Pengenalan Peguam Negara memainkan peranan yang penting dalam mengangkat martabat
undang-undang di Malaysia, sekaligus menjadi kunci kepada aspirasi masyarakat, khasnya
dalam membentuk sebuah masyarakat yang demokratik berdasarkan asas keadilan dan kesamaan.
Justeru itu, adalah menjadi suatu yang amat penting bagi seseorang
Peguam Negara untuk dikenali sebagai seorang yang dihormati, efisien, dimana dia juga
menjadi suatu simbol harapan untuk memelihara kepentingan awam yang dia pertahankan.
Kedudukan dan jawatan Peguam Negara dilihat sebagai sebahagian daripada sistem
pengimbangtara dalam masyarakat yang demokratik dan sehubungan dengan itu ia harus
dikekalkan serta bebas daripada kongkongan dan sekatan dari mana-mana institusi yang lain.
Peguam Negara tidak sepatutnya memilih bulu dalam membicarakan mana-mana individu atau
pihak sekiranya keadilan perlu dipertahankan.
Adalah menjadi harapan kepada Peguam Negara untuk melaksanakan
tanggungjawab mereka tanpa merasa gentar dan takut serta bersifat memilih. Ianya juga
merupakan sandaran kepada masyarakat sebagai pilihan terakhir dalam menegakkan etika moral
dan polisi.
Pada masa yang sama, ianya amat penting kepada Peguam Negara dalam
penyiasatannya dan persediaannya; untuk tidak menuduh seseorang yang tidak bersalah tanpa
usul periksa, kerana ianya boleh memberikan kesan dan impak yang tentunya negatif terhadap
kredibiliti Peguam Negara sendiri.
Memorandum ini menggariskan dan ingin membuktikan keperihatinan dan
permintaan masyarakat Malaysia melalui suara mahasiswa yang merupakan pemimpin generasi
akan datang. Hasrat kami adalah suci dan kami sanggup berkorban dan mengambil risiko bagi
memastikan memorandum ini diterima, diberikan perhatian secukupnya, dan diambil tindakan
yang sewajarnya oleh Peguam Negara.
Di dalam memorandum ini, kami sertakan beberapa contoh kes-kes terkini
yang cukup untuk membuktikan bahawa pihak tuan hanya memberikan tumpuan dan perhatian
kepada kes-kes tertentu sahaja tetapi mengabai dan mengetepikan kes-kes yang jauh lebih
penting yang sepatutnya diberikan perhatian sewajarnya. Kes-kes ini telah menimbulkan
pelbagai persoalan dan keraguan tentang kredibiliti Peguam Negara. Sekiranya Peguam Negara
dapat membersihkan nama baiknya dengan segera, ini tentunya akan dapat mengembalikan
semula kepercayaan masyarakat terhadap institusi keadilan di negara kita.
Permerhatian Kami
Pertama. Pertuduhan dan penjaraan YB Lim Guan Eng, seorang Ahli
Parlimen (Kota Melaka), yang berani menentang ketidakadilan terhadap seorang gadis Melayu
bawah umur yang dikatakan dirogol oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik, kes ini telah mendapat
pelbagai kritikan dari dalam dan luar negara, yakni telah menimbulkan keraguan dari
pelbagai pihak. Salah seorang daripada mengkritik tindakan untuk menahan anak melayu
belasan tahun yang telah dirogol itu ialah anakanda Dr. M, Datuk Paduka Marina Mahathir.
Kami amat terkejut apabila Peguam Negara mengambil tindakan terhadap YB Lim Guan Eng tanpa
mengambil kira dahulu tindakan terhadap kritikan anak PM.
Kedua. Pendedahan bahan bukti mahkamah di dalam bentuk afidavit
kepada media massa walaupun ianya masih belum mendapat kelulusan mahkamah sebagai dokumen
awam. Insiden ini berlaku pada 3hb September 1998, sehari selepas pemecatan Dato' Seri
Anwar Ibrahim.
Ketiga. Walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dituduh dibawah
Seksyen 337B, kanun keseksaan, namun penuduhan terhadap beliau telah ditukar kepada
tuduhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sementara itu, dalam kes yang sama
laporan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Pukulan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim telah
menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pemindahan pertuduhan itu.
Keempat. Ia menjadi suatu kejutan apabila mendapati salah
seseorang dari pejabat Peguam Negara, Dato' Gani Patail telah cuba manghalang Dato'Seri
Anwar Ibrahim dari memberi keterangan mengenai kecederaannya, malah Dato' Gani Patail
telah menyatakan bahawa kecederaan Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah kecederaan yang ringan.
Kelima. Kami berasa amat hampa dan kesal di atas kelewatan dan
kelambatan pihak Peguam Negara membuat penerangan mengenai kecederaan Dato' Seri Anwar
Ibrahim. Tambahan pula pihak Peguam Negara hanya bergantung kepada keterangan oleh Dr. Abd
Rahman Yusof walaupun beliau tidak pernah membuat pemeriksaan terhadap Dato' Seri Anwar
Ibrahim.
