KENYATAAN SISWA LANTANG TENTANG DOKUMEN YANG DISIMPAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DI LUAR NEGARA

Beberapa hari yang lalu, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohammad Ezam Mohd. Nor menyatakan bahawa terdapat beberapa buah kotak dokumen-dokumen yang didakwanya sebagai pekung pemimpin-pemimpin UMNO berkaitan rasuah yang disimpan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar negara.

Ekoran kenyataannya itu, beberapa pemimpin UMNO telah mengeluarkan pelbagai kenyataan dengan menyerang Datuk Seri Anwar dan orang-orangnya serta menyifatkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab dan pengkhianat kepada negara.

Persoalannya di sini adalah; adakah benar dokumen yang disimpan itu boleh dikelaskan sebagai dokumen kerajaan yang membabitkan keselamatan dalam negeri seperti rahsia ketenteraan, dasar sistem kewangan dan sebagainya? Atau adakah sekiranya dokumen tersebut merupakan bukti kepada penyelewengan pemimpin kerajaan, maka dokumen itu dikelaskan sebagai rahsia kerajaan?

Masalah di sini adalah takrifan kerahsiaan itu sendiri terhadap dokumen-dokumen tersebut. Oleh itu, sebagai sebuah pertubuhan yang berkecuali, Siswa Lantang mencabar supaya satu Badan Siasatan Di-Raja yang bebas ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.

Sekiranya benar Datuk Seri Anwar menyimpan dokumen sulit kerajaan di luar negara seperti rahsia ketenteraan dan sebagainya yang sekiranya tersebar, boleh menggugat keselamatan rakyat Malaysia, maka tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil.

Walau bagaimanapun, sekiranya dokumen tersebut benar-benar merupakan bukti kepada penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang terbabit, maka tindakan yang wajar dan telus juga harus diambil. Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak boleh dianggap sebagai taktik politik untuk menyelamatkan diri. Siswa Lantang melihat tindakan beliau yang bertahun lamanya menyimpan dokumen tersebut seolah-olah menunggu masa yang sesuai untuk membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Yang harus disiasat adalah bukan sahaja bagaimana dokumen tersebut dibawa keluar; tetapi juga kandungan dokumen-dokumen tersebut. Paling baik, jika benar itu merupakan bukti kepada penyelewengan pimimpin-pemimpin, maka biarlah rakyat sendiri melihat dokumen-dokumen itu dan menentukan hukuman kepada mereka yang terbabit.

Siswa Lantang juga menyeru agar tidak ada pihak yang melakukan penghakiman yang awal melalui media dan sebagainya. Biarlah pihak polis secara amanah menjalankan siasatan tanpa tekanan mana-mana pihak dan seterusnya mahkamah yang akan memutuskan keputusannya. Rakyat akan mula keliru sekiranya spekulasi-spekulasi yang tidak rasional dibuat oleh sesiapa sahaja.

Sesungguhnya, kepentingan rakyat hendaklah dijaga dan didahulukan daripada kepentingan beberapa kerat manusia di Malaysia ini. Jangan kerana hendak menyelamatkan diri, rakyat ditipu dan diperbodoh-bodohkan sekali lagi. Rakyat sudah jelek dengan permainan basi dan kotor ini.

Sekian, Wassalam.

Sekretariat PRO Dalam dan Luar Negara,

b/p Presiden,

Gerakan Mahasiswa Lantang Negara

www.siswalantang.tsx.org