TELUSKAH SURUHANJAYA PILIHANRAYA?

PEGAWAI PENGURUS SPR KUALA KANGSAR HADIRI PROGRAM GERAK GEMPUR UMNO

Ruj. Kami: ADIL/SPR/01

Tarikh: 5hb. Julai 1999

Pengerusi SPR MALAYSIA,                                                                                              

Paras 5-8, Menara Bank Pembangunan,

Jalan Sultan Ismail,

50690 Kuala Lumpur.

(U.P: Ybhg. Datuk Omar Hashim)

Salinan kepada:

Pegawai Pilihanraya Negeri

PEJABAT PILIHAN RAYA NEGERI PERAK

Bangunan Pejabat-Pejabat Kerajaan,

Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,

30000 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

(U.P: En. Nik Mustafa b. Nik Mat)

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Bangunan Pejabat-Pejabat Kerajaan,

Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,

30000 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

(U.P: Dato’ Haji Abdul Majid bin Haji Hussein)

Yang berbahagia Datuk,

Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh,

Ketelusan dan Profesionalisma Pengurus SPR Kuala Kangsar Wajar Di Persoalkan Perkara di atas adalah dengan hormatnya dirujuk.

Pemuda KeADILan dengan ini memandang serius kehadiran Pengurus SPR Daerah Kuala Kangsar, Tuan Hj Abdul Rahim b. yang juga Pegawai Daerah Kuala Kangsar di dalam program Kem Gerak Gempur Politik Anjuran Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik PM, iaitu Dato' Aziz Shamsuddin pada 4 Julai 1999 yang lalu.

Tindakan beliau untuk hadir (walau atas apa alasan pun) dan kelihatan turut bersemangat menyanyikan lagu "UMNO Bersatu" dan "Anak Kecil Main Api" diatas pentas kenamaan bersama barisan pimpinan UMNO peringkat Bahagian Kuala Kangsar, telah menimbulkan tandatanya dikalangan kakitangan kerajaan yang lain yang turut serta "dijemput" seperti Ketua Jabatan, Penghulu, Pengetua Sekolah, Gurubesar dan beberapa orang pemerhati.

Memandangkan kepada tarikh pilihanraya yang semakin hampir , Pemuda Keadilan berpendapat bahawa tindakan beliau adalah tidak wajar sama sekali dan bertentangan dengan arahan Pengerusi SPR, Datuk Omar Hashim, agar Pegawai-pegawai pilihanraya menjaga integriti, profesionalisme dan bersifat berkecuali supaya tidak timbul kesangsian terhadap proses pilihanraya yang akan dikendalikan oleh mereka nanti. Berikut adalah petikan ucapan Pengerusi SPR yang boleh didapati dilaman Web SPR.

"Kepada tuan-tuan di Negeri-negeri khasnya saya suka mengingatkan bahawa kita ini telus dan amanah bukan bergantung kepada pegawai-pegawai sahaja tetapi bergantung juga kepada tiap-tiap anggota kakitangan yang bekerja di SPR di pejabat-pejabat seperti telefonis, kerani kanan, kerani yang bekerja dengan komputer dan lain-lain. Segala tindakan percakapan mereka, kecenderungan mereka perlu diawasi supaya tidak menunjukkan kepada orang ramai mereka berbelah bahagi atau berpihak dalam ketaatan dan keneutralan mereka sebagai pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan berhak mempunyai simpati politik secara peribadi masing-masing tetapi dalam menjalankan kerja-kerja mereka, mereka mestilah berkecuali sebagai pekerja. Sebagaimana warganegara yang lain, mereka bolehlah menyuarakan kebebasan dan hasrat mereka nanti di forum yang wajar dan halal iaitu menerusi peti undi.

Tegasnya jika tuan bekerja mengikut peraturan-peraturan pejabat, you cannot go wrong. Sekali-kali janganlah memberi sebarang alasan bagi orang ramai meragui ketelusan dan keamanahan serta dasar tidak berbelah bahagi atau berpartisan dalam usaha-usaha dan tugas-tugas yang dijalankan di SPR itu. Disinilah terletaknya salvation kita dalam mematahi segala serangan-serangan yang bertujuan menghakis image kita di mata orang ramai dan mensia-siakan tugas mulia yang diamanahkan kepada kita oleh Negara".

Sehubungan dengan itu, Pemuda Keadilan dengan ini mendesak agar satu kenyataan rasmi dapat dikeluarkan oleh SPR disamping tindakan susulan yang sewajarnya, memandangkan bahawa pihak Pembangkang telah hilang kepercayaan kepada beliau bagi mengetuai proses pilihanraya di daerah Kuala Kangsar , secara yang adil dan saksama.

Sehubungan dengan itu juga Pemuda Keadilan dengan ingin menjemput beliau untuk turut serta ke Majlis Pelancaran Parti Keadilan Nasional Bahagian Kuala Kangsar yang dijadualkan berlangsung pada 23 Julai akan datang (sekiranya mendapat permit, dan tiada tekanan yang tidak munasabah atau gangguan Komando UMNO) dan turut sama menyanyikan lagu atau nasyid "Bersatu Menegak Keadilan" di atas pentas rakyat bagi menghilangkan krisis keyakinan kami terhadap beliau.

Pemuda Keadilan juga dengan ini menjemput Ketua-ketua Jabatan, Pengetua, Penghulu dan Gurubesar bagi memeriahkan lagi majlis tersebut. Insyallah tuan-tuan tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

Akhirkata di atas keprihatinan Datuk Pengerusi terhadap isu yang sensasi ini, pihak Pemuda Keadilan mengucapkan ribuan terima kasih. Semoga Datuk Pengerusi dirahmati Allah s.w.t. dengan keadilan dan kebaikan (ihsan).

Bersama Menegakkan Keadilan,

Muhammad Ashraf Abdul Munim

Ketua Pemuda Keadilan Bahagian Kuala Kangsar

s.k Rakyat

PARTI KEADILAN NASIONAL

Bahagian Kuala Kangsar

12 Taman Suria Jalan Dato' Sagor, 33000 Kuala Kangsar, Perak

Tel/Fax: 05-77777 86 /013-520 4240 /016-531 7491