Keenam. Satu surat sumpah dari peguambela Dato' Nallakarupan,
En. Manjeet Singh Dillon, yang menyabitkan nama Peguam Negara, Gani Pattail, dan Azhar
Mohamad dalam percubaan untuk menggunakan hukuman mati sebagai ugutan keatas Dato' Nalla.
Ketujuh. Pengabaian afidavit Dr. Munawar Anes, Sukma Darmawan,
Mior Abd Razak dan Azmin Mohd. Ali yang jelas membuktikan mereka telah dianiaya dan didera
oleh pihak polis.
Kelapan. Penukaran dan pembubaran dakwaan ke atas kes Dato' Seri
Anwar Ibrahim telah menimbulkan keraguan dalam masyarakat mengenai kredibiliti tuduhan
terhadapnya.
Kesembilan. Penampilan saksi-saksi pendakwa dalam perbicaraan
kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja tidak ada kredibiliti, mempunyai daya ingatan
yang amat lemah dan juga mempunyai latar belakang yang amat meragukan.
Kesepuluh. Kegagalan pihak Peguam Negara untuk menjawab beberapa
tuduhan terhadap pihak tuan dan kakitangan, Abdul Gani Pattail, di dalam satu laporan BPR.
Ini juga termasuk kegagalan pihak Peguam Negara untuk mendakwa Datuk Seri Rafidah Aziz
atas tuduhan-tuduhan pecah amanah yang melibatkan pemberian saham-saham kepada menantunya
dalam jumlah yang amat besar. Kesahihan dokumen penuduhan sehingga sekarang belum diulas
oleh pihak tuan
Sebelas. Walaupun setelah tiga laporan polis dibuat terhadap
Menteri Perdagangan dan Industri, siasatan daripada pihak polis dan Peguam Negara sangat
lembab dan tiada kemajuan yang nyata sehingga kini. Ini amat berbeza dengan cara siasatan
terhadap dakwaan sejumlah dokumen rahsia kerajaan yang dikatakan disimpan oleh Datuk Seri
Anwar Ibrahim di luar negara.
Duabelas. Peguam Negara belum mengambil apa-apa tindakan
terhadap tuduhan salahguna kuasa oleh Perdana Menteri dan Tun Daim Zainuddin dan kes Datuk
Seri Rafidah Aziz. Peguam Negara belum berbuat apa-apa terhadap Perdana Menteri dan Daim
yang menerima sejumlah besar wang dalam cara yang amat mencurigakan.
Tigabelas. Akhir sekali, kami ingin menekankan bahawa prosiding
menghina mahkamah ke atas Dr. Chandra Muzaffar, dilihat oleh ramai sebagai menghina rakyat
dan menyekat kebebasan bersuara rakyat yang ingin penyuarakan bantahan terhadap
penyalahgunaan kuasa . Perlaksanaan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr. Chandra
merupakan pendakwaan yang memilih dan tidak adil di mana prosiding sedemikian tidak
dikenakan ke atas orang-orang tertentu termasuk Perdana Menteri walaupun beliau sendiri
membuat beberapa komentar mengenai kes Datuk Seri Anwar.
Rayuan Kami
Kami mendesak Peguam Negara agar lebih adil dalam bertindak ke
atas sesuatu kes tanpa memilih bulu atau merasa takut. Kegagalan untuk berbuat demikian
seperti yang ditunjukkan dalam kes-kes yang dibicarakan di atas yang telah menjatuhkan
kredibiliti dan kewibawaan terhadap rekod baik tuan.
Setiap warganegara mengharapkan agar tuan dapat menjalankan tugas tuan
dengan moral dan etika yang tinggi. Suka diingatkan bahawa seluruh dunia sedang memerhati
dan ia menjadi amat penting untuk tuan memelihara maruah dan nama baik negara.
Kami mendesak tuan agar menjalankan tugas tanpa rasa takut dari
tindakbalas manusia kerana balasan Tuhan kelak akan meninggalkan kesan yang lebih/amat
besar terhadap semua insan.
Ia menjadi harapan kami yang tulus ikhlas agar tuan dapat membetulkan
semula segala tindakan yang silap. Ia belum lagi terlambat untuk menjernihkan semula
segala kekeliruan masyarakat yang telah timbul terhadap pejabat Peguam Negara.
Kami mendesak agar tuan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia
tidak gentar melaksanakan keadilan, kebebasan dan kebenaran. Sudah tiba masanya untuk
mengakhiri sandiwara ini Seperti yang disyaki oleh sebahagian besar 'silent majority'.
STEPHEN DOSS
Majlis Pelajar Malaysia
BURHAN CHE DAUD
Barisan Bertindak Mahasiswa Negara