ADAKAH MAHATHIR MENDAPAT SOKONGAN UMNO?

Oleh Raja Petra Kamarudin (Terjemahan oleh AR)

Persoalan yang besar: adakah Dr. Mahathir Mohamed mendapat sokongan majoriti UMNO? Kepada Mahathir perkara ini adalah satu persoalan yang sangat besar. Jika anda bertanya kepada orang ramai, jawapannya adalah mudah. Tidak! Mereka sekarang sebenarnya sudah benci dengan apa yang sedang berlaku di negara ini dalam beberapa tahun yang lepas. Tetapi bukannya orang ramai yang menentukan sama ada Mahathir harus terus menjadi Perdana Menteri negara ini atau tidak. Ianya ditentukan oleh 2000 orang perwakilan di Perhimpunan Agong UMNO. Sesiapa yang dipilih sebagai presiden semasa perhimpunan agong ini secara automatik menjadi Presiden Barisan Nasional, yang seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Ya, hanya 2000 orang ahli UMNO. Dan mereka membuat keputusan bagi pihak 22 juta rakyat negara ini. Adakah ini merupakan satu sistem yang adil? 12 tahun yang lepas, 51% daripada 1800 orang perwakilan UMNO telah mengundi Mahathir. Tengku Razaleigh, walau bagaimanapun, mendakwa telah ditipu dan sebenarnya beliau yang meendapat 51% - bukan Mahathir. Walau bagaimanapun, walau apa pun sebenarnya, ini bermakna 49% telah menolak Mahathir. Jadi, Mahathir hanya menang dengan 2% majoriti mengalahkan Tengku Razaleigh.

Tetapi 2% ini hanya merupakan 40 orang. Daripada 2.7 juta ahli UMNO, hanya 40 orang lebih ahli UMNO menyokong Mahathir daripada mereka yang menyokong Ku Li. Bagaimana dengan 2.68 juta ahli lagi? Jika semua 2.7 juta ahli mengundi adakah Mahathir masih akan menang?

Berdasarkan kepada sentimen ahli-ahli UMNO sekarang, Mahathir sepatutnya sudah tersingkir. Tetapi bukannya mereka yang menentukan. Perlantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh perwakilan di persidangan agong. Dan begitulah caranya Mahathir menentukan beliau terus berkuasa.

Jika anda berpeluang menghadiri mesyuarat Bahagian UMNO, anda akan melihat bagaimana sistem ini dimanipulasikan. Terdapat pertarungan yang sengit bagi jawatan Ketua Bahagian, Timbalan, dan lain-lain jawatan dalam Bahagian sehingga ke bawah diperingkat Jawatankuasa. Tetapi di sinilah sistem ini tamat.

Sepatutnya mestilah ada pemilihan untuk para Perwakilan - sepuluh orang yang akan mewakili Bahagian di Perhimpunan Agong UMNO. Tetapi ini tidak berlaku. Ahli-ahli UMNO hanya berpuas hati dengan memberikan mandat kepada Ketua Bahagian untuk memilih 10 orang Perwakilan. Sudah tentu Ketua Bahagian ini akan memilih 10 orang tersebut daripada kalangan yang paling rapat dengan mereka dan yang mereka boleh kontrol.

Ini bermakna hanya 200 orang Ketua Bahagian memegang mandat untuk memilih 2000 orang yang menganggotai perwakilan di Perhimpunan Agong UMNO. Presiden UMNO, oleh itu, hanya perlu menguasai 200 orang ini yang seterusnya mengontrol 10 orang di bawah mereka masing-masing. Jadi, dengan menguasai 200 orang, presiden parti menguasai 2,000 orang - bermakna seluruh 2.7 juta ahli. Itulah sebabnya menjadi Ketua Bahagian adalah satu yang sangat besar maknanya.

Ketua-ketua Bahagian akan dipilih sebagai calon dalam pilihanraya umum. Sesetengah akan menjadi Ahli Parlimen dan sesetengah akan menjadi ADUN. Jika mereka menang dalam pilihanraya mereka akan dilantik menjadi Menteri-menteri Besar, Ahli-ahli EXCO, dan seterusnya. Ssetengah pula akan dilantik menjadi Pengerusi-pengerusi FELDA, FELCRA, MAJUIKAN, BSN dan berbagai-bagai agensi Kerajaan, banyak diantaranya mempunyai fungsi yang bertindih dan banyak juga ditubuhkan supaya jawatan-jawatan pengerusinya boleh diagih-agihkan kepada ahli-ahli parti yang berpengaruh dan taat.

Pendek kata, Ketua-ketua Bahagian ini akan "dibeli" dengan kuasa dan kekayaan dan mereka yang taat dan boleh meyakinkan Presiden dengan penguasaannya terhadap Bahagiannya akan mendapat "habuan" yang lebih besar. Sistem ini adalah satu yang sangat anih dimana hanya 200 orang boleh menentukan nasib 22 juta rakyat Malaysia, tetapi beginilah caranya sistem ini beroperasi.

Oleh itu tidak menjadi hal jika 22 juta rakyat Malaysia tidak sukakan Mahathir. Tidak menjadi hal jika 10 juta pengundi berdaftar tidak sukakan Mahathir. Tidak juga menjadi hal sama ada 2.7 juta ahli UMNO tidak sukakan Mahathir. Apa yang penting, adakah 200 orang Ketua Bahagian akan mendapat habuan dan faedah dengan terus memilih Mahathir berkuasa? Adakah habuan dan faedah tersebut cukup lumayan untuk Ketua-ketua Bahagian bagi menentukan sepuluh orang yang masing-masing akan membawa ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agong UMNO menurut arahan mereka dan mengundi siapa yang diberitahu kepada mereka untuk diundi.

Tetapi adakah kita mesti meletakkan nasib kita dan masa hadapan kita dalam tangan 200 orang yang tidak bertanggongjawab dan mementingkan diri sendiri ini? Adakah kita akan terus membiarkan 200 orang ini dibeli dengan jawatan-jawatan dalam Kerajaan? Persoalan yang terpenting ialah bolehkah kita berbuat sesuatu mengenainya?

Ya, kita boleh melakukan sesuatu. Presiden UMNO hanya boleh terus menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional menang dalam Pilihanraya Umum akan datang. Jika mereka kalah UMNO akan lenyap dan juga presidennya. Oleh kerana 2,000 orang tersebut tidak akan melakukan sesuatu yang betul, terpulanglah kepada kita, 10 juta orang pengundi, untuk melakukan sesuatu yang betul - iaitu menyingkirkan mereka melalui pilihanraya umum akan datang.

Jika tidak kita adalah sama seperti mereka juga - 200 orang Ketua Bahagian - dibeli dan dibayar.