KENYATAAN DR SYED HUSIN ALI PRESIDEN PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM) PADA 12 SEP 99

DR M - BERCAKAP BENARLAH!

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad serta kroni-kroni politiknya yang utama tidak mungkin keliru tentang fakta-fakta sebenar mengenai laporan Anwar Ibrahim diracuni. Adakah mereka sengaja memilih untuk membohongi rakyat negeri ini dan dunia dengan maklumat yang dipilih untuk diselewengkan?

Contoh air kencing Anwar telah diserah kepada cawangan Gribbles Pathology di Kuala Lumpur pada 18 Ogos 1999. Ia dirujuk kepada Ibu Pejabat Gribbles Pathology di Melbourne pada 26 Ogos. Laporan Patologi yang memberi hasil ujian telah dihantar oleh Gribbles Pathology di Melbourne ke cawangannya di Kuala Lumpur pada 8 September 1999. Keesokan hari, peguam Anwar membentangkannya ke mahkamah.

Bukankah satu pembohongan jikalau dikatakan laporan itu segaja disimpan selama 14 hari oleh keluarga Anwar? Laporan itu dikemukakan ke mahkamah satu hari selepas diterima. Lebih besar lagi Pembohongannya apabila didakwa bahawa perkara ini segaja ditimbulkan untuk menepati persidangan APEC. Begitu juga paling menghinakan sekali jikalau dituduh pula isteri Anwar Dr Wan Azizah atau anak merekalah yang mungkin memberi Anwar makanan mengandungi racun.

Kononnya membunuh lawan politik tidak wujud dalam budaya Melayu/Malaysia. Mungkin Mahathir tidak percaya dengan hikayat-hikayat lama, termasuk Sejarah Melayu, yang menceritakan tentang deraan bahkan pembunuhan ke atas mereka yang difitnah menentang atau menderhaka terhadap raja. Mungkin beliau sudah lupa akan kes Dr Burhanuddin Alhelmy, pejuang ulung kemerdekaan, yang menghadapi masalah kencing, batu karang dan buah pinggang semasa dalam tahanan, sehingga akhirnya membawa maut tidak lama selepas beliau dibebaskan. Mungkin juga beliau tidak mahu

mengingatkan tentang pembunuhan Abdul Samad Gul, seorang pemimpin PAS yang lantang suaranya menentang kerajaan, dengan menggunakan kapak kecil.

Katakanlah pandangan bijaksana Mahathir tentang budaya Melayu/Malaysia itu memang benar. Tetapi bukankah Mahathir sendiri adalah satu-satunya orang yang hendak dan sudah mengubah budaya itu? Bukankah dengan perubahan budaya ini seorang ketua polis boleh memukul seorang bekas TPM sehingga hampir maut dan kemudian dilengah-lenghkan pembicaraannya? Bukankah dengan perubahan ini tilam bertompok air mani boleh diusung keluar masuk mahkamah, ditayangkan kepada umum dan selepas itu diisytiharkan tidak relevan? Bukankah dengan perubahan ini akhbar, mahkamah dan polis boleh digunakan seluas-luasnya untuk memfitnah dan memalukan Anwar serta keluarganya?

Bukankah dengan perubahan ini nilai-nilai agama dan budaya tidak dipedulikan apabila seorang Perdana Menteri sanggup menggunakan perkataan-perkataan lucah (seperti meliwat, melancap dan sebagainya) apabila membuat tuduhan terhadap Anwar sebelum ia didapati bersalah? Dan sekarang, mengapakah tidak boleh diracun seorang musuh politik supaya perlahan-lahan maut, dan kemudian didakwa pula dia maut kerana AIDS akibat aktiviti seksnya? Dr Mahathir: bertaubatlah. Saya menggesa supaya Anwar dibenarkan bebas dengan ikat jamin sekarang!

Dr Syed Husin Ali

12 September 1999