KENYATAAN MEDIA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN PADA 19 JULAI 99

PULAUKAN MAINSTREAM MEDIA

PAS Wilayah Persekutuan memandang serius laporan berat sebelah dan tidak beretika media massa arus perdana terhadap PAS dan parti-parti alternatif sejak akhir-akhir ini. Kegilaan dan keghairahan media massa arus perdana dalam melakarkan imej buruk parti-parti alternatif di mata masyarakat umum adalah satu gejala tidak sihat yang mencemar amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Media arus perdana yang secara langsung atau tidak langsung dikuasai oleh BN perlu menyedari bahawa mereka terikat dengan etika kewartawanan yang digubal oleh kalangan mereka sendiri. Hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar juga tidak wajar dikesampingkan semata-mata kerana kepentingan politik sempit BN.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis perlu lebih profesional dalam menangani sikap tidak bertanggung jawab media massa arus perdana. Menjelang pilihan raya, berita-berita palsu yang mengancam keharmonian kaum dan agama sengaja dicetuskan bagi memburukkan parti-parti lawan BN.

Isu Malaysian Malaysia, sensitiviti agama dan kaum sering dimanipulasi oleh media massa arus perdana demi kepentingan politik BN. TV3 sebagai contoh menyiarkan berita bohong berunsur fitnah tentang rasa tidak puas hati masyarakat Cina di pekan Semeling, Merbok, Kedah terhadap PAS. Semasa kempen pilihan raya 1990 rancak berjalan, isu perkauman dan agama sengaja diapi-apikan oleh media massa arus perdana bagi membantu kempen politik BN. Presiden Parti Melayu S’46, Tengku Razaleigh Hamzah didakwa sanggup menjual agama kerana memakai sigah berlambang salib di majlis anjuran PBS sedangkan sigah yang sama dipakai oleh Pengerusi BN, Dr Mahathir Mohamad ketika berkunjung ke Sabah. Apa yang dikesalkan, KDN dan pihak polis tidak langsung bertindak menghalang isu sensitif itu daripada dijadikan senjata kempen pilihan raya BN.

Menyedari bahawa media massa arus perdana akan terus melaksanakan agenda setting mereka bagi memburuk-burukkan barisan alternatif, PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan agar satu tindakan proaktif perlu dilakukan bagi memerangi gejala ini. Sehubungan itu, PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan supaya satu kempen memulau akhbar dan media massa arus perdana dilancarkan oleh PAS dan parti-parti alternatif sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Rakyat perlu diingatkan supaya tidak mempercayai berita-berita yang disiarkan media massa arus perdana berhubung parti-parti alternatif. Maklumat sahih berhubung parti-parti alternatif hanya boleh didapati melalui Harakah, laman-laman web parti-parti alternatif, laporan Bernama, ceramah umum dan lain-lain sumber yang ditentukan dari semasa ke semasa.

Usaha perlu dilakukan untuk mengingatkan rakyat terhadap kedurjanaan media arus perdana terhadap parti-parti alternatif terutama ketika menjelangnya pilihan raya umum. Gambaran umum perlu dibentuk supaya rakyat meragui dan menolak laporan tidak beretika media arus perdana.

Kempen "JANGAN BELI, JANGAN BACA, JANGAN TONTON DAN JANGAN PERCAYA" perlu dilancarkan segera.

HAJI ‘AASIMUDIN SHAMAAN

Ketua Penerangan

PAS Wilayah Persekutuan

Dikeluarkan di Kuala Lumpur

Pada 19.7.99