KENYATAAN RASMI KETUA PEMUDA KEADILAN (PENAJA) BAHAGIAN PERMATANG PAUH BERKENAAN LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE PERMATANG PAUH

Pergerakan Pemuda KeADILan Bahagian Pmtg Pauh ingin meluahkan rasa kesal dan jijik kami ke atas pembohongan dan propaganda murahan yang telah disebarkan oleh media-media utama Malaysia tentang lawatan rasmi Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad ke Pmtg Pauh di dalam program Perhimpunan Bersama Rakyat di Sek. Men. Keb. Guar Perahu pada 1.7.99.

Pemuda KeADILan Pmtg Pauh menegaskan bahawa daripada pemerhatian dan pengamatan kami pada hari tersebut, jumlah kehadiran rakyat di dalam program itu hanyalah sekitar lebih kurang seribu (1000) orang lebih sahaja dan bukannya sepuluh ribu (10000) seperti yang dilaporkan.

Malahan daripada pengamatan kami juga, rakyat yang hadir itu pula majoritinya bukanlah rakyat ataupun warga Pmtg Pauh. Pemuda KeADILan Pmtg Pauh yakin bahawa majoriti rakyat yang hadir di dalam majlis tersebut adalah mereka yang diimpot daripada luar kawasan Pmtg Pauh dan mungkin juga dijanjikan upah atau ganjaran demi untuk mengelakkan keaiban besar di pihak Barisan Nasional (BN).

Fenomena ini jelas membuktikan bahawa kepimpinan Dr.Mahathir, UMNO dan BN telah ditolak dan tidak relevan lagi dengan asspirasi rakyat Pmtg Pauh khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Ini sekaligus menafikan dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kononnya kerajaan pimpinan Dr.Mahathir diberi sokongan padu oleh rakyat di negeri Pulau Pinang.

Isu dalang asing dan penjajahan semula yang dimainkan dengan semaksima mungkin oleh Dr.Mahathir di dalam majlis itu juga jelas ditolak oleh rakyat yang sudah muak diperbodoh-bodohkan oleh seorang pemimpin yang merasakan seolah-olah beliaulah orang yang paling pandai manakala orang lain kesemuanya bodoh belaka. Ini dapat dilihat dengan jelas daripada reaksi dan mimik muka hadirin di majlis itu yang langsung tidak memberikan perhatian kepada apa yang sedang didakyahkan oleh Dr.Mahathir.

Pemuda KeADILan Pmtg Pauh juga merasa kesal dan dukacita dengan tindakan pemimpin-pemimpin BN di majlis tersebut yang merestui tindakan memagar pentas utama majlis tersebut dengan lingkungan jaring-jaring besi yang memisahkan pemimpin-pemimpin BN daripada rakyat. Tindakan ini jelas menunjukkan betapa kurang matangnya dan betapa dangkalnya pemikiran pimpinan BN. Ianya seperti pemimpin-pemimpin BN menganggap rakyat di Pmtg Pauh ini merupakan golongan yang ganas dan tidak bertamaddun, walhal dengan memagar pentas tersebut, pimpinan-pimpinan BN yang berada di atas pentas itulah pula yang kelihatan seperti berada di dalam kandang untuk dipertontonkan kepada pengunjung-pengunjung yang datang. Bagi Pergerakan Pemuda KeADILan Bahagian Pmtg Pauh, kelakuan pimpinan BN yang dapat kita semua lihat pada majlis tersebut sebenarnya adalah manifestasi ketakutan mereka pada bayang-bayang sendiri dan juga kegerunan mereka terhadap gelombang kebangkitan rakyat yang semakin jelas menolak BN secara total.

Sikap pimpinan BN di dalam hal ini adalah jelas menunjukkan bahawa pimpinan BN mengamalkan sistem kasta dan membeza-bezakan darjat. Seolah-olah mereka yang bergelar pemimpin-pemimpin BN itu merasa jijik dan tidak setaraf untuk bermesra dengan rakyat bawahan dan golongan marhaen.

Apa yang jelas daripada lawatan Dr.Mahathir tersebut ialah Dr.Mahathir, UMNO dan BN telahpun ditolak oleh rakyat Pmtg Pauh. Insyaallah kita semua akan dapat menyaksikan suatu perubahan besar di dalam struktur politik Pmtg Pauh khususnya dan Pulau Pinang amnya apabila rakyat melaksanakan tanggungjawab mengundi mereka di dalam pilihanraya akan datang nanti. Warga Pmtg Pauh dan Pulau Pinang akan menolak pemimpin-pemimpin yang rakus kuasa, pengampu, angkuh, sombong dan gila kemewahan seperti yang ada pada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sekarang. BN sekarang umpama melukut di tepi gantang pada hati rakyat.

Sekian, wassalam.

Yang benar,

MOHD AZMAN BIN HJ HARUN

KETUA PERGERAKAN PEMUDA KeADILan PULAU PINANG merangkap

KETUA PERGERAKAN PEMUDA KeADILan BHG PMTG PAUH.