KENYATAAN AKHBAR PMIUM BERHUBUNG KES CUBAAN MEMBUNUH BEKAS TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyifatkan laporan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun semasa di dalam tahanan adalah sebagai satu kes yang amat membimbangkan.

PMIUM menegaskan bahawa kes ini merupakan satu perkara yang amat memalukan negara yang dianggap mengamalkan sistem demokrasi dan mementingkan keamanan serta kestabilan. PMIUM amat terkilan di samping wujudnya satu konspirasi politik yang dirancang untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat juga cubaan untuk membunuh beliau yang disifatkan sebagai perbuatan yang amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Sekiranya dirujuk kepada kes dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul semasa di dalam tahanan, Perdana Menteri menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mencederakan dirinya sendiri. Ini telah disanggah dengan pengakuan bahawa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah turut terlibat dalam kes tersebut. Di dalam kes ini pula, Peguam Negara Tan Sri Mokhtar Abdullah telah membayangkan bahawa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terlibat dalam meracuni beliau dengan Arsenik.

PMIUM mengingatkan bahawa kerajaan selaku mereka yang memegang kuasa pemerintahan perlu menggunakan kuasa yang diberikan bertepatan dengan syariat Allah bukan bertindak sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian, PMIUM mendesak agar :

1. Satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan oleh pihak yang berwajib bagi menyiasat perkara tersebut dengan penuh tanggungjawab bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku dan membawa mereka yang bertanggungjawab dalam kes ini ke muka pengadilan.

2. Perdana Menteri Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pengarah Penjara meletakkan jawatan dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang berlaku ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kegagalan memastikan keselamatan beliau semasa dalam tahanan.

3. Institusi mahkamah khususnya pihak Jabatan Peguam Negara mestilah berlaku adil dan tidak menunjukkan tindakan berat sebelah dalam mengadili sebarang kes yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana rakyat mahu melihat institusi ini bebas daripada pengaruh pihak-pihak yang berkepentingan.

4. Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberikan kebenaran khas ikat jamin oleh pihak Peguam Negara sekiranya pihak-pihak yang disebutkan di atas tidak mahu bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes ini.

5. Dato’ Seri Anwar Ibrahim dirawat dengan segera sehingga tahap kesihatan beliau memuaskan untuk meneruskan perbicaraan dan laporan tahap kesihatan beliau diumumkan kepada rakyat agar rakyat boleh menilai sejauhmanakah kerajaan mengambil serius persoalan ini.

PMIUM sebagai satu badan induk mahasiswa Islam Universiti Malaya akan sentiasa menjadi ‘watch dog’ kepada segala ketidakadilan yang berlaku dalam negara khususnya dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam hal ini mahasiswa sudah hilang kepercayaan dan bertambah ragu terhadap kepimpinan negara serta sistem yang diamalkan sekarang.

Sebagai susulan, mahasiswa akan menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agung bagi memastikan tuntutan ini dipenuhi dan dipertimbangkan serta kuasa dan peranan pihak tertentu dikawal demi melihat keadilan dan sistem kehakiman negara daripada terus dicabuli.

PMIUM menyeru para mahasiswa dan masyarakat amnya agar menyedari dan memahami hak masing-masing sebagai rakyat untuk melihat keadilan dan kesaksamaan dilaksanakan di negara kita. Jika aspek ini tidak mampu dipertahankan oleh pihak pemerintah pada hari ini, maka menjadi tanggungjawab rakyat untuk melakukan perubahan yang menyeluruh dalam pilihanraya ke 10 yang akan datang.

MOHD HUZAIRI HUSAIN

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ( PMIUM )

Sesi 1999 / 2000

12 SEPTEMBER 1999