat. Bagi rakyat penyiasatan terhadap menteri-menteri ini lebih penting daripada
membincangkan soal pembawaan keluar dokumen kerajaan ke luar negara. DPP Pusat melihat
tindakan Kerajaan BN menyembunyikan penyelewengan ini adalah juga suatu pengkhianat besar
terhadap negara. Perdana Menteri dan menteri-menteri yang melindungi penyelewengan ini
sewajarnya didakwa kerana menyalahgunakan kuasa untuk melindungi menteri yang rapat dengan
Perdana Menteri seperti Tun Daim dan Datuk Rafidah Aziz. Penyelewengan ini bukan sahaja
menghianati negara tetapi juga menzalimi rakyat yang memberikan harapan kepada mereka
untuk mentadbir negara secara telus.
DPP Pusat melihat bahawa Perdana Menteri masih berusaha untuk menutup
dan melindungi kesalahan Tun Daim dan Rafidah Aziz dengan menyalahgunakan kedudukan beliau
sebagai Perdana Menteri. Pengalihan isu ini sekali lagi bermaksud untuk menyelamatkan
kroni mereka ketika rakan-rakan Anwar dihadapkan ke mahkamah. DPP Pusat menyeru rakyat
agar lebih responsif terhadap penyelewengan Kerajaan BN dan bertindak menolak mereka dalam
pilihanraya ini untuk mempastikan kerajaan yang lebih telus dapat dibentuk pada alaf akan
datang.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